Ironinya kita sering dengar setiap musibah pasti ada hikmahnya, dan dalam konteks ancaman musibah wabak COVID-19 ini antara hikmah utama yang dapat kita lihat ialah begitu ramai rakyat kita tampil untuk menghulurkan bantuan serta bersemangat menjadi sukarelawan bagi mengurangkan beban dan kesusahan orang lain. Sikap terpuji seperti ini sudah semestinya satu persekitaran yang cukup baik dan positif dalam melahirkan anggota masyarakat yang prihatin, ikhlas dan sanggup mengorbankan masa dan juga wang ringgit untuk kesejahteraan hidup orang lain.
Hakikatnya wabak ini menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk satu tempoh yang agak lama. Akibatnya, pekerjaan dan pendapatan majoriti anggota masyarakat terjejas teruk, malah kelompok yang berniaga kecil-kecilan seperti peniaga pasar malam, penjaja dan peniaga nasi lemak serta yang bekerja sendiri dan bergaji hari langsung tidak ada pendapatan sepanjang tempoh PKP ini. Ini menyebabkan kelompok yang selama ini hidup umpama kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang menerima kesan langsung yang terlalu dasyat.
Namun kita bersyukur di samping pelbagai bantuan dan inisiatif pihak kerajaan, masih ramai dari kalangan anggota masyarakat yang sudi dan bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik ini. Baik individu mahupun badan bukan kerajaan kelihatan sudah mula mengumpul dana, membeli dan menyumbang barangan keperluan harian serta menjadi sukarelawan dalam pelbagai tugasan. Malah dana tabung COVID-19 juga kelihatan semakin bertambah hasil sumbangan pihak korporat yang turut prihatin dan ingin membantu.
Hakikatnya tatkala kita berhadapan dengan musibah seperti ini, keperluan oleh setiap segmen dalam masyarakat adalah pelbagai dan kompleks. Misalnya para petugas barisan hadapan dari kalangan petugas kesihatan yang sedang bertungkus lumus menyaring dan merawat pesakit memerlukan pelbagai keperluan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik. Antaranya ialah, PPE, hand sanitizer dan penutup hidung dan mulut yang dilihat mendapat permintaan yang tinggi. Jika keperluan ini tidak dapat disediakan maka proses pemberian rawatan kepada pesakit akan terjejas sekali gus menyukarkan lagi usaha untuk mengekang penularan wabak ini. Manakala anggota masyarakat lain yang tidak dapat keluar dari rumah atau terputus sumber pendapatan pula sudah semestinya mengharapkan bantuan barangan keperluan harian untuk kegunaan seisi keluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Maka di sinilah muncul individu dan badan bukan kerajaan yang sanggup memikul tanggungjawab untuk menghulurkan bantuan. Buktinya kita dapat lihat pelbagai pihak menghulurkan sumbangan kepada pihak hospital baik dalam bentuk kewangan kepada kerajaan atau dalam bentuk barangan seperti PPE, hand sanitizer dan penutup hidung dan mulut bagi membolehkan para petugas dapat meneruskan perkhidmatan dengan lebih selamat dan yakin. Malah kita juga teruja melihat ada pihak yang turut sudi menyumbang makanan kepada para petugas ini sebagai membalas jasa dan sumbangan mereka.
Begitu juga halnya dengan pelbagai sumbangan barangan keperluan harian seperti beras, tepung, gula dan minyak kepada keluarga yang memerlukan dan terjejas teruk angkara wabak ini. Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kerajaan di samping memperbanyakkan lagi sumbangan kepada anggota masyarakat.
Sesungguhnya musibah seperti ini berjaya menzahirkan sikap tanggungjawab dan kekitaan rakyat kita yang sedia menghulurkan bantuan dengan jujur dan ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang balasan mahupun penghargaan. Kita tabik individu dan badan bukan kerajaan seperti ini yang memberikan sinar harapan besar kepada anggota masyarakat yang kurang bernasib baik dan membantu tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.
Semoga sikap dan niat ingin membantu orang lain, prihatin dengan nasib malang orang lain, ingin berkongsi rezeki dengan orang lain, serta semangat sentiasa bersedia menjadi sukarelawan akan terus subur dalam jiwa dan sanubari seluruh rakyat negara ini. Ternyata mereka ini juga wajar digelar sebagai wira yang tidak didendang. Terima kasih wabak COVID-19 kerana berjaya melahirkan lebih ramai lagi rakyat yang budiman, baik hati dan bertanggungjawab. Musibah ini juga ada hikmahnya.
Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat. Beliau juga merupakan ahli pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW).