Baru-baru ini saya membaca perihal rungutan sekumpulan kecil orang mengenai mutu bahasa Inggeris di sekolah. Seperti biasa, setiap kali kualiti bahasa Inggeris pelajar kita diungkit; yang menjadi mangsa lutu ialah bahasa kebangsaan. Mereka siap memanggil pejuang bahasa kebangsaan sebagai ultra bahasa.
18 tahun lalu saya pernah menulis mengenai isu bahasa Inggeris yang digunakan sebagai medium pengajaran dan pembelajaran dalam subjek sains dan matematik (PPSMI) di sebuah laman yang sudah berkubur, Kaki Seni. Hujung Mei tahun 2002 tersebut, satu forum isu bahasa telah dianjurkan di Sudut Penulis DBP, di mana Dato’ Dr Hassan Ahmad, Dato Dr Nik Safiah Karim dan Profesor Dr Abdullah Hassan mengecam pelaksanaan bahasa Inggeris yang digunakan sebagai medium pengajaran dan pembelajaran dalam subjek sains dan matematik. Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Dato Abdul Rahim Bakar pula mengumumkan DBP akan menghimpun sejuta tandatangan untuk membantah polisi baru Kementerian Pendidikan ini.
Namun demikian, seingat saya, isu PPSMI ini bagaimanapun menimbulkan kekecohan yang sangat tidak bersemangat di kalangan sasterawan. Jika dibandingkan dengan insiden pembentangan fasal 152 di parlimen ketika zaman Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dahulu, pelaksanaan polisi ini hampir tidak mempunyai apa-apa impak dalam kalangan sasterawan. lnsiden fasal 152 misalnya telah mendorong perarakan Keranda 152 ke rumah Perdana Menteri dipimpin antara lain oleh Allahyarham Dato’ Usman Awang. Sasterawan telah berhimpun di Balai Budaya DBP dan membakar akhbar dan sebagainya dan mencetuskan ilham untuk Usman Awang menulis salah sebuah sajaknya yang terkenal berjudul ‘Keranda 152’.
Untuk PPSMI, hanya bantahan kecil terdapat di dalam akhbar ketika itu, dengan rencana yang ditulis antara lain oleh Salbiah Ani, sebuah puisi ‘suam’ Sutung Umar RS dan Dato Baha Zain di Berita Minggu 16 Jun 2002. Puisi berjudul ‘Si Algojo Itu’ oleh Sutung Umar RS misalnya terdapat bait berbunyi ‘si algojo itu yang menerima nasihat silap, kini sedang menyiapkan diri untuk meminum darah rakyat, sebelum rakyat sendiri bangun, untuk menghirup darah dan meratah dagingnya’. Puisi Dato Baha Zain berjudul ‘Bahasa Maruah Bangsa’ pula antara lain terdapat bait provokatif seperti ‘aku lihat mereka sedang berkonspirasi merancang merenggut keluar lidah ibuku.’ Atau bait ‘kerana kita rakyat biasa percaya kepada kekuasaan, mereka pemimpin setelah berkuasa mengkhianati kepercayaan.’
Lain dari rungutan di atas, kelihatannya langkah kerajaan itu tetap berjalan seperti biasa, seperti siang mengganti malam tidak dirunguti kebanyakan orang. Kemudian datang bantahan besar-besaran yang digerakkan antara lain oleh pejuang bahasa pada tahun 2009. Mereka kemudian ditohmah sebagai ‘ultra bahasa’. Ekoran itu dasar PPSMI dimansuhkan dan yang ada hanya satu pelaksanaan kecil DLP (pengajaran dwi bahasa di sekolah terpilih).
Maka ada apa dengan bahasa Melayu? Jika subjek sains dan matematik akan diajarkan dalam bahasa lnggeris, apa salahnya? Sudah tentu ada salahnya (meskipun tidak dinafikan ada betulnya). Kita akan melihat dari sudut rasional, sejarah, orang-orang bahasa itu sendiri dan politik tempatan.
