“Boleh Tak Semua Diam?” (Bahagian II)

Penafian perlunya kredibiliti penulis menurap laluan kepada rakyat untuk menjadi anarkis kepada tiap-tiap konvensyen kefahaman nan lingkungan kepakaran sesuatu hal. Ada suatu kisah yang menarik yang boleh saya bongkarkan di sini, iaitu kisah Larry Sanger.

Larry Sanger merupakan salah seorang pelajar yang menyumbang dalam laman web perkongsian maklumat bernama Nupedia. Namun dasar Nupedia yang mengutamakan penulisan dari warga bertauliah melambatkan proses penulisan dan secara tidak langsung, melambatkan perkembangan laman web itu. Kecewa dengan apa yang dia hadapi mengenai Nupedia, Larry Sanger tekad untuk menubuhkan satu lagi laman web berdasarkan dari konsep ensiklopedia bebas yang tidak memerlukan adanya sijil dari menara gading, hanyalah keelokan seni menulis dan dalamnya pengetahuan. Larry Sanger percaya bahawa apabila masyarakat mulai menulis secara kolektif, penghasilan makalah yang dikeluarkan akan menerima kesimpulan yang lebih tepat berdasarkan purata suntingan penulisan. Secara semula jadinya,  bahagian penulisan yang cacat akan disunting keluar. Dengan benih idea ini dan kerjasama rakan-rakan yang lainnya, maka terlahirlah Wikipedia.

Sekurang-kurangnya, itulah apa yang dicitakan oleh Larry, hakikatnya setelah melihat bagaimana Wikipedia berkembang Larry mulai meragui kebaikan dia mahu cipta melalui laman webnya. Antara keraguan yang timbul adalah bagaimana Wikipedia mencipta satu masyarakat yang mulai bersikap anti institusi akademik, menolak apa yang dibawa oleh ilmuwan sedia ada dan lebih mempercayai penulisan yang lebih terkandung “shock value” dan naratif politik partisan. Larry memerhati dalam Wikipedia, penulis yang sedia menyumbang bahan sudah dipenuhi dengan “trolls”. Kumpulan yang tidak lain tidak bukan mepunyai matlamat untuk melucahkan maklumat yang bakal disalurkan kepada orang awam.

Kerunsingan Larry Sanger itu tepat, dan sukar untuk mengawal apa ilmu yang bakal disiarkan kepada orang awam, tetapi sayang kerana Larry Sanger dalam usahanya untuk menjadi neutral, kedudukannya dalam mempertahankan suara kepakaran menyaring penipuan dan maklumat yang sahih ramai pula yang salah anggap serta mentakwil perjuangan Larry Sanger adalah mengenai penapisan maklumat kuku besi.

Masyarakat yang menolak pandangan pakar adalah berbahaya, seolah-olah terdapat pesakit jantung yang tidak mahu menerima rawatan jantung semata-mata takut institusi kedoktoran mempunyai niat jahat disebalik rawatan yang mahu diberikan. Sekarang, kita sudah tahu sebab utama orang awam menolak pandangan pakar, tapi bagaimana pula untuk mengubat sakit  umat ini?

Saya hairan bagaimana dalam tempoh masa 1400 tahun sejak munculnya agama Islam dan lahirnya Muhammad apa yang disampaikan olehnya kekal sama dengan apa yang kita baca. Ambillah mana-mana babad hadis di serata dunia, kebanyakan besarnya kandungan yang ada adalah sama. Malah sekiranya  terdapat kelainan struktur hadis atau Quran itu sendiri pun, para cendekia Islam berupaya untuk menerangkan sebab-sebab dengan teliti dan rapi tanpa mengira sempadan zaman dan tempat. Bagaimanakan Islam berupaya mengekalkan keaslian sumber ilmunya daripada dicemari “trolls”  atau penulis rambang politik partisan elit Mekah? Masalah ini timbul dalam agama samawi yang lain seperti agama Yahudi serta Nasrani, malah menjadi tema utama dalam Quran untuk menerangkan fungsi pertabalan Muhammad, yakni sebagai ejen pembetulan naskah sebelumnya, menyucikannya dari tangan-tangan manusia. Tetapi mengapa perkara yang sama tidak timbul dalam Islam?

Sebenarnya, keseluruhan bidang keagamaan Islam, dari tajwid hinggalah kepada ilmu kalam, mempunyai akar umbi daripada rakitan (sistem) sanad. Satu sistem salasilah kesahihan yang tidak putus dari ceruk pedalaman madrasah kampung, atau seorang profesor di universiti ternama, kepada Muhammad sendiri. Rakitan sanad bermula daripada pasca pemerintahan Rasyidun pada 661 masihi, sebelum itu sumber Islam seperti hadis tidaklah didahului dengan rangkaian sanad kerana lingkungan Islam yang ada ketika itu mengenali Muhammad dengan akrab. Hanya selepas pemerintahan Rasyidun, hadis dan ilmu Quran melihatkan keperluan untuk mempunyai rantaian penyampai untuk menentukan kesahihannya. Pemimpin bani Umaiyah menggalakkan pemalsuan hadis untuk melegitimasikan pemerintahan mereka yang dirampas dari pemberontakan pemerintahan Ali. Cendekia pada ketika itu risau akan kegiatan pemalsuan hadis akan menjadikan ilmu agama hilang kredibiliti.

Rakitan sanad memastikan jaluran ilmu itu sahih, dan itulah asas epistemologi Islam. Barangsiapa yang memegang pengetahuan mengenai asal-usul hadis dan penerangan Quran akan menjadi peneraju kepada ilmu, menewaskan naratif palsu yang muncul. Daripada rakitan inilah juga, seseorang itu dapat menjadi cendekia, kesahihan dan kemahiran yang dibawa membuatkan cendekia menerima kredibiliti, dan sekiranya mahu membangkang, seseorang itu perlu melalui tatacara dan pembelajaran yang sama. Untuk menjadi penyampai hadis pula, seseorang itu perlu memenuhi ciri yang jelas dan ketat seperti;

  1. Tsiqah: Keterpercayaan penyampai hadis itu dari segi sikapnya, amanah ataupun tidak, suka menyampaikan berita palsu ataupun tidak.
  2. Ilm ar-Rijal: Biografi penyampai, daripada guru-gurunya hinggalah kepada zaman dan tempat yang dia duduki.
  3. Ilm al-Jarh wal-Ta’dil: Kritikan-kritikan daripada cendekia kepada penyampai hadis, samada penyampai itu seorang yang baik atau kuat ingatannya.

Kemunculan rakitan ini mencipta kesepaduan antara seorang cendekia dan cendekia yang lainnya, semak imbang tercipta antara lingkungan cendekia kerana ilmu yang disampaikan akan semestinya diperiksa oleh cendekia yang lain walau beribu batu jauhnya. Rakitan ini juga memastikan penyampaian ilmu kepada orang awam dijalankan dengan sehabis baik, hanya ilmu yang menerima persetujuan ramai cendekiawan akan disampaikan dan sebaliknya ilmu yang masih dalam perbincangan akan dijelaskan hujah-hujah yang berbeza. Orang awam pula tidak boleh campur tangan dalam hal-hal ini.

Apalah salahnya rakitan ini diamalkan dalam dunia  akademik moden sekular, dengan cara ini penyampaian maklumat hanya akan kekal sahih daripada sumber pertama yang mengungkapnya, kredibiliti akan dijamin melalui pelbagai alat untuk menentukan bagaimana ilmu itu dirumuskan. Rakyat yang tidak arif akan hal ini menempa satu jalan yang susah dalam martabat ilmu yang akan disampaikan, sudah tentu ini adalah akibat daripada dasar pendidikan negara yang terlalu menumpukan perhatian kepada bidang akademik yang terlalu kebendaan sehingga terlupa manusia ini makhluk yang memerlukan ilmu kemanusiaan juga. Ketiadaan kefahaman mengenai kepentingan menjaga kesahihan juga mengakibatkan dunia saintifik tenat  seperti penolakan kenyataan bahawa dunia ini sememangnya makin memanas.

Saya tidak nafikan bahawa mungkin ada beberapa cara dalam dunia akademik untuk mengekalkan kredibiliti penulisan tetapi ketiadaan rasa tanggungjawab untuk memeliharanya hingga ke gigi geraham telah membongkarkan kelemahan dunia akademik sekular. Lebih-lebih lagi apabila kebangkitan internet disemarakkan dengan falsafah pasca kebenaran yakni ketiadaan kebenaran yang hakiki mengikat cara hidup manusiawi. Membongkar dan menghidupkan semula rakitan sanad keluar daripada sempadan ilmu Islam dapat menjadi antidot  kepada kekacauan maklumat  palsu zaman ini. Bayangkan sekiranya dengan adanya rakitan sanad, tiap-tiap naratif yang dibawa macai maya diendahkan kerana penyampainya tidak mempunyai guru, sumbernya diragui, malahan sekiranya ditapis melalui cara Ilm al-Jarh wal-Ta’dil, macai maya itu akan menerima kritikan pedas daripada cendekia yang sedia pakar dalam sesuatu  hal. Penyampaian maklumat  akan lebih terkawal dalam dunia internet ini.

Sementara buah fikiran ini belum tertanam dalam fikiran rakyat, mungkin apa yang kita hanya boleh buat adalah diam dan endahkan sebarang tohmahan yang menimpa, dan kekal menyuarakan kebenaran yang sahih.

Komen