COVID-19: Erti Syukur

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Wabak Korona yang bermaharajalela menggusarkan seluruh umat dunia sehingga Malaysia tidak terkecuali. Bahkan Perintah Pergerakan Kawalan yang dilanjutkan menambah sengsara dalam diri sehingga membantutkan aktiviti dan amalan seharian manusia normal.

Di tengah badai virus yang membadai pantai manusia, masih juga wujud manusia yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kemudahan sepanjang PKP ini. Sehingga menimbulkan perasaan mual dan benci di hati masyarakat kerana sikap sombong dan lagak kaya mereka sedangkan kita berada di sebuah persimpangan peperangan melawan musuh yang mematikan.

Masih lagi mereka menggunakan akal bersaiz skru kecil sedangkan sudah dewasa dan matang luaran mereka. Sesungguhnya orang yang tidak bersyukur seperti ini bukanlah satu contoh yang baik sebagai tauladan masyarakat Malaysia yang harmoni dan merendah diri.

Dalam kekalutan melawan wabak ini, masyarakat seharusnya bersyukur dengan apa yang sudah tersedia dan juga mensyukuri akan bantuan yang disalurkan kerajaan. Janganlah meminta seolah-olah angin kencang virus ini sudah berakhir.

Seharusnya kita menjadi hamba yang bersyukur dengan apa yang sudah ada. Ini kerana keadaan kita sudah berada di paras yang agak baik jika dibandingkan dengan rakyat di seantero dunia kerana kita bersama dengan orang-orang yang prihatin akan nasib masyarakat bersama.

Sebenarnya sifat syukur itu adalah sifat yang berada di tahap yang tertinggi kata Syeikh Abdul Qadir Mandili. Sehinggakan tingginya peringkat syukur dan sukar dicapai menyebabkan ramai manusia yang gagal menggapainya. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sememangnya sedikit sekali dari kalangan hamba-hambaKu yang bersyukur”
(As-Saba:13)

Bukalah jendela dan intailah saudara-saudara kita di seluruh pelosok dunia.Ughyur berkata bagaimana rasanya kamu apabila tidak dapat beribadah di masjid kerana ditutup. Sedangkan mereka telah lama diuji dengan ujian seperti ini.
Palestin bertanya bagaimana rasanya terkurung di negara sendiri tanpa keamanan untuk keluar ke mana-mana kerana virus yang melanda sedangkan mereka sudah lama dibedil keamanan negaranya oleh jet-jet dan roket-roket negara Israel.

Bagaimana pula rasanya kebebasan kamu diambil hanya kerana virus ini sedangkan Rohingya sudah lama menderita akan nikmat kebebasan yang indah dan pekat anugerahnya.

Kesemua mereka sudah merasai ujian yang sungguh besar sedangkan kita, jika dibandingkan entah bagai langit dan bumi atau tidak sampai agaknya. Marilah bersyukur dengan apa yang sudah ada di negara kita serta mendoakan agar dipercepatkan rantaian wabak ini berakhir.

Amatlah mulia untuk kita mengimplementasikan kesyukuran Nabi Ayub yang diuji dengan sakit yang sangat berat. Sehingga seluruh tubuhnya menderita kesakitan kecuali lisan dan hatinya namun masih tetap setia berzikir kepada-Nya. Bahkan isterinya meminta agar memohon agar baginda berdoa untuk disembuhkan secepatnya.

Lantas Nabi Ayub berkata, “Istriku, berapa lama kita bahagia dan berapa lama aku sakit? Rasanya malu untukku meminta kepada Allah disembuhkan padahal kenikmatanku lebih banyak daripada sakitku.”

Sayugia bagi kita untuk bersyukur dengan nikmat yang ada tatkala dalam ujian yang getir ini di samping bersabar dan berdoa kepada ilahi. Ini kerana Allah menegaskan dalam Firman-Nya yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya sekiranya kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmatKu kepada kamu.”
(Ibrahim:7)

Simpanlah rungutan-rungutan yang menunjukkan keegoan diri yang tidak bersyukur dengan nikmat kerana yang demikian hanya mengeruhkan keadaan dan memburukkan nama sendiri. Jadilah hamba yang bersyukur dengan apa yang sudah ada tambahan pula di tengah padang rumput yang penuh dengan jerangkap samar virus durjana.

Dalam suasana yang kita sama-sama merasainya sekarang, kita tidak boleh saling bersandiwara dengan mempamerkan sikap buruk yang lebih terarah kepada gaya penentangan dan kesombongan diri.

Kita bersama harus memikul tanggungjawab mesti menang menentang wabak ini. Hidup ini adalah pendek maka janganlah dipendekkan dengan meletakkan rungutan sebagai keutamaan sebaliknya bersyukurlah dengan segala pemberian kerana barang yang disyukuri itu menambah ketenangan hati dan jiwa. Sesungguhnya ketenangan jiwa adalah menghidupkan hari-hari dalam kehidupanmu.

Tentang Penulis

A.R. Kasa adalah mahasiswa di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya.

Komen