“Boleh Tak Semua Diam?” (Bahagian I)

Sewaktu kita melayari internet, membaca makalah, menyelak halaman surat khabar, sebenarnya kita sedang menyerap maklumat. Maklumat-maklumat yang kita baca dan ambil kadangkala tidak mempunyai kesan jelas pada haluan hidup kita, mengapa pula kisah seorang pemain bola yang curang dengan isterinya perlu mempengaruhi kita bukan? Tetapi ada juga maklumat yang benar-benar mempengaruhi cara kita berfikir seperti bagaimana air zam-zam campuran ubi kayu boleh “merawat” kanser. Hairan mengapa maklumat air zam-zam itulah mempunyai sejumlah pengikut rapat yang bermati-matian mempertahankan dakwaan mereka. Mengapa perkara ini lebih jelas terpampang pada zaman kini? Dari mana penulis-penulis sawai ini datang?

Hubungan antara maklumat dan pembaca mempunyai dinamik yang tersendiri dan khas, tetapi kebelakangan ini mengapa makin banyak maklumat yang menyeleweng yang padat dengan ceritera tukang karut, dan mengapa ramai umat manusia yang menerima maklumat sebagai sebuah hakikat?

Anda mungkin akan menjawab penerimaan maklumat ini bergantung rapat dengan epistemologi maklumat, yakni  bidang untuk menyiasat kesahihan maklumat. Perkara ini akan menjadi senang sekiranya segala maklumat yang berada dalam dunia ini mempunyai bukti yang kukuh, terikat dengan bukti saintifik, tetapi seperti yang kita tahu tidak semua mempunyai bukti saintifik tetapi masih dikira sebagai kebenaran. Sebagai contoh, kita tidak mempunyai bukti saintifik yang kukuh mengapa kita perlu menghalang pasangan songsang untuk menjalani persenggamaan kerana di dalam keinginan songsang ini memang terkandung dalam genetik manusia, sepertimana kita tidak mempunyai bukti kukuh untuk mengatakan pembunuhan itu salah kerana ianya telah terpatri dalam genetik kita. Bidang epistemologi membantu mengasingkan mana satu kebenaran, dan mana satu penipuan namun bidang ini juga mempunyai tatacara yang khas, kerapnya memerlukan pertolongan pakar, dan pakar-pakar ini juga mempunyai agenda yang tersendiri. Bidang epistemologi hanya membantu menguraikan suatu dakwaan berdasarkan apa sokongan kepada dakwaan itu. Iya benar kita akan tahu dengan sepenuh keyakinan membunuh itu adalah perkara yang salah dalam mana-mana fahaman falsafah ataupun keagamaan, namun yang menjadi titik kemusykilan ialah mengapa masih ada (dan jumlah mereka meningkat) yang rela menelan seratus peratus kekarutan yang terdapat di internet.

Saya tidak rasa penyebaran maklumat karut adalah kesan langsung kurangnya kesedaran mengenai ilmu epistemologi. Saya fikir ada sebab yang lebih besar bersembunyi disebalik tirai-tirai keilmuan. Apabila kita menuduh cendekia epistemologi tidak menjalankan tugas mereka dengan baik, kita seolah-olah menuduh bidang ini hanya baru wujud pada zaman kini kerana peningkatan orang gila menyembur maklumat yang karut hanya terlihat ketara pada akhir-akhir ini, khusus pada zaman internet.

Memang benar bidang epistemologi tidak terterap baik pada dunia awam tetapi kita mesti faham bahawa bidang ini penuh dengan istilah dan tatacara yang rumit dalam mengenal pasti kebenaran. Tidak semua daripada kita mampu menggunapakai tatacara epistemologi dengan jayanya, oleh itu ia menjadi perkara yang munasabah sekiranya kebenaran “hanya diberitahu” oleh pakar berbanding “digeledah” orang awam sendiri. Saya tidak mahu melihat kepada persoalan “bagaimana” perkara ini perlu kerana sudah banyak penulis yang menulis mengenainya, tetapi jarang sekali “mengapa”.

Jadi sebenarnya soalan yang perlu kita jawab adalah apakah yang membezakan dahulu dan sekarang, dimanakah sempadan yang menjelaskan peningkatan warga tukang karut mereka ceritera sendiri dan dilayan sebagai kebenaran hakiki. Perbezaan ketara antara dulu dan sekarang ialah kemunculan internet, atau lebih tepat, proses pendemokrasian maklumat. Larry Sanger dalam tulisannya Dalam Politik Keilmuan, berkata kemunculan internet memberi wadah baru kepada warga awam untuk lebih meneroka bidang keilmuan dengan lebih meluas serta memangkin mereka untuk berani menulis buah fikiran mereka dalam usaha menambah tabung ilmu manusia. Dia membandingkan internet dengan kemunculan alat pencetak buku pada zaman pertengahan Eropah. Ketika itu, orang awam tidak mempunyai wasilah untuk mendapatkan ilmu melainkan dari sumber lisan yang sangat terhad, maka rakyat awam kekal hidup dalam kebodohan dan ketaatan kepada  penguasa yang memiliki segala kelebihan keilmuan. Kedatangan pencetak mengacau segala kerangka sosio-politik zaman itu kerana pencetak melancarkan penyebaran ilmu melalui buku lantas rakyat bebas meneroka kefahaman baru. Penerokaan ini mengajarkan rakyat untuk tidak segan bertanyakan soalan dan kekal skeptik dan kritis kepada kepercayaan sedia ada. Secara tidak langsung, kejadian ini memangkin zaman Pencerahan Eropah yang membawa kepada peningkatan kemakmuran wilayah itu.

