Ramai dari kalangan kita berasa cukup gembira bila kerajaan menamatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 9 Jun dan menggantikannya dengan PKP Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun hingga 31 Ogos 2020. Di samping pelbagai lagi kelonggaran diberikan termasuk pembukaan lebih banyak lagi sektor ekonomi, sosial dan pendidikan, antara yang mendatangkan keterujaan dalam kalangan anggota masyarakat ialah kebenaran untuk rentas negeri. Ini membolehkan rakyat sudah boleh balik ke kampung terutamanya apabila kita tidak dapat balik ke kampung untuk menyambut 1 Syawal tempoh hari.
Lantas kegembiraan yang ditonjolkan selepas tamatnya PKPB itu tidak keterlaluan jika diumpamakan sebagai seolah-olah negara kita baru mencapai kemerdekaan pada 10 Jun yang lalu. Namun jangan lupa kelonggaran dan kebebasan yang diberikan ini hadir dengan cabaran dan tanggungjawab yang tinggi. Kita masih perlu mematuhi segala arahan dan Prosedur Standard Operasi (SOP) kerana virus Covid-19 ini masih ada dengan kita. Malah tidak cukup dengan virus Covid-19, kita juga terus dihimpit kiri, kanan, atas dan bawah oleh virus politik yang terus merebak dan semakin sukar untuk dikawal.
Tidak dapat dinafikan kita tetap berhak untuk meraikan kemenangan dapat mengawal penularan wabak Covid-19, tetapi pada masa yang sama harus bersedia untuk berhadapan dengan dua situasi yang akan terus menghantui kita. Pertama, wabak ini belum berakhir sepenuhnya, jadi kita perlu terus berhati-hati. Kedua, bersedialah untuk berhadapan dengan gelora politik yang dilihat akan terus memuncak selepas ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia hanya boleh umum bebas daripada jangkitan wabak Covid-19 sekiranya tidak ada kes baharu direkodkan dalam tempoh 28 hari. Ia adalah penanda aras yang diguna pakai Kementerian Kesihatan pada ketika ini. Lain negara lain ketetapannya, misalnya negara jiran kita Laos mengumumkan negara itu berjaya memerangi wabak ini hanya selepas tiada kes baharu dilaporkan selama 59 hari berturut-turut.
Apapun kita yakin dan percaya dengan pendirian KKM dan sengambil kira ketetapan ini, jelas sekali kita belum bebas sepenuhnya kerana kita masih merekodkan kes baharu pada setiap hari. Justeru dalam kita bergembira kerana dapat menjalani kehidupan seperti biasa tanpa banyak sekatan seperti dulu, jangan sesekali lupa virus ini masih ada bersama-sama dengan kita. Mustahil ianya akan lenyap sepenuhnya begitu saja apatah lagi dalam sekelip mata. Tambahan pula, belum ada sebarang khabar gembira tentang kejayaan mana-mana negara menemukan vaksin untuk merawat virus ini.
Maka kita tidak mempunyai banyak pilihan selain terus berhati-hati. Harus diingat kebebasan dari pelbagai sekatan yang diberikan sekarang hadir dengan cabaran dan tanggungjawab yang besar. Kita tidak boleh bergantung harap sepenuhnya kepada barisan petugas hadapan semata-mata lagi untuk melindungi kita, sebaliknya kini kita perlu mengambil alih dan memikul tanggungjawab untuk menjaga kesihatan dan melindungi keselamatan diri dan juga anggota keluarga yang lain.
Misalnya, kini kita ada pilihan sama ada mahu memakai pelitup muka atau tidak, mahu kerap membasuh tangan atau tidak serta mahu menggunakan pensanitasi atau tidak. Kalau masih rajin, mampu mengekalkan tahap disiplin yang tinggi serta sanggup mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan maka peluang untuk kita menjauhi virus ini cukup baik, sebaliknya kalau kita beranggapan semuanya sudah berakhir dan tidak perlu lagi mengikat diri dengan amalan kebersihan seperti itu maka peluang untuk dijangkiti virus ini adalah lebih tinggi. Tuntasnya, semuanya bergantung kepada tahap kesedaran dan keinsafan kita terhadap ancaman wabak ini. Jadi buatlah pilihan yang terbaik supaya tidak menyesal kemudian hari.
Berakhirnya PKPB juga dilihat bakal merancakkan lagi suhu politik tanahair. Walaupun ketika PKP dan PKPB juga berlaku pelbagai drama politik namun kita percaya saat penentuan atau klimaksnya adalah selepas ini. Plot drama yang dimulakan pada Februari lepas melalui “Langkah Sheraton” sehingga berlaku perubahan tampuk pemerintahan di peringkat Persekutuan dan juga di beberapa buah negeri bakal meneruskan rentak suspennya selepas ini.
Misalnya, kita terus dimomokkan akan berlaku lagi perubahan tampuk pemerintahan. Masing-masing dilaporkan cuba mengumpul jumlah kerusi yang diperlukan untuk membuktikan kekuatan. Itu belum lagi kisah usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dalam sidang Parlimen Julai nanti.
Jadi rakyat terus disajikan dengan berita panas politik yang jelas kalis virus Covid-19. Jelas sekali serangan wabak ini juga tidak berjaya menghalang mahupun menyekat politikus kita dari terus berpolitik. Malah ada juga yang memanipulasi wabak ini untuk kepentingan dan laba politik masing-masing. Begitulah orang politik yang sangat bijak menggunakan segala ruang dan peluang yang ada untuk kepentingan mereka. Jangan salahkan mereka kerana memang itu DNA mereka.
Apapun, penyudahnya ialah rakyat semakin pening, bosan dan muak. Kini kita terpaksa berhadapan dengan dua krisis besar yang tiada kesudahannya. Kita tidak tahu bila wabak Covid-19 ini akan berakhir sepenuhnya, dan kita juga tidak pasti bila virus politik akan melabuhkan tirainya. Bagi wabak covid-19, mungkin kita boleh umum negara kita bebas jika tidak ada kes baharu dalam tempoh 28 hari serta ancaman boleh dikatakan berakhir bila sudah ada vaksin untuk merawatnya. Namun bagi virus politik berebut kuasa ini nampaknya tidak mungkin akan ada tempoh akhir atau vaksin untuk merawatnya. Tidak kiralah siapa yang berkuasa dan memerintah, usaha berterusan untuk menjatuhkan yang berkuasa akan tetap berlaku. Itulah realiti dunia politik!
Oleh itu janganlah kita terlalu cepat meraikan kebebasan dari PKPB kerana ancaman sebenar virus Covid-19 serta penularan virus politik belum berakhir dan masih terus mencengkam kehidupan seharian kita.

Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat. Beliau juga merupakan ahli pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW).