Perjuangan untuk negara Palestin yang bebas dan merdeka adalah perjuangan yang dekat dengan hati rakyat Malaysia.
Sejak dulu lagi, Malaysia kekal konsisten menyokong sebuah negara Palestin yang berdaulat dan tidak akan sesekali mengiktiraf negara Zionis Israel.
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, komitmen dan ketegasan Malaysia jelas terbukti apabila PMX menggunakan kuasa diplomasi untuk menyatakan solidaritas terhadap Palestin.
Buktinya, PMX melakukan apa yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin negara Islam lain apabila pergi ketemu tiga kuasa besar dunia Islam dalam tempoh hanya tiga hari.
Tiga kuasa besar dunia Islam itu ialah Arab Saudi, Turkiye dan Mesir; yang mewakili sebahagian besar dari populasi, ekonomi dan kuasa ketenteraan di kalangan negara-negara Islam.
Di Arab Saudi, PMX telah bertemu dengan Putera Mahkota Mohammed dan menyampaikan penegasan Malaysia untuk menghentikan keganasan dan pembenihan kefanatikan di Palestin demi kebaikan rakyat negara itu.
Di Turkiye pula, PMX bersama sahabat karibnya Presiden Erdogan senada untuk mencari titik noktah isu Palestin dan mengutuk sikap hipokrit negara-negara Barat.
Manakala di Mesir, PMX ketika bertemu Presiden Abdel Fattah menyeru agar keganasan dihentikan, nyawa diselamatkan dan keadilan ditegakkan melalui pembukaan sempadan Rafah-Gaza untuk misi bantuan kemanusiaan.
Malaysia hanyalah sebuah negara kecil jika dibandingkan dengan Arab Saudi, Turkiye atau Mesir tetapi itu tidak bermakna kita tiada keberanian untuk bersuara dalam isu Palestin atas nama kemanusiaan, keadilan dan juga keagamaan.
Dalam tiga hari PMX tanpa lelah pergi ketemu tiga kuasa besar dunia Islam dan menyatakan pendirian Malaysia tanpa berselindung, ini sahaja sudah jauh lebih dari cukup untuk membuktikan kelantangan Malaysia demi Palestin.