BARU-BARU ini saya kembali mengulit Hikayat Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah edisi 1964 yang disusun Kassim Ahmad terdapat sedikit perbezaan dengan versi-versi lain. Misalnya versi Hikayat Hang Tuah MSS 1658 iaitu versi Perpustakaan Negara ternyata berlainan dengan apa yang disunting oleh Kassim Ahmad. Versi Perpustakaan Negara ini tidak begitu banyak bezanya dengan versi Trengganu, kecuali di bahagian penghujungnya. Versi Trengganu kelihatannya tidak menjejerkan bahagian perang dengan Portugis.
Hikayat Hang Tuah versi Perpustakaan Negara yang merupakan susunan dan transliterasi Siti Hawa Saleh ini menurut saya benar-benar membuka mata saya pada lapis-lapis maksud yang lain. Untuk itu saya hanya akan melihat kembali Hikayat Hang Tuah versi Perpustakaan Negara di atas dengan hanya memberi tumpuan pada bahagian paling akhir.
Aspek yang menghiburkan saya ialah apabila baginda Raja Melaka berasa ingin tahu bagaimanakah keadaan di alam barzakh itu. Untuk itu tuanku telah menitahkan agar mencari siapakah yang sanggup ditanam hidup-hidup di dalam kubur.
Baginda berharapkan orang yang dijadikan kajian kes itu akan kembali hidup-hidup ke dunia ini untuk mengkhabarkan bagaimana pengalaman di alam kubur tersebut. Untuk mencari sesiapa yang sanggup itu, maka Raja pun mengarahkan para pembesar mengumumkan yang mereka akan beroleh emas sebanyak dua dulang:
‘Maka Temenggung pun menyembah serta mengambil emas dua talam itu lalu dibawanya pulang ke rumah menyuruh orang memalu momongan serta membawa emas itu berkeliling negeri mengatakan seperti titah Raja itu. Tujuh hari berkeliling negeri itu tiada siapa-siapa ada yang bercakap ditanam seperti titah Raja itu. Maka orang itu pun kembali memberitahu Temenggung. Temenggung pun segera masuk mengadap persembahkan emas dua talam itu pada Raja itu. Maka sembah Temenggung, “Emas dua talam ini, Daulat Tuanku Syah Alam, ada pun dititahkan memalu momongan itu, seorang pun tiada bercakap seperti titah Duli Yang Maha Mulia itu”. Setelah baginda menengar sembah Temenggung itu maka baginda pun memandang ke kiri dan ke kanan lalu berdiam dirinya. Setelah dilihat oleh Laksamana dan didengarnya titah raja demikian itu maka Laksamana pun berdatang sembah, “Daulat Tuanku Syah Alam, sembah patik sembah durhaka, harapkan ampun Duli Syah Alam di atas batu kepala patik, hamba yang hina. Ada pun patik menjadi hamba mengerjakan barang pekerjaan Duli Syah Alam itu daripada umur patik sepuluh tahun hingga sampai pada ketika ini tiada dijanjikan Allah Ta’ala mati dan luka. Maka ini patik pun sudah tuhalah; biarlah patik mati dengan pekerjaan Duli Syah Alam karena nyawa patik ini jikalau ada seribu sekalipun dengan tulus ikhlas hati, patik persembahkan Kebawah Duli Yang Dipertuan. Usahkan Duli Syah Alam mencari orang lain; siapatah yang bercakap hendak mati itu? Jadi sia-sialah sahaja didengar oleh segala khalayak yang banyak. Titah yang Maha Mulia itu insya allah Ta’ala biarlah patik kerjakan seperti kehendak hati Duli Yang Dipertuan itu.”
Sudah tentulah tiada siapa yang sanggup ditanam hidup-hidup di dalam kubur dan tentulah setelah ditanam dalam tanah emas berapa puluh dulang pun tiada gunanya. Akan tetapi, tepat sekali telahan kalian. Satu-satunya insan berjiwa bakti yang sanggup melakukan titah diraja tidak lain tidak bukan ialah Hang Tuah. See his level?
Maka Hang Tuah bersiaplah untuk ditanam hidup-hidup. Dia telah meminta agar isterinya membuatkan makanan kegemarannya. Nah, makanan kegemaran Hang Tuah bukanlah nasi lemak, roti canai, nasi beriani, wagyu atau biryani lazat akan tetapi hanyalah tepung apam. Maka isterinya pun membikin apam itu di dapur. Hang Tuah yang tua itu pun makan tidak banyak, malah dicubit sedikit sahaja. Yang selebihnya, dalam perjalanan untuk ditanam itu, Hang Tuah berikan kepada seorang miskin iaitu seorang Darwis semua apam buat bekal tersebut. Mungkin sebab dia bersedekah sedemikian rupa itulah Hang Tuah tidak mati bila ditanam hidup-hidup, dan ia dapat kembali ke dunia ini untuk membentangkan kajian kes atau permasalahan kajian; apakah rupa dan rasanya berada di dalam kubur itu?
Apabila Hang Tuah ditanam, diikat tali pada tubuhnya, dan hujung tali itu dibawa naik ke atas meskipun kelak tanah dikambus. Justeru Hang Tuah pun melalui proses seperti orang akan mati. Beliau dimandi, dikapankan dan kemudian ditanam dalam liang lahad malah siap ditalkinkan oleh seorang Imam. Begitu ramai rakyat Melaka yang ikut datang sekali untuk melihat peristiwa seorang laksamana yang sanggup dikebumikan hidup-hidup demi berbakti dan menunjukkan ketaatan kepada Raja. See his level?
Apakah yang telah dialami oleh Hang Tuah di alam kubur? Jika Hang Tuah masih hidup tentu sahaja beliau dapat menuliskan sebuah kajian berindeks mengenai perihal ini. Apa yang dialami oleh Hang Tuah itu dinukilkan begini:
‘Setelah sudah, segala orang banyak pun dihalau Raja keluar. Raja seorang juga yang duduk memegang hujung tali itu. Maka dinanti oleh baginda suatu pun tiada ada alamatnya. Maka baginda pun balik berjalan. Baharu tujuh langkah maka baginda pun melihat ke belakang maka dilihat ke belakang maka dilihat baginda tali itu pun bergeraklah. Maka baginda pun segera memanggil sekalian orang berhimpun mengorek tanah bangat-bangat. Setelah pegarilah keranda itu nyata pada mata orang sekalian maka disuruh Raja buka tudung keranda itu. Maka dilihat oleh baginda pada tubuh Laksamana seurat banang pun tiada. Yang ada pada tangan Laksamana itu hanyalah suatu belanga besi sumbing sedikit. Maka Raja pun segera mencampakkan kain pada Laksamana. Maka Laksamana dibawa orang naiklah ke atas tebing liang itu lalu duduk menyembah pada kaki Raja. Maka titah baginda, ‘Hai Laksamana, ke mana peragi kain yang dibukus pada tubuh Laksamana itu?” Maka sembah Laksamana, “Daulat Tuanku, ada pun tatkala berbunyi kaki orang berjalan kembali itu kira-kira tujuh langkah maka datanglah gunung api dua buah terlalu besar dengan hebatnya, bernyala-nyala menyambar-nyambar pada tubuh patik bunga api itu. Maka patik pun tahankan degan belanga besi inilah. Maka masuk bunga api pada yang sumbing sedikit inilah lalu dimakan kain yang dibukus pada tubuh patik.” Maka titah Raja, “Di mana Laksamana boleh belanga besi ini?” Maka sembah Laksamana, “Patik tidak periksalah. tatkala datang gunung-gunung api dua buah itu, juga sekonyong-konyong adalah belanga besi ini pada tangan patik.’
Tesis yang dibentangkan oleh Hang Tuah itu amat menggemparkan tentunya. Pertama, Hang Tuah ternyata terbogel bulat di dalam liang lahad meskipun telah dibalut dengan kain kafan. Kata beliau, kain itu telah terbakar hangus. Pun, Hang Tuah nampaknya tidak pun cedera. See his level?
Selain itu yang lebih marvel lagi ialah sebaik sahaja Hang Tuah dikeluarkan dari kubur, beliau segera menyembah duli atau kaki tuanku Raja dan menjelaskan bagaimana ada api sebesar gunung yang nyaris menyambarnya.
Adakah ini bermakna Hang Tuah diberikan siksa kubur? Atau adakah Hang Tuah menipu? Harus diingatkan tujuh langkah dari liang lahad itu dapat dikatakan masa yang agak singkat untuk panglima besar yang tangkas seperti Hang Tuah. Atau mungkin sahaja Hang Tuah ada azimat Houdini? Iaitu hikmat melepaskan diri bagai ahli magik.
Setelah membalut badannya yang telanjang dengan kain, Hang Tuah menjelaskan dengan lebih melongokan iaitu tatkala dilibas gunung api tersebut, beliau menepis sambaran api sebesar gunung itu dengan dua belanga besi. Tentu sahaja gambaran yang mengenai Laksamana Hang Tuah itu ibarat ilustrasi Kapten Amerika diterik api.
Bagaimana ia beroleh belanga itu tidak diketahuinya, malah terdapat kesan sambaran api yang mengakibatkan belanga itu sedikit sumbing. Ini merupakan satu unsur kekaguman yang begitu wau pada epik ini.
Demikian hebat tesis Hang Tuah yang membuat kajian lapangan sehingga sanggup ditanam hidup-hidup, semata-mata untuk memastikan satu permasalahan kajian iaitu apa rasanya berada di dalam kubur.
Tentu saja baginda Raja sendiri tidak berani ditanam hidup-hidup. Sehingga Laksamana Hang Tuah yang terpaksa menawar diri demi menjilat majikannya. See his level? Sungguh adegan ini sangat menghiburkan saya tatkala saya membaca Hikayat Hang Tuah.
Di dalam epik itu, baginda Raja kembali ke istana dan gembira kerana Hang Tuah terselamat. Akan tetapi peristiwa ‘Langkah Kubur’ itu menyebabkan tuanku murung. Kemurungan itu sehingga mendorong raja turun takhta. Dalam bayangan dan khayal saya; sebelum baginda meninggalkan istana, baginda sempat membalas khidmat setia Hang Tuah tersebut dengan gelaran kebesaran. Ketika upacara adat istiadat penganugerahan itu berlangsung, Raja sempat bertitah begini:
‘Oleh kerana kamu Hang Tuah study sentimental, skor heavy metal maka beta anugerahkan gelar kamu Hang Tuah itu Datuk Seri. Juga, dek kerana kamu satu-satunya orang yang ada ilmu mengenai alam barzakh maka kamu juga wajar mendapat taraf doktorat membawa gelar Dr juga. Namun gelar ini hendaklah dipakai dalam tanda kurungan memandangkan kamu itu sebenarnya tiada menempuh jalan menara gading di Temasek tetapi – hanyalah – menempuh jalan dua talam emas.’
Berbaloi juga bertelanjang di dalam kubur dan dilihat orang, dengan gunung api yang hampir menyambar. Dua talam emas dalam pemilikan. Bahkan beroleh pingat yang bukan calang-calang. Hang Tuah seperti yang kita tahu amat akur dan bersyukur, seraya mengangkat sembah penuh feudal.
Sejak itulah Hang Tuah dikenali sebagai Datuk Seri (Dr) Hang Tuah. See his level?

Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.