Datuk Bandar Jocelyn Yow Adalah Datuk Bandar Yang Kita Hanya Mampu Impikan

Hujung minggu sudah media sosial Malaysia riuh dengan kisah pelantikan seorang wanita keturunan Malaysia, Jocelyn Yow sebagai datuk bandar Eastvale di California, Amerika Syarikat.

Jocelyn adalah wanita kacukan Malaysia (bapa) dan Vietnam (ibu). Bapa Jocelyn adalah seorang rakyat Malaysia keturunan Cina yang melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat sekitar tahun 1980-an. Di sana, beliau berkenalan dengan ibu Jocelyn seorang imigran dari Vietnam. Mereka berkahwin dan Jocelyn dilahirkan di Amerika Syarikat sekaligus memperolehi kewarganegaraan negara itu.

Pada tahun 1996, keluarga Jocelyn pulang dan menetap di Alor Setar, Kedah selama lebih 10 tahun. Sepanjang itu juga Jocelyn bersekolah di SMJK Keat Hwa. Pada tahun 2011 Jocelyn kembali ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pengajian dan seterusnya menetap di sana. Keluarga Jocelyn juga turut berpindah untuk bermastautin di negara Uncle Sam.

Pelantikan Jocelyn yang berumur 25 tahun mencipta sejarah sebagai datuk bandar bukan kulit pulih termuda dalam sejarah Amerika Syarikat. Maka tidak hairanlah berita pelantikannya dilaporkan secara meluas oleh media. Apatah lagi di Malaysia, dan mungkin Vietnam, kerana susur galur keturunan Jocelyn adalah dari kedua negara ini. Sedikit sebanyak, kita juga turut menumpang rasa bangga dengan pencapaian Jocelyn, sama seperti berkongsi kebanggaan setiap kali ada atlet, artis atau individu asal Malaysia yang mencipta nama atau berjaya di persada antarabangsa.

Namun, dalam kita meraikan Jocelyn Yow satu perkara yang perlu kita sedari ialah pencapaian Jocelyn tidak mungkin akan berlaku jika beliau masih di Malaysia. Seorang wanita muda pada usia pertengahan 20-an dan bukan Bumiputera berkemungkinan besar agak mustahil dapat dilantik sebagai seorang datuk bandar di mana-mana bandar di Malaysia.

Hakikatnya, pilihan raya tempatan kali terakhir diadakan di Malaysia pada tahun 1965. Amalan mengundi datuk bandar atau ahli majlis telah dimansuhkan sejak itu dan kaedah yang digunakan adalah dengan melantik terus datuk bandar di kalangan penjawat awam. Berbeza dengan Amerika Syarikat, yang masih memberikan hak mengundi kepada rakyat untuk menentukan siapa yang terpilih untuk menjadi datuk bandar berdasarkan polisi dan tawaran yang dibawa oleh calon bertanding.

Maka, bayangkan individu seperti Jocelyn Yow perlu berkhidmat dalam perkhidmatan awam dari umur muda dan dari bawah sebelum mencapai gred selayaknya untuk bergelar datuk bandar yang mungkin akan berlaku ketika beliau berumur 50 tahun dan ke atas. Agak mustahil Jocelyn boleh dilantik sebagai datuk bandar pada usia semuda 25 tahun apabila ramai lagi penjawat awam berpangkat senior dan gred lebih tinggi di atas beliau.

Dan melihat kepada trend semasa di mana perkhidmatan awam Malaysia semakin dipelopori oleh kelompok Bumiputera, individu berbangsa Cina seperti Jocelyn hampir tiada dalam kalangan penjawat awam negara. Tidak ramai datuk bandar bukan Bumiputera di Malaysia, kecuali di Pulau Pinang atau di Sarawak. Jika Jocelyn masih menetap di Alor Setar, persoalan mempunyai datuk bandar berbangsa Cina di bandar raya majoriti Melayu adalah sesuatu yang hampir tidak terjangkau dek akal.

Justeru, keghairahan kita melihat Amerika Syarikat mampu meletakkan wanita muda berumur 25 tahun dan baru 6 bulan melahirkan anak sebagai seorang datuk bandar adalah keghairahan yang bersifat angan-angan Mat Jenin.

Datuk bandar di Malaysia tidak dipilih oleh pengundi, tetapi dilantik oleh perkhidmatan awam. Maka datuk bandar kita kebanyakannya adalah individu berumur yang memegang jawatan tanpa perlu menjawab kepada pengundi yang merupakan penghuni bandar tersebut. Jadi tidak hairanlah seorang datuk bandar masih boleh kekal sebagai datuk bandar sekalipun longkang tersumbat, trafik sesak, taman awam habis digomol pemaju perumahan dan gedung pasar raya dan jenayah meningkat kerana penduduk bandar itu tiada kuasa untuk menyingkirkan datuk bandar yang lena untuk diganti dengan calon yang lebih berpotensi.

Jocelyn Yow dilantik sebagai datuk bandar di California kerana polisi beliau yang dilihat progresif dan mesra penduduk bandar. Jocelyn wajib menjalankan tugas beliau sebagai datuk bandar dan memenuhi jangkaan pengundi jika beliau mahu kekal sebagai datuk bandar. Joclyn bukan dilantik ke jawatan beliau, tetapi diundi ke jawatan tersebut.

Dan latar belakang Jocelyn, sebagai anak orang Cina dan imigran Vietnam adalah kisah yang boleh diterima di Amerika Syarikat tapi tidak di Malaysia. Di negara kita yang dikatakan majmuk ini, ayah Jocelyn mungkin dilihat sebagai ‘bangsa pendatang’ dan bukan Bumiputera, sedang ibunya yang merupakan imigran Vietnam berkemungkinan besar dinafikan kerakyatan berkali-kali. Jocelyn mungkin tidak ke universiti awam, jika berduit bolehlah masuk ke kolej swasta, maka kemungkinan besar Jocelyn selepas graduasi akhirnya bekerja di sektor swasta. Mungkin di syarikat milik Cina yang mengutamakan penguasaan bahasa Mandarin.

Jika Jocelyn mahu aktif politik, beliau mungkin masuk MCA atau Gerakan. Atau pun tidak masuk DAP, dan kemudian akan digelar rasis serta tidak hormat pada bangsa ‘tuan rumah’.

Siapa yang akan mengisi kerusi datuk bandar yang tidak akan diisi oleh Jocelyn? Berkemungkinan besar seorang penjawat awam berumur yang rasa dirinya hebat lalu menamakan sebuah stadium mini dengan namanya sendiri yang diterbalikkan ejaannya.

Seperti Ffira Mikah.

Komen