Dekad Ini, Dekad Anda?

Tanggal 15 Mei 2021 adalah Hari Belia Negara. Tema yang dipilih pada tahun ini adalah “Dekad Ini Dekad Anda”. Namun sejauh manakah kebenaran tema ini? Adakah kerajaan mendukung aspirasi belia pada waktu ini, pada dekad ini?

Kita tidak dapat menafikan perubahan ketara yang ada pada pemikiran belia kita pada masa kini berbanding 10 tahun yang lalu. Belia kini lebih terbuka pemikiran mereka, dan ada di antara mereka yang lebih matang dari usia mereka. Seawal usia 15 tahun, ada di antara mereka yang sangat petah berbicara mengenai politik, perubahan klimaks dunia dan hak kesamarataan gender. Ya, belia kini pemikiran mereka lebih menjurus kepada perjuangan hak sosial dan kesamarataan. Dengan pemilihan tema Hari Belia Negara ini, adakah kerajaan sudah boleh menerima keterbukaan ini dan juga pembaharuan yang diinginkan oleh para belia. Belia kini bukan belia yang boleh dijual beli dengan agenda politik dan juga wang ringgit. Mereka lebih pintar dan terdedah dengan dunia luar, terima kasih kepada media sosial dan Internet. Ada di kalangan mereka juga pada usia belasan tahun ini sudah boleh memimpin kumpulan belia dan juga menubuhkan NGO bagi menjuarai isu-isu yang membelenggu belia dan masyarakat.

Baru-baru ini seorang pelajar sekolah menengah dengan berani membuat pendedahan di akaun TikTok beliau mengenai lawak rogol yang dibuat oleh guru beliau sewaktu pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Hantaran TikTok pelajar berusia 17 tahun tersebut telah menjadi viral dan Ain Husniza sendiri telah melancarkan gerakan #MakeSchoolASaferPlace bagi memberikan kesedaran kepada semua pihak bahawa sekolah sepatutnya menjadi satu tempat yang selamat bagi para pelajar, bukan sebaliknya. Tindakan Ain mendapat sokongan dan juga kecaman netizen. Namun apa yang menyedihkan ialah Kementerian Pendidikan Malaysia sepertinya tidak mengambil peduli mengenai hal ini. Hanya selepas beberapa minggu hal ini menjadi viral, barulah satu kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan yang mengatakan bahawa guru yang melakukan salah laku tersebut telah dipindahkan dan hal ini masih lagi dalam siasatan.

Kementerian Pendidikan juga seperti tidak mengambil peduli mengenai satu lagi isu viral pada ketika itu iaitu mengenai pemeriksaan haid yang dilakukan oleh guru sekolah yang sebenarnya adalah satu gangguan seksual. Kenyataan Menteri Kanan Pendidikan yang menidakan kejadian tersebut adalah sesuatu yang sangat mengecewakan, sedangkan beberapa NGO telah mengadakan inisiatif mengumpulkan aduan dan bukti dari para pelajar ini. Kementerian Pendidikan tampak tidak memandang serius mengenai isu yang disuarakan oleh para pelajar ini. Adakah kerana mereka tergolong dalam golongan pelajar sekolah, maka suara mereka tidak diambil kira? Jika ya, maka dimanakah aspirasi “Dekad Ini Dekad Anda” sesuai dalam keadaan ini, jika “suara kecil” sebegini tidak diambil endah?

Banyak isu yang perlu dijuarai oleh kerajaan masa kini iaitu kerajaan Perikatan Nasional demi kepentingan dan kelangsungan hidup para belia tidak diperjuangkan dengan sepenuh hati. Antara contoh ialah perlaksanaan Undi18 yang baru-baru ini hangat diperkatakan. SPR telah mengeluarkan kenyataan bahawa perlaksanaan rang undang-ndang Undi18 terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara. Sejujurnya bagi saya dan bagi sahabat-sahabat yang lain, yang memperjuangkan hak mengundi bagi belia berusia 18 tahun, alasan ini adalah alasan yang paling tidak munasabah. SPR mempunyai seribu satu sumber dan peruntukan untuk merealisasikan impian para belia ini bahkan rang undang-undang in seharusnya tidak ditangguhkan kerana ia telah mendapat kelulusan dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Sehubungan dengan itu sekumpulan belia telah memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia kerana kelewatan perlaksanaan rang undang-undang ini. Ternyata kenyataan SPR dan pendirian kerajaan Malaysia mengenai isu ini telah mencabul hak demokrasi para belia yang telah “dianugerahkan” kepada mereka melalui proses legislatif negara.

Belia negara ini juga acap kali dihina oleh barisan menteri kabinet kerajaan Perikatan Nasional. Masihkah anda semua ingat dengan Veveonah Mosibin dan isu viral yang berkaitan dengan beliau serta kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang mengatakan bahawa Veveonah adalah seorang penipu demi mendapatkan tontonan yang tinggi di saluran YouTube beliau. Masihkah anda semua ingat dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia yang berbunyi “lebih baik kita ada peluang pekerjaan dengan gaji yang rendah daripada tiada kerja” ketika mengulas mengenai isu pengangguran yang berlaku ketika ini akibat dari pandemik Covid-19. Kenyataan-kenyataan begini sepertinya menghina kebijaksanaan dan kebolehan para belia negara ini, adakah ia melambangkan aspirasi “Dekad Ini Dekad Anda”? Bagaimana pula dengan peranan Majlis Belia Malaysia yang sepertinya dikunci mulut dan tangan untuk bersuara dan mengeluarkan kenyataan yang berkaitan dengan belia? Adakah ini yang dimaksudkan dengan “Dekad Ini Dekat Anda” menurut Majlis Belia Malaysia – berdiam diri dan terus-terusan menyokong kerajaan demi kepentingan peribadi walaupun belia di dalam negara ini semakin dipijak, dihimpit dengan pelbagai isu yang boleh merencatkan pembangunan belia.

Pendapat peribadi saya aspirasi dan tema Hari Belia Negara ini adalah seperti indah khabar dari rupa. “Too good to be true” kalau menurut pepatah inggeris. Kerajaan Perikatan Nasional sebenarnya tidak bersedia untuk menerima gelombang pembaharuan yang ingin dibawakan oleh belia. Suara belia seboleh-bolehnya ingin disenyapkan melalui pelbagai intimidasi. Pada Hari Raya pertama, sekumpulan anak muda di Johor telah ditahan kerana melakukan protes terhadap kerajaan. Bukan itu sahaja, penganjur dan peserta perhimpunan aman #BukaPuasaBukaParlimen juga kini menunggu masa untuk dipanggil ke balai polis untuk merekod keterangan mereka dan hanya Tuhan sahaja yang tahu kebarangkalian mereka semua tidak didakwa.

Jadi adakah “Dekad Ini Dekad Anda” satu aspirasi yang melambangkan pendirian kerajaan? Adakah kerajaan Perikatan Nasional benar-benar bersedia untuk memberikan dekad ini kepada belia untuk menyerlah? Atau ini hanya cakap-cakap untuk membeli jiwa sahaja? Yang pasti tiada jiwa yang terbeli dengan kesempitan dan kesusahan yang dilalui oleh para belia masa kini. Yang ada hanya kemarahan dan kekecewaan.

Komen