Saya ingin menghimbau apa yang telah kita lakukan pada tahun 2002 itu. Pelaksanaan ini dilakukan (konon) kerana penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar serta graduan bangsa Melayu dikatakan berada di tahap yang sangat lemah.
Sudah pasti ada pihak yang tertanya-tanya, bahasa lnggeris yang lemah maka diapakan pula bahasa Melayu? Penyelesaian tentulah membabitkan bahasa lnggeris sahaja kerana itulah punca masalah. Dasar baru mungkin boleh dibentuk (jangan lupa sekolah adalah makmal dan pelajar-pelajar kita adalah radas, bahan kimia, kaki retort, penunu Bunsen untuk dibuat apa sahaja eksperimen). Jam pembelajaran bahasa lnggeris mungkin boleh ditambah dan mungkin selama bertahun-tahun ini kurikulum bahasa lnggeris memang tidak berguna, cara pengajaran silap dan sebagainya. Mungkin kita perlu memaksa pelajar membaca Oliver Twist di sekolah rendah, tetapi bukan dengan mengecilkan bahasa Melayu.
Penguasaan bahasa Inggeris lemah. Tetapi yang diganggu tetap bahasa Melayu.
Adalah bodoh menafikan kepentingan dan penguasaan bahasa lnggeris. la bahasa dollar dan bahasa pound sekarang ini. Sekian banyak ilmu terbenam tersingkap menerusi bahasa ini. Untuk menjadi bangsa yang maju mencapai wawasan 2020 sudah tentulah bahasa lnggeris mesti dikuasai. Malah bukan bahasa lnggeris sahaja bahasa yang mesti kita kuasai, kita mesti menyediakan juga subjek bahasa Perancis, ltali, Jepun, Jerman (semua bahasa-bahasa negara G8 (negara maju) dan bahasa Arab juga. Di situ juga terkandung tersembunyi segala rahsia ilmu pengetahuan yang mesti kita cungkil keluar, kita pelajari, kita kuasai dan memindahkannya ke Malaysia supaya negara kita betul-betul maju bukan sahaja kerana tren laju dari stesen Sentral ke KLIA, KLCC, Proton, Langkawi dan sebagainya tetapi kerana segala ilmu pengetahuan dikuasai oleh bangsa Malaysia, kerana Hadiah Nobel dimenangi oleh rakyat Malaysia dari bidang fizik, kimia, perubatan, ekonomi dan apa sahaja. Akan tetapi ya bahasa lnggeris… bahasa lnggeris… bahasa lnggeris.
Pelaksanaan bahasa lnggeris untuk subjek sains dan matematik memang tidak rasional kerana ia menurut fahaman utilitarian atau kepenggunaan. Pasaran dunia menuntut penguasaan bahasa lnggeris yang baik maka justeru bahasa Inggerislah yang harus kita pulun. Apa kata pasaran dunia berubah di mana bahasa Korea menjadi juara, bahasa Mandarin dan Kantonis menjadi penting (jangan lupa Asia Jauh ini dipengaruhi oleh China, Taiwan, Hong Kong dan Singapura) atau tiba-tiba India Selatan menjadi sangat berpengaruh dalam tempoh sepuluh tahun. Ya, apa kata kita ajar sains dalam bahasa Tamil dan matematik dalam bahasa Mandarin. Kita risau jika mereka tidak boleh berbahasa bahasa-bahasa ini kelak mereka dan negara kita tercicir jauh.
Adakah kita mesti mengikut kehendak pasaran, adakah sistem pendidikan kita ditentukan oleh turun naik pasaran saham?
Yang menjadi ia tambah tidak rasional ialah kerana pertama, guru-guru bahasa lnggeris kita sendiri kekurangan. Kemudian diminta guru-guru mengajarkan anak-anak dengan bahasa lnggeris untuk subjek sains dan matematik yang cukup memeningkan kepala itu. Kedua, jika benar ia bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa lnggeris, mengapa subjek sains dan matematik yang banyak formula dan angka itu terpilih? Ajarilah sejarah atau alam dan manusia dengan bahasa lnggeris dan ajarkan sahaja bahasa Melayu dalam bahasa lnggeris atau buat sahaja aliran lnggeris.
Dari sudut sejarah, bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi menunjukkan pengaruhnya sejak abad pertama Masihi menurut seorang pengkaji Robert Blust. Ketika itu bahasa Melayu dinamai sebagai bahasa pasar. la menjadi lingua franca perdagangan dan sosial di dunia sebelah sini. Francois Valentyn yang melawat Melaka dan menulis buku Oud en Nieuw Oostindien II Del V di akhir abad ke 17 menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa perdagangan yang penting di rantau sini sehingga menyifatkannya sebagai bahasa Perancis di Eropah. Kehebatan bahasa Melayu menyebabkan Antonio Pigafetta yang berbangsa ltali menyusun kamus Melayu-ltali dalam tahun 1522.
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pula telah unggul sejak tahun 673 sebelum Masihi di mana Pendeta I Tsing yang ingin mempelajari agama Buddha, telah menuntut di Sriwijaya dan terpaksa mempelajari bahasa Melayu untuk tujuan itu. Kemudian kekayaan khazanah peradaban bangsa Melayu terserlah ketika era Syeikh Abdur Rauf Singkel, Syeikh Nuruddin Raniri, Syeikh Muhammad Arshad Banjar dan lain-lain lagi.
Kedatangan penjajah Portugis, Belanda dan lnggeris tidak sampai menyebabkan bahasa Melayu tersingkir (berbanding kedatangan Sepanyol dan Portugal ke Amerika Latin telah merubah terus bahasa penghuni rantau tersebut). Menurut Hassan Ahmad, dalam ‘Bahasa Melayu Sebagai Teras Peradaban Malaysia’ (2001), hal ini berlaku kerana bahasa Melayu yang sangat kukuh bertapak itu tidak diganggu dalam sistem pendidikan. Dalam erti kata lain, Portugis atau lnggeris tidak membawa sistem pendidikan mereka ke sini. Ataupun memaksa pengajaran tertentu dalam sistem pendidikan dengan bahasa mereka. Justeru bahasa Melayu dapat bertahan sehingga melahirkan intelektual seperti Abdullah Munshi, Raja Ali Haji dan membawa ke era Pujangga Baru di Indonesia dan zaman Rashid Talu, Abdullah Sidek dan Syed Syeikh al-Hadi di Semenanjung.
Setelah melihat dari sudut logik semasa dan sejarah, adalah penting juga untuk menyalahkan para seniman, penulis, GAPENA, DBP dan siapa sahaja yang berkait dengan bahasa Melayu ini juga. Apa kata kita mulakan dengan menuding jari kepada ASAS 50 yang bertanggungjawab memperjuangkan mengetepikan tulisan Jawi. Tulisan Jawi sebagai warisan Melayu-lslam tidak dapat tidak bergandingan dengan bahasa Melayu itu sendiri. ASAS 50 entah kerana apa jijiknya dengan tulisan Jawi telah menolak tulisan Jawi dan mahukan tulisan Rumi diajari di sini. Lihat misalnya, Memoranda Angkatan Sasterawan 50 (1962).
Kemudian apabila Dr Mahathir menyarankan supaya bidang sains dan teknologi diajari dengan bahasa lnggeris dan kabinet mempersetujuinya sejak tahun 1993 lagi (tidak ada sebarang bantahan daripada GAPENA, DBP, PENA) direkodkan yang boleh ditemui (rujuk Berita Harian 28 Disember 1993 dan Utusan Malaysia 28 Disember 1993).
Mahathir bukan satu-satunya musibat dalam hal PPSMI ini, Najib Razak juga ada sahamnya. Apabila Menteri Pendidikan ketika itu, Najib Tun Razak mengisytiharkan pembelajaran kursus sains dan teknologi dalam bahasa lnggeris di IPTA pada 22 Jun 1995, beliau telah membuat pengumuman ini sebelum penggubalan semula sebarang akta. Bermakna beliau telah membuat pengumuman ini ketika Akta Pelajaran 1961 masih lagi berkuatkuasa. Ini sebabnya, Profesor Zainal Abidin Abdul Wahid, dalam ‘Bahasa, Pendidikan dan Pembangunan (2001) menyalahkan Najib Razak ketika itu, malah di halaman 10 artikel beliau, Zainal menggunakan frasa ‘pengkhianatan kepada Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib itu timbul daripada wujudnya kuasa menteri yang boleh mengecualikan sesuatu institusi pendidikan daripada menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan.’
Menjelang hujung 1995 dan awal 1996 lima akta telah dibentang menggantikan Akta Pelajaran 1961. Pun, tidak ada penentangan agresif daripada mana-mana persatuan penulis ataupun DBP sendiri (kain rentang yang digantung di luar pagar tidak boleh dianggap sebagai satu respons agresif yang wajar). Datuk Zainal Abidin Wahid dalam kertas kerja yang dibentangkan dalam Kongres Pendidikan Peringkat Kebangsaan Persatuan Kakitangan Akademik UKM pada 1 dan 2 Disember 1999 di UKM, Bangi telah menyalahkan kerajaan dan khususnya parti UMNO dalam soal penggugatan kedudukan bahasa Melayu ini. Dipetik:
‘Pemimpin dan ahli UMNO mestilah sedia dan berusaha membuat kajian yang mendalam lagi menyeluruh terhadap dasar-dasar penting negara dari segi kewajarannya, keberkesanannya dan kesan-kesannya terutama dari segi jangka panjang. Ahli-ahli UMNO jika hendak memelihara dan mengekalkan keturunan Melayu, hendaklah menghapuskan sindrom ayam Belanda itu’.
Tiadanya bantahan betul-betul wajar dari DBP sebagai agensi kerajaan yang memelihara kemurnian bahasa kebangsaan menimbulkan tanda tanya. Begitu juga dari GAPENA atau PENA itu sendiri. Sebaliknya parti politik PAS pula yang bersungguh-sungguh membantah perlaksanaan ini (meski tidak dapat dinafikan yang parti itu mungkin bertujuan mengkritik kerajaan atas sebab-sebab merebut pengaruh politik rakyat) dalam Muktamar PAS ke 48 pada 2 Jun 2002.
Secara politik, kedudukan bahasa Melayu sebetulnya sudah amat kukuh. la adalah bahasa perpaduan semua bangsa di Malaysia. Perlaksanaan dasar pengajaran bahasa lnggeris untuk subjek sains dan matematik ini bukan sahaja menyulitkan pelajar Melayu tetapi juga pelajar-pelajar Cina dan India, lban, Dayak, Penan, Kadazan atau apa sahaja tetapi, menguntungkan pelajar-pelajar dari kelas menengah tidak kiralah mereka bangsa apa jua.
Apa maknanya? Maknanya perlaksanaan ini akan mewujudkan jurang pendidikan yang lebih lebar antara kelas menengah dan rendah. Anak-anak yang ibu-bapanya dari kelas menengah menetap di bandar mudah sahaja menerima pelaksanaan ini kerana bahasa lnggeris mereka lazimi di rumah lagi, kuasa wang untuk tuisyen dan sebagainya akan mengukuhkan mereka. Tetapi ini tidak berlaku di FELDA Jengka, Kampung Loi Barat, anak-anak penoreh getah Sungai Siput dan mana-mana desa di pedalaman Tawau atau hujung sungai Rejang. Terutama pula guru-guru belum tentu benar-benar cukup persediaan memandangkan mereka sendiri terkial-kial berbahasa lnggeris. Mereka iaitu pelajar-pelajar ini akan tertinggal pastinya.
Apa bahayanya kalau begitu? Bahayanya kita membuka peluang untuk berlaku satu lagi kecelakaan seperti 13 Mei 1969; kali ini bukan antara kaum tetapi antara kelas. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah mengakui dalam bukunya ‘Mei 13, Sa-Belum dan Sa-lepas’ (1969) bahawa kelemahan perlaksanaan dasar bahasa kebangsaan dan adanya suara untuk memartabatkan bahasa-bahasa lain daripada bahasa Melayu adalah salah satu punca kejadian buruk ini. Tunku juga