Darihal Jahat, Penjahat Dan Kejahatan

Bila kali terakhir anda semua berhadapan dengan sebuah kejahatan? Adakah masih segar dalam fikiran anda mengenai kejahatan itu? Siapa pelakunya dan apa kesannya? Mahu atau tidak sesebuah kejahatan itu sering dikaitkan dengan individu. Bermakna kejahatan yang kita paling ingat apabila kejahatan itu berlaku pada diri kita sendiri dan kitalah sendiri yang menanggungnya.

Tapi sedarkah kita bahawa kejahatan itu juga boleh hadir lalu meninggalkan kesan pada manusia secara kolektif? Ia boleh wujud dalam organisasi, badan-badan perundangan, penguasa, elit politik dan pemodal malah institusi-institusi agama yang paling banyak diberi kepercayaan oleh masyarakat. Bermakna sekiranya kejahatan dilakukan pada peringkat ini, yang menanggung akibatnya melibatkan jumlah manusia yang cukup banyak.

Apa itu kejahatan?

Secara umumnya kejahatan itu merupakan tingkah laku yang bertentangan dengan undang-undang lalu merugikan si penderita, juga sangat merugikan masyarakat seperti hilangnya keseimbangan, ketenteraman dan ketertiban. Awas kerana kita harus selalu peka dengan apa yang berlaku di sekeliling kita, jangan-jangan kejahatan itu sedang berleluasa. Oleh itu, saya mencirikan 15 ciri kejahatan yang sering berlaku dan mendominan di sekeliling kita.

Ciri-ciri Jahat, Penjahat dan Kejahatan

1. Melengahkan bantuan kepada yang terlantar kerana mereka tidak sealiran ideologi dan tidak berkepentingan besar. Sering berlaku dan saya pernah melihat dengan mata sendiri satu bantuan tidak diagih kerana mangsa itu tidak pernah hadir ke masjid. Selain masjid, hal ini juga timbul disebabkan oleh kepentingan politik semata-mata untuk meraih sokongan dan undian.

2. Berat sebelah. Cepat hukum yang satu tapi buta pada kesalahan sama pada yang lain. Kelihatannya arbitrari. Hukuman itu hanyalah terguna pakai pada rakyat yang banyak bukan pada elit penguasa dan keturunannya. Jika orang miskin mencuri lampin dan susu bayi cepat saja dihukum penjara dua hingga tiga tahun. Perasuah, perompak, dan pelanggar undang-undang negara dibiarkan saja kerana atas dasar mereka itu kaya dan berstatus.

3. Merompak wang negara. Ini sering berlaku pada negara, pemimpinnya merompak wang hasil titik peluh rakyat. Ini satu kejahatan besar dan sepatutnya tiada ruang pengampunan kerana wang yang diambil itu dari hasil titik peluh orang tua miskin, anak-anak tidak cukup zat, ibu-ibu yang kelaparan dan para pekerja yang sering membanting tulang siang dan malam bagi menampung kehidupan.

4. Bina sekolah tetapi tiada ciri keselamatan dan fasiliti lengkap. Bayangkan masih ada sekolah di negara ini yang tidak punya atap atau atapnya bocor, tidak ada kemudahan air dan elektrik, kerusi meja tidak mencukupi, tiada jalan berbumbung untuk anak-anak berteduh, tiada capaian Internet dan komputer yang secukupnya malah kadangkala makanan yang disediakan tidaklah berkhasiat. Inilah antara ciri kejahatan yang membelenggu anak-anak kita.

5. Tidak amanah dalam menjalankan tugas. Kejahatan ini boleh dilihat pada kemudahan atau fasiliti-fasiliti awam. Jalan penuh dengan lubang, bekalan api dan air yang selalu terputus tanpa ada notis dan sebab, perpustakaan tidak dibangunkan, badan-badan penguatkuasa mengambil enteng setiap laporan yang dilaporkan, pendidikan tidak dinaiktarafkan, hospital tidak diambil peduli keperluannya. Tidak amanah ini boleh dilakukan sesiapa sahaja dari kakitangan awam sehinggalah ke elit-elit politik.

6. Buat undang-undang sendiri. Undang-undang digubal lalu diterbitkan hanyalah untuk mengekalkan kekuasaan status quo bukanlah kerana keadilan. Mahkamah bukan menjadi tempat mencari kebenaran tetapi hanyalah sebagai tempat perlindungan untuk menutupi segala kejahatan mereka. Rakyat bawah yang tidak mematuhi undang-undang ini akan dihukum sepuasnya, walhal mereka menciptakan ini memang untuk menghukum dan memperlihatkan sisi kekuasaannya.

