COVID-19 Dan Pasca PRN Sabah

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Tanggal 26 September 2020 telah menyaksikan satu sejarah baru tercipta di dalam arena politik negara kita apabila berlakunya Pilihanraya Negeri Sabah ke 16 setelah Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan pada 30 Julai 2020 akibat dari cubaan rampasan kuasa yang diketuai oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Pilihanraya negeri ini telah menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – iaitu gabungan antara Barisan Nasional dan kompenen bersama Perikatan Nasional, Parti Bersatu Sabah dan STAR telah memenangi sebanyak 38 kerusi sekali gus melayakan gabungan ini menubuhkan kerajaan negeri Sabah. Namun ia tidak semua yang disangka. Akibat dari tiada perbincangan terperinci, maka perdebatan antara GRS mengenai calon Ketua Menteri menjadi hangat dan pada hari Isnin 28 September 2020, GRS menamakan Datuk Haji Hajiji Mohd Noor sebagai calon Ketua Menteri dan akan mengangkat sumpah pada 29 September 2020.

Maka selesai sudah kemelut yang melanda Sabah. Namun ada satu lagi kemelut besar, peperangan yang tidak tahu bila akan berakhir dan ia bukan sahaja melanda Sabah bahkan melanda seluruh dunia pada masa ini iaitu peperangan menghadapi pandemik Covid-19.

Beberapa minggu sebelum bermulanya penamaan calon di Sabah, beberapa kluster baru telah ditemui di Sabah terutamanya di Lahad Datu dan Semporna. Jumlah kes baru semakin meningkat. Namun tiada tanda pilihanraya negeri akan ditangguhkan. Maka bermulalah proses pernamaan calon dan kempen setiap parti yang bertanding. Dan jentera kempen parti dari seluruh pelusuk negara turun memberikan sokongan dan membantu gerak kerja kempen parti. Dalam keghairahan berkempen, SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia acap kali dilanggar dan dipandang ringan. Akhirnya, covid-19 telah menemui mangsa pertama dari kalangan ahli politik yang turun berkempen iaitu Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razlan Rafii. Setelah pengesahan dibuat oleh pihak parti, tular gambar Razlan turun berkempen tanpa mengenakan pelitup muka. Kesan daripada itu beberapa buah pasar tamu telah diarahkan untuk ditutup untuk proses saringan dan juga disinfeksi.

Perkara ini walaupun mungkin dilihat sebagai perkara kecil dan asas, namun kesan penutupan pasar tamu itu amat besar. Rata-rata peniaga yang berniaga di pasar tamu itu bukanlah dari golongan bangsawan yang harta mereka melimpah ruah. Mereka datang dari latar belakang yang susah dan sederhana yang bergantung dengan pendapatan harian berniaga di pasar tamu itu. Penutupan pasar tamu itu secara langsung memberikan impak yang besar dari segi ekonomi mereka yang berniaga di situ.

Mangsa kedua dari golongan ahli politik adalah Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan. Beliau telah menjalani ujian saringan covid-19 setelah pulang dari Sabah dan kini menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh. Pada hari pembuangan undi, salah seorang calon dari Barisan Nasional DUN Pitas, Sufian Abdul Karim pula mengesahkan beliau positif covid-19. Selepas daripada itu beberapa orang dari jentera Barisan Nasional juga mengesahkan mereka positif covid-19 di sosial media masing-masing. Semakin hari semakin meningkat kes baru dan kluster baru ditemui. Dan semua mempunyai hubung kait dengan negeri di bawah bayu.

Kita bersimpati kepada mereka yang dijangkiti covid-19 ini. Namun pada masa yang sama hal ini sebenarnya boleh dicegah dan dibendung dari awal. Kerajaan sepatutnya menangguhkan pilihanraya negeri Sabah apabila kes baru mencecah ke 3 angka dan melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah terutamanya di kawasan yang paling teruk terjejas. Larangan kepada jentera pilihanraya luar dari negeri Sabah datang berkempen juga seharusnya dikeluarkan untuk membendung penularan covid-19 ini di Semenanjung dan Sarawak. Suruhanjaya Piliharaya (SPR) juga boleh membenarkan bahawa kepada rakyat negeri Sabah yang bermastautin di Semenanjung dan Sarawak boleh mengundi secara pos atau berkelompok di negeri mereka bermastautin. Semua ini adalah tidak mustahil untuk dilakukan. Namun pihak kerajaan telah gagal untuk melakukannya.

Pada hari Ahad 27 September 2020, KKM mewajibkan semua penumpang kapal terbang yang tiba dari Sabah menjalani ujian saringan covid-19 di lapangan terbang dan menjalani perintah kuarantin di rumah selama 14 hari. Namun Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri kemudiannya mengeluarkan kenyataan jika keputusan ujian saringan adalah negatif, mereka tidak perlu menjalani kuarantin selama 14 hari. Ini adalah bertentangan dengan apa yang ditetapkan oleh KKM. Perlu diingatkan virus covid-19 ini mengambil masa 14 hari untuk menunjukan simptom yang ketara. Jika ujian awal adalah negatif, ia tidak bermakna tiada langsung jangkitan. Seperti mana kes kluster Sivagangga, pada mulanya lelaki yang membawa virus ini disahkan negatif dan diarahkan untuk kuarantin di rumah. Namun beliau melanggar perintah itu dan akhirnya malapetaka telah berlaku di Kedah. Kita amat beruntung kakitangan awam terutamanya dari KKM amat cekap mengendali pandemik ini. Namun kita semua manusia, tahap kecekapan dan semangat kita juga boleh menurun. Pada hari Ahad, lambakan penumpang tiba dari Sabah telah diletakkan di dalam sebuah ruang dewan yang kecil dan padat sementara menunggu giliran membuat ujian saringan covid-19. Mereka terpaksa menunggu lama kerana KKM kekurangan kakitangan untuk mengendalikan keadaan ini. Keadaan ini adalah seperti bom masa yang menunggu saat untuk meletup. Cuba kita bayangkan jika ada seorang yang sebenarnya positif covid di dalam keadaan yang padat begitu, berapa ramai yang telah beliau jangkiti? Dan jangkitan tidak berlaku secara mendadak kerana ia mengambil masa, namun kerajaan pula melalui Menteri Kanan Pertahanan telah mengumumkan arahan jika keputusan ujian saringan negatif, maka tiada kepentingan untuk meneruskan kuarantin.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM seharusnya sudah bersiap siaga untuk menghadapi keadaan ini. Jadual penerbangan tiba dari Sabah boleh diperolehi dari awal dan boleh menjangkakan berapa ramai penumpang yang bakal tiba. Semua boleh diaturkan dan dikoordinasikan dengan baik jika ada perancangan awal. Malangnya ia tidak berlaku dan kelihatan pihak MKN seperti amatur dalam mengendalikan keadaan-keadaan sebegini.

Kadang-kadang saya sendiri tertanya-tanya adakah kerajaan ini benar-benar mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat atau hanya mahukan kuasa dan menyelamatkan tengkuk sendiri. Tentu sahaja arahan pengecualian kuarantin itu dapat membolehkan menteri-menteri yang pulang dari Sabah untuk tidak perlu menjalani perintah kuarantin dan boleh kembali ke aktiviti mereka yang kebanyakannya ialah bertemu dengan orang ramai.

Adakah kuasa dan kestabilan politik ini lebih berharga dari nyawa rakyat kita? Jika kita terpaksa melalui satu lagi episod PKP, saya pasti ramai rakyat akan menderita lebih dari apa yang mereka lalui pada PKP yang pertama. Sebenarnya rakyat kita terutamanya pengusaha perniagaan kecil dan sederhana masih belum pulih lagi keadaan ekonomi mereka akibat dari PKP yang terdahulu. Itu belum lagi dikira rakyat yang masih menganggur akibat dibuang kerja sewaktu PKP dahulu. Pernahkah ini terlintas di fikiran para menteri termasuk Perdana Menteri kita, atau mereka hanya memikirkan cara untuk mengekalkan kuasa mereka. Biarlah rakyat mati, janji kuasa tetap milik mereka.

Perdana Menteri juga telah mengumumkan dalam satu ucapan beliau sewaktu berkempen di Sabah, jika GRS menang pilihanraya negeri maka Pilihanraya Umum akan dipercepatkan. Ini malapetaka. Sudahlah mencuri mandat rakyat, kini kerajaan ini sepertinya ingin membunuh rakyat pula.

Tolonglah, fikirkan kepentingan rakyat, kepentingan golongan yang hidup kais pagi makan pagi ini. Tidak semua rakyat dalam negara ini mampu memakai selipar berharga ribuan ringgit di dalam rumah. Jangan biar rakyat menanggung derita akibat kesilapan dan kegagalan kerajaan yang tidak efisyen dalam menangani wabak covid-19 ini. Lupakan kuasa seketika. Letak kepentingan rakyat dihadapan. Hentikanlah kegilaan membolot kuasa. Terbanglah rendah sedikit, berpijaklah di atas bumi bukan di tanah kayangan. Berhentilah menjadi Raja Bersiong yang ketagih darah rakyat jelatanya.

Benar, rakyat juga bertanggungjawab demi membendung penularan covid-19 ini. Rakyat wajib mematuhi semua SOP termasuk arahan memakai pelitup muka, akan tetapi ada pepatah menyebut “kepimpinan melalui tauladan”; bagaimana rakyat hendak mematuhi arahan jika pemimpin juga bersikap seperti orang gasar yang hidup tanpa undang-undang dan melanggar arahan yang telah diwartakan?

Rugilah jika memiliki kuasa dan menjadi kerajaan tapi pada hakikatnya gagal. Gagal menjadi contoh. Gagal menjaga kesejahteraan rakyat dan tidak prihatin tentang kehidupan dan kesusahan rakyat. Peperangan bersama covid-19 ini masih jauh lagi dan tidak tahu bila ia akan tamat. Jangan hanya menang kuasa, tetapi kalah peperangan bersama covid-19. Tetapkan keutamaan dan keutamaan itu amat jelas iaitu kesejahteraan rakyat dan memenangi perang menghadapi covid-19.

Komen