Begitu juga dengan kemunculan internet, rakyat awam sekarang ini mempunyai kebolehan untuk tahu dan menimba pelbagai jenis ilmu yang mereka mahu. Segala jenis bidang sudah tersedia dan apa yang kita perlu lakukan hanyalah tanya kepada ketunggalan internet. Cara internet menimba keilmuan daripada ketamadunan manusia adalah dengan membiarkan segala jenis orang untuk turut serta menyumbang kepada penulisan akan sesuatu topik khusus. Bagaimana pula dengan pendapat yang menyeleweng? Dari segi itu, internet mengharapkan dengan perkumpulan maklumat orang ramai, maklumat yang salah akan disunting buang dengan sendirinya berdasarkan takuk keilmuan yang ada. Yang lebih tahu akan menambah baik dan membuang bahagian maklumat yang salah atau memperbaikinya. Senang bukan?

Salah.

Sekiranya kemunculan pencetak pada zaman pertengahan Eropah memangkin perubahan zaman kepada zaman Pencerahan, kemunculan internet juga akan memangkin perubahan zaman tetapi tiada jaminan perubahan ini ke arah zaman yang lebih baik atau sebaliknya. Pada zaman pertengahan Eropah, penulisan dan penyebaran ilmu masih dibuat  oleh seorang atau sekumpulan cendekia yang pakar akan sesuatu hal, perbincangan dalaman antara mereka akan menambah baik kefahaman sedia ada dan mana-mana cendekia yang gila akan ditendang dan dicap sebagai sesat. Tatacara ini memastikan rakyat awam menerima ilmu yang telah ditapis rapi dan menerima sedikit kritikan ramai. Ini adalah ringkasan yang melampau tetapi cukup untuk menggambarkan secara kasar apa yang berlaku. Tetapi pada zaman internet yang menjulang keawanamaan seseorang, perkara ini merendahkan keperluan untuk adanya seorang pakar mengesahkan kesahihan sesuatu perbincangan nan buah fikiran. Sesiapa sahaja boleh menulis apa sahaja, dan itulah hakikat dunia baharu. Ketiadaan keperluan untuk menjadi seorang pakar dalam penulisan adalah menyeronokkan kerana kita tidak lagi diukur  berdasarkan berapa tebal sijil yang kita peroleh sebaliknya taraf penulisan yang diukur warga ramai berbanding halaqah cendekia. Dalam erti kata lain, jika penulisannya baik dan sedap dibaca, maka itu adalah lebih penting dari menonjolkan ijazah yang dimiliki. Rakyat awam bebas menulis apa-apa penulisan yang mereka ini buat, asalkan sedap dan elok gaya bahasanya, segalanya tanpa dikongkong sekatan-sekatan yang renyah.

Apakah kesannya? Perubahan tatacara baru dalam menerima maklumat ini secara tidak langsung mengajarkan rakyat awam untuk menerima ilmu tanpa berfikir dua tiga kali. Pengukur kepada “kesahihan” itu hanyalah kesedapan gaya bahasa, dan rujukan penulisan yang hidup segan mati tak mahu. Budaya keilmuan baru ini mendedahkan orang awam kepada penyelewengan maklumat oleh perseorangan yang mempunyai halatuju siasah tertentu. Banyak contoh yang dapat diberikan seperti contoh hujah genetik yang telah saya lontarkan di atas yakni hujah “saintifik” boleh diputarbelit agar kelihatan masuk akal dengan kepercayaan karut sedia ada. Bahkan anda juga sedang melakukannya sekarang. Pernah bertanya apakah ijazah yang saya miliki untuk menulis analisis seperti ini?

Bukan nak memberitahu bahawa budaya baru ini adalah semuanya salah dan perlu dibuang, tetapi tanpa etika dan sikap yang betul kepada penerimaan maklumat, rakyat awam akan kekal terdedah kepada virus fikrah ini. Sekiranya anda cergas dalam dunia perbincangan dan percakaran internet baik di Twitter mahupun Facebook, acap kali terdapat beberapa individu yang menunggang nama-nama fahaman yang murni samada Islam atau Liberalisme untuk memutar belit isu yang ada untuk menyemai kata-kata  benci sesama kita. Iyalah, saya ragu Liberalisme mengajarkan penganutnya untuk mencaci orang beragama tanpa sebab yang munasabah. Ketiadaan kritikan kepada penyampai ilmu menyukarkan lagi usaha penapisan antara bak dan yang batil dalam dunia penyampaian maklumat, sehinggakan segala usaha pentadbir laman Twitter dan Facebook untuk menangkis penyampaian maklumat palsu hanya menemui jalan buntu. Jelas, mereka hanya cuba mengubati simptom bukannya penyakit yang bersarang dalam diri manusiawi.

Aneh dan sedikit ironi, pada zaman pendemokrasian maklumat, yang dicita adalah manusiawi yang gagah kritis terhadap apa sahaja dan mencabar konvensyen kefahaman am tetapi yang sebaliknya berlaku yakni rakyat lebih gemar menelan maklumat yang menjadikan mereka benak. Kekerapan perkara ini berlaku (sehingga munculnya istilah palatao) menjadi kita semua mahu menjerit dan mengarahkan semua orang untuk diam dan berfikir sebentar sebelum percaya. Malahan sikap yang menolak kebergantungan kredibiliti menulis juga menganggap bahawa semua orang mempunyai kredibiliti. Jadi pada bahagian pertama ini saya hanya mahu menonjolkan penyakit sebenar yang kita hadapi, dan pada bahagian kedua saya akan cuba usulkan jalan penyelesaian (yang berfungsi selama beratus-ratus tahun) kepada masalah ini.

Komen