7. Menghalalkan korupsi atas dalil agama. Ya tidak salah. Ada juga sebahagian dari elit penguasa ataupun elit agama yang sewenang-wenangnya menghalalkan korupsi dengan dalil-dalil agama mereka. Tambah lagi, dua kelompok ini boleh duduk semeja bergabung kuasa sambil tertawa tanpa ada rasa salah sedikit pun dalam diri mereka. Kalau ini bukan kejahatan apa lagi yang harus kita kata?

8. Duit jemaah dan umat habis disapu. Boleh terjadi di pelbagai peringkat terutama sekali institusi agama. Kadang-kala agama itu dijadikan sebagai selapisan untuk mengoptimumkan keuntungan. Tak kisahlah untuk derma, pergi ke haji atau apa saja yang melibatkan aktiviti keuntungan termasuk duit simpanan ke tanah suci pun diseleweng. Apa lagi yang boleh kita katakan?

9. Berhutang sehingga generasi depan tanggung beban. Dalam ekonomi berhutang memang merupakan satu keperluan terutama apabila kita tidak dapat menyediakan wang yang cukup untuk sesuatu perkara yang boleh menjadi pelaburan di masa depan. Namun berhutang atas kepentingan peribadi dengan menggadaikan dana awam secara keterlaluan adalah perbuatan yang zalim kerana generasi mendatang secara turun temurun akan bergelut menyelesaikan hutang yang makin lama makin menimbun seterusnya menjejaskan pembangunan.

10. Tidak menghargai alam dan kemanusiaan. Alam ditoreh sesuka hati atas nama keuntungan kemudian disembunyikan tangan-tangan mereka apabila menerima keuntungan yang menderitanya pula rakyat. Begitu juga kemanusiaan dengan tenang menyaksikan nyawa-nyawa lain terbang atas alasan itu bukan tanggungjawab.

11. Kaya tapi tidak mahu bayar cukai. Sering terjadi pada syarikat-syarikat besar dengan keuntungan yang berlipat kali ganda. Lari dari membayar cukai ini satu kejahatan selain melanggar undang-undang ia juga menjejaskan ekonomi negara. Negara bergerak dengan cukai nantinya cukai akan menjadi regresif dengan menekan kaum-kaum miskin lebih banyak oleh kerana perlu menampung kelompok kaya yang lari dari membayar cukai.

12. Membodek pemimpin sampai buat dasar tak masuk akal. Merebut jawatan sehingga jawatan tersebut dapat pada orang yang tidak layak. Mulalah timbul dasar-dasar yang tak masuk akal, lucu dan dangkal kononnya itulah yang terbaik walhal mereka tidak ada kepakaran yang sepenuhnya dalam mengendalikan kerja. Akhirnya punah kerja dan sistem, masyarakat hidup merempat.

13. Buat projek ambil tender tapi kerja terbengkalai. Berapa banyak kita dapat kita saksikan bangunan atau binaan-binaan yang akhirnya terbengkalai? Mereka membodek, merasuah untuk mendapatkan projek. Setelah dapat wangnya itu lesap dan hasilnya juga tidak tegap. Ada projek yang terpaksa diteruskan juga maka berlakulah kecacatan dan kekurangan di sini sana, bangunan jadi sopak dan rosak serba serbinya. Gaji pekerjanya juga diabaikan. Cuba bayangkan jika ia berlaku di sekolah atau hospital? Jangan-jangan ia sudah pun dilakukan.

14. Gelandangan tak termasuk dalam rencana perumahan awam. COVID-19 sepertinya mengajak kota-kota berbicara. Bayangkan betapa banyaknya gelandangan yang ada di ibu kota? Setiap hari kita mendengar berita bangunan besar-besar dibina, tapi mengapa kelompok ini tidak dimasukkan sekali dengan perancangan pembangunan itu? Jahat sekali sekiranya kelompok ini diabaikan lalu sengaja dibiarkan bertempiaran.

15. Demokrasi jadi cabai, yang boleh ditimbang-timbang dan dibeli sesuka hati. Saya tak faham kenapa demokrasi boleh diperlakukan sebegitu sekali, walhal kitalah yang mendokong demokrasi dengan begitu tinggi. Kalau demokrasi pun boleh dicurangi apatah lagi impian-impian masyarakat? Penjahat dan kejahatan makin lama makin mendominan dan muka-muka mereka menjadi semakin tebal.

Semua senarai tadi merupakan antara kejahatan yang ada kini, kejahatan dan penjahat semacam itu haruslah kita tolak, keji bantah dan jauhi. Siapa yang masih ragu-ragu atau tidak peduli maka orang itu telah masuk dalam lembah kejahatan. Kejahatan itu sebenarnya memang berlaku di sekeliling kita, usah terbuai atau menunggu kata korupsi dan tidak adil dipampangkan secara terang-terangan di depan anda oleh elit-elit penguasa untuk menunjukkan bahawa kejahatan itu wujud sampai kita lupa asas kejahatan itu sering berlaku di depan mata kita dan kita boleh menilaikannya sendiri.

Komen