Cara-cara Kak Nah Selesaikan Masalah Orang Kampung

KAK Nah amat sesak dada kalau orang kampung beritahu mereka tak mandi. Mengapa sampai tidak mandi? Padahal air sungai banyak melimpah ruah sampai kadang meruap banjir bah. Air hujan boleh juga ditadah, di negara yang memang sepanjang masa hujan ini tidak waraslah kalau mengaku tidak mandi. Air paip itu meskipun kotor macam teh tarik sejak azali, ia masih boleh dibuat mandi. Kak Nah rasa sebak. Jadi bila diberitakan 57 buah keluarga tidak mandi, Kak Nah pun dirikan satu tangki sebesar bilik stornya. See, banyak gelen air boleh tampung dalam tangki itu. Bolehlah penduduk kampung mandi wajib berapa kali seminggu pun. Bolehlah orang kampung buat istinjak bila-bila lepas kencing berak. Bolehlah penghuni kampung membasahkan tekak kalau tergamak teguk. Bolehlah mereka beri minum ternakan. Puas rasanya puas – syukur Alhamdulillah – bila dapat menjirus air mandi untuk 57 buah keluarga. Itu sementara tahun 3050 lah, bila masalah air kotor itu dapat diselesaikan sepenuhnya. Tetapi Kak Nah tidak risau, Kak Nah sudah hidup satu abad lamanya. Kak Nah akan hidup beberapa abad lagi tentunya.

Bercakap tentang ternakan, Kak Nah rasa sempit dada bila ada orang beritahu yang kambing biri-biri di kampung selalu terlepas, dan bila terlepas kambing biri-biri itu entah melalut melangak ke mana, habis belaka tidak jumpa. Kak Nah rasa mampat benak dan sebak tidak tentu hala tatkala orang beritahu kambing biri-biri itu berterabur. Banyak ternakan biri-biri itu belum pun sempat subur gemuk sudah pun sesat tidak jumpa jalan pulang. Kambing biri-biri itu bulunya tidak banyak macam biri-biri Australia atau New Zealand. Biri-biri baka Rantau Pendek memanglah tidak berapa nak gebu gebas. Tapi meski tidak montok tembam pun Kak Nah tetap rasa dadanya tersekat tersedak sebab tetaplah biri-biri juga.

Jadi Kak Nah pun order sembilan ekor biri-biri. Kak Nah hubungi Abe Melon untuk buatkan sebuah kandang yang ala-ala. Kandang itu eloklah muat-muat untuk sepuluh ekor biri-biri. Jikalau ada biri-biri itu terlanjur beranak, maka muatlah dalam kandang tersebut. Apabila sembilan ekor anak biri-biri itu tiba, Kak Nah betul-betul gembira. Kak Nah rasa nak lompat-lompat dan menari, tapi nanti orang kampung kata macam tak berjurus pula. Lagipun Kak Nah memang tak berapa sesuai nak loncat-loncat sebab sejak duduk di Kuala Lumpur, badan Kak Nah ada naik sedikit. Dulu mula-mula ke KL, berat Kak Nah macam 65 kg begitu. Sekarang dia rasa berat itu sudah naik dekat-dekat 100 kg. Sebetulnya tak apa pun berat berapa-berapa pun, siapa-siapa yang kecam Kak Nah di media sosial, Kak Nah akan salak balik; “Dah kenapa nak cyber bully orang gempal?” Ada sekali, pengarang nama Faisal Tehrani dia pertahan dan bela Kak Nah. Dia kata, tidak boleh lah body shaming Kak Nah begini. Kak Nah macam terjungkit sedikit, dia macam nak ucap terima kasih. Tetapi ramai-ramai pegawai Kak Nah cegah Kak Nah buat begitu, sebab Faisal Tehrani itu kan orang kata dia Syiah, dia liberal, dia sesat. Eiii.

Tapi apa pun gempal Kak Nah itu tidak bagus sangat juga. Sebabnya ada sekali berlaku banjir besar di Kampung Retis Dalam, Kak Nah hendak berikan bantuan kepada penduduk kampung yang terkesan oleh banjir. Punyalah dahsyat bah itu, ada kayu balak dua puluh kali paha Kak Nah melanda masuk dalam rumah penghulu. Menangis penghulu itu. Tetapi penghulu tak berapa nak menangis juga sebab dia penghulu. Sekali dia angkat gagang telefon, Kak Nah akan hantar bantuan. Asalkan penghulu jaga imej Kak Nah di kampung. Namun yang Kak Nah risau sangat ialah orang kampung biasa yang tak ada kerja. Yang hanya buat kerja-kerja kampung. Yang bukan sangat malas tak nak buat kerja tetapi memang tak ada kerja nak dibuat. Kak Nah risau dengan banjir itu. Kak Nah tak ada kuasa nak surutkan banjir. Kak Nah bukan Tuhan. Astaghfirullah Kak Nah tak mahu mengaku Tuhan walaupun banyak dah sumbangan Kak Nah beri kepada orang kampung mengatasi apa yang Ustaz Ebit dah buat. Sumbangan Kak Nah yang hebat-hebat itu semua secara senyap. Punyalah diam-diam sebab secara pintu belakang. Secara tebuk atap. Tapi ini lain. Ini bah besar. Jadi Kak Nah nak sangat naik sampan atau perahu; sambil itu berdiri dan hulur kampit beras ke, kampit Milo ke, kampit gula ke, kampit garam ke, kampit tepung ke, kampit rempah ratus Adabi ke, kampit quinoa ke, kampit teh kopi ke; yang ada tampal muka Kak Nah dengan senyuman ala-ala ‘Lihatlah Dunia’ itu. Kak Nah mahu duduk dalam sampan atau perahu sambil bongkok sedikit hulurkan semua bantuan ihsan itu. Kak Nah rasa bahagia dapat selesaikan masalah orang kampung. Akan tetapi pegawai khas Kak Nah tak beri Kak Nah berlakon duduk dalam perahu begitu. Kata pegawainya, “Kalau masa Kak Nah berdiri atas sampan itu buatnya Kak Nah terbalik masuk dalam air. Kak Nah kan dah berat. Seratus kilo itu berat. Buatnya air itu kebetulan laju dan deras, jadi satu hal pula bomba dan polis hendak selamatkan Kak Nah.” Tetapi Kak Nah rasa tercabar. Kak Nah balas dengan tajam, “Apa sebab muslimat tak boleh buat? Kalau Muslimin boleh buat, Kak Nah hendak juga.” Halah halah halah Kak Nah pun, ke main nak tunjuk feminis sangat. Sistah sangat.

Pegawai Kak Nah itu tunjuk foto Ustaz Nik yang tak duduk pun dalam sampan. Ustaz Nik hulur kampit beras dari atas tanah yang tidak tenggelam dek air banjir. Orang kampung pula yang ternampak duduk dalam perahu. Pun Kak Nah tak setuju, Kak Nah tunjuk semula gambar Ustaz Nik yang pada saat lain pernah berdiri atas perahu. Ada pembantunya yang payungkan Ustaz Nik agar tidak kena hujan renyai-renyai. Jangan sampai Ustaz Nik basah. Ada juga dalam foto itu, sosok orang kampung dalam air banjir yang likat merah kuning macam teh tarik. Orang kampung itu nampak kepala saja sambil tangannya dua-dua belah terjongol keluar menadah kampit beras yang ada gambar muka Ustaz Nik mengenakan kaca mata hitam dan nampak tampan sekali. Air banjir itu nampak macam nak telan sungguh penduduk kampung itu. Macam sikit lagi akan naik paras hidung. Foto itu menurut Kak Nah sungguh ikonik kerana ia menampakkan keprihatinan Ustaz Nik terhadap penduduk kampung yang dah nak mampus sangat kelemasan itu.

Pegawai Kak Nah masih tak berapa setuju, dan berusaha meyakinkannya. Kak Nah degil juga. Akhirnya pegawai Kak Nah itu telefon sendiri Mursyidul Om dan minta Mursyidul Om sendiri nasihatkan Kak Nah. Lagipun Kak Nah itu perempuan. Besar nyaris 100 kilo. Kemudian buatnya jatuh terkangkang dalam air lantas ada orang ambil foto belakang-belakang cis apa pula rupanya. Kalau tular sampai jadi bahan kepada pihak musuh Allah bagaimana? Kalau itu mencemar imej parti bagaimana? Kak Nah mesti ingat dia itu bawa citra Parti Syurga. Tidak bolehlah nampak beria sangat. Buatnya masa jatuh itu kain Kak Nah terselak masa itu tentu jadi bahan gelak orang di Twitter. Pihak musuh memang jahat. Mursyidul Om pun bagi arahan agar Kak Nah beri bantuan dari atas darat saja. Biar orang kampung yang duduk dalam air, biar orang kampung saja yang berdiri atau terhulur-hulur tangan dari dalam sampan. Kak Nah tak dapat nak kata apalah. Sebab itu Mursyidul Om sendiri yang keluar arahan. Kak Nah kena wala’ lah. Kalau wala’ ada nikmatnya. Kalau wala’ ada maslahatnya. Kalau wala’ ada maqasidnya. Kalau wala’ nanti dapat masuk syurga. Kak Nah akur jugalah walaupun dalam hati Kak Nah tak rela. Kak Nah setia lah. Lagipun bila Mursyidul Om kata Kak Nah tak nampak comel dari dalam perahu dengan keadaan tubuh nampak besar dan berat 100 kg itu, Kak Nah tersentuh hati jugalah. Nasib baiklah Mursyidul Om prihatin dengan berat badan Kak Nah. Inilah tanda Mursyidul Om yang baik. Mana ada guru yang tegur secara ikhlas anak murid.

Pun, kalau orang tanya; sebetulnya walaupun sudah nyaris 100 kg Kak Nah tak kisah sangat sebab sejak duduk di KL ini Kak Nah dapat merasa pakai jubah kain merelip dan lawa-lawa. Bunga dan corak pada jubah Kak Nah sudah besar-besar. Masa mula-mula sebelum pergi KL dulu bukan orang kampung tak perasan yang jubah Kak Nah warnanya macam warna janda berkabung mati laki 99 kali. Warna itu suram, warna itu sedih dan payah, sepertinya warna malam yang tiada bulan selama lima penggal pilihan raya dan tiada harapan siang akan terbit. Tapi sekarang warna jubah Kak Nah sudah meriahlah. Ada motif bunga raya, motif bunga bakawali, motif bunga tahi ayam dan macam-macam lagi.

Lain kali Kak Nah mahu cuba juga motif kuih-muih di Pasar Besar Siti Khadijah. Itulah caranya Kak Nah boleh promosikan perniagaan orang perempuan di pasar. Jadi Kak Nah sudah tempah jubah dengan kain yang ada hiasan kuih kubang buaya, kuih tahi itik, kuih akok dan kain motif keropok lekor. Kak Nah yakin kalau dia ke sana sini seluruh Semenanjung tunjuk prihatin orang akan tanya juga; “Eh-eh kenapa ada kuih pada jubah YB?” Maka Kak Nah akan senyumlah meleret senyum, tapi bukan orang nak nampak sangat senyuman itu sebab tersimpan di sebalik pelitup muka. Memang lahanat betullah Covid19, babi betul, kalau tiada Covid boleh juga orang nampak senyuman ke darat Kak Nah yang begitu tersimpul maut itu. Kalau Kak Nah buka pelitup muka dan bergambar masukkan dalam Facebook kelak, mesti ada sial babi pembangkang Cina tak sunat yang akan bising dan menyalak macam anjing Rottweiler hitam kecoklatan tompok kelabu. Halah halah halah tak pakai mask, halah halah halah tak patuhi SOP.

Kalau orang tanya macam mana Kak Nah tahu yang mengata dia di ruang komen Facebook itu Cina keparat yang kulup dan tidak khatan. Kak Nah akan kata dia tahulah. Orang berpengalaman macam Kak Nah memang tahu mana yang kulup mana yang topi jerman. Tengok sekilas jantan di lobi Dewan Kak Nah tahu mereka itu kulup ke berkhatan.

Kak Nah memang tak bicaralah dengan Cina kafir sebab Cina kafir ini masuk neraka. Macam Kak Nah, dia kalau buat benda sikit-sikit tolong orang kampung dah dapat pahala. Semua pahala itu kalau kumpul dan himpun sedikit demi sedikit akan membukit, menggunung dan menggalak. Semua pahala itu membolehkan Kak Nah kelak masuk syurga. Cina India kalau kafir mana boleh masuk syurga. Buat kebajikan banyak-banyak pun mereka akan kena rendam juga dalam nuraka. Kak Nah bersyukurlah Kak Nah duduk dalam Parti Syurga. Sebagai ahli Parti Syurga Kak Nah memang sudah tempah tempat sebagai bidadari nanti. Dia yakin dapat jadi bidadari kelak. Kak Nah tahu itu betul-betul. Banyak dah Kak Nah sumbang dan tolong orang kampung, bina tangki air sebagai contoh. Atau bina kandang biri-biri itu satu lagi misalan.

Waktu sembilan ekor biri-biri itu tiba dari KB, lori yang bawa kambing itu berdengung bergema menderum enjinnya. Kak Nah seronok sangat. Kak Nah minta pembantunya ambil foto dengan telefon mahal yang dia beli di Machines KLCC, orang lain mana ada? Tapi Kak Nah ada. Casing telefon itu saja harga dekat seribu ringgit. Warna casing itu emas-emas sedikit sebab laki Kak Nah pesan gunalah barang elok dan nampakkan kepada masyarakat barang-barang yang kita guna semua elok-elok itu juga boleh mendorong kepesatan ekonomi sebab orang yang nampak barang Kak Nah itu berkualiti belaka, akan rasa terjungkit anu dan buntut seraya teringin mencari benda yang sama. Kak Nah peluk kambing-kambing itu dan pembantu Kak Nah snap beberapa foto. Kak Nah peluk seekor kambing biri-biri itu tapi anak kambing itu menggelupur dalam dakapan Kak Nah macam tak selesa tergesel-gesel. Kemudian ada pula drebar lori itu jerit-jerit suruh Kak Nah buka pelitup muka bagi nampak muka Kak Nah yang tembun sejak pergi KL itu. Kak Nah paut betul, paut elok-elok kambing itu. Tapi Kak Nah tak perasan kambing itu kambing jantan dan Kak Nah tercekup telor kambing itu. Kambing itu menggelupur. Kak Nah terlatah, “Mok luh” dan biri-biri itu makin menggelisah dan Kak Nah makin kuat cekak telor biri-biri itu sampai kambing itu mengembek tak tahan geli dan terpaksa meronta-ronta kelemasan dalam pelukan Kak Nah yang agam dan sungguh perkasa itu. Dalam keadaan kelam kabut itu pembantu Kak Nah teriak-teriak suruh dia buka pelitup muka. Mana tangan hendak cekup telor kambing, mana tangan hendak cabut pelitup muka, “Sialanlah Covid19 ini, orang nak berlagak pun jadi susah.” Oleh sebab kambing itu tidak tahan lagi geli dicekam telornya, anak biri-biri jantan baru nak naik itu menggunakan seluruh kudratnya dan melompat keluar dari dakapan Kak Nah.

Terpekik jerit Kak Nah terpekik jerit. Kambing itu mencicit lari tak rela. Ada seorang penduduk kampung jerit, “Macam itulah Kak Nah kambing kami kabur.”

“Tak apa kita kejar.” Balas Kak Nah serasa begitu merakyat.

Maka terlihatlah adegan kejar-mengejar kambing itu. Nak cerita pun malu rasanya, sebab macam gempa bumi. Banyak benda bergegar. Kak Nah dengan bersungguh-sungguh pun gegar mengejar biri-biri jantan itu sambil menyumpah dalam hati. Ada ramai-ramai orang kampung pun berhempas pulas mengejar juga kambing itu dari belakang, sebab takkanlah nak biarkan Kak Nah semput mengah dan berlaga-laga mengejar anak biri-biri jantan itu. Apa pula kata orang di Kubang Kerian kalau nampak mereka biarkan Kak Nah Rantau Pendek main kejar-kejar dengan biri-biri tapi tak dapat tangkap. Biri-biri jantan pula itu.

Akhirnya agak-agak lapan ratus lima puluh dua meter berlari mengejar biri-biri jantan itu, dapat juga mereka tangkap dan demikian mereka letak kembali haiwan itu dalam dakapan Kak Nah. Maka agar biri-biri itu tidak cabut lagi meloncat, Kak Nah pun cekup lagi telor kambing biri-biri itu sungguh-sungguh biar jangan terlepas terlucut. Kambing mengembek lagi geli. Masa itulah pembantu Kak Nah ambil foto. Nampak foto itu sungguh marhaen sekali. Ada muka Kak Nah macam lelah sedikit, ada muka kambing macam baru basah sebab baligh. Bolehlah nanti naikkan sebagai status di Facebook, ‘Sehari Kak Nah Selesaikan Masalah Orang Kampung.’ Kemudian ramai-ramailah cybertrooper yang dapat banyak duit berjasa akan komen di ruangan komentar memuji. Ada yang akan mengatakan, “See her level.” Ada pula yang komen, “Patut Kak Nah dapat Datuk pada Hari Thaipusam lalu.”

Kemudian Kak Nah rasa macam semput sebab banyak berlari tadi. Drebar lori kambing yang kasihan nampak Kak Nah macam tak larat itu cepat-cepat tawarkan tempat duduk sebelah pemandu agar dapat menghantar Kak Nah ke Mercedes Mata Belalang yang siap menunggu di tebing jalan besar untuk bawa Kak Nah ke tempat lain di sekitar kampung. Akan tetapi pembantu Kak Nah tahu ini kesempatan baik untuk menunjukkan Kak Nah sangat merakyat. Mereka pun fotoin Kak Nah di tempat drebar lori itu. Konon nanti mereka akan naikkan status dengan foto yang Kak Nah pandai bawa lori. See her level? Patut tak Kak Nah dapat Datuk Seri? Tak payah pun kayuh basikal tepi tasik Cyberjaya sambil dengar lagu Ziana Zain. Padahal tiada siapa sedar foto itu, di tempat duduk drebar nampaknya tidak meyakinkan kerana tak ada pun terlihat kunci terjolok dalam lubang kunci tanda lori itu betul-betul berjalan. Tetapi siapa tak mahu percaya yang lori itu tidak bergerak? Ini kan Kak Nah, dia kan pendita rahib di malam hari, dan singa betina di siangnya.

Kak Nah pun masukkan dalam kandang yang sudah siap dibina itu biri-biri sembilan ekor yang dia pesan. Kak Nah pun berucap kepada beberapa orang kampung yang ada sekali. Kak Nah kata, “Inilah cara saya selesaikan masalah penduduk kampung. Ada kambing terlepaskan? Kasihan. Kak Nah belikan kambing, buatkan kandang dan letak kambing dalam kandang. Maka selesailah masalah orang kampung.”

Ramai-ramai orang kampung pun tepuk tangan, ada yang takbir-takbir tanda kebesaran Kuasa Allah sebab anugerahkan Kak Nah kepada orang kampung. Pemimpin setara ini hanya ada dalam seratus tahun, seorang, macam mujaddid, macam reformis kudus.

Halah halah halah. Itu cara-cara Kak Nah selesaikan masalah orang kampung.

Nah hebat tak Kak Nah?

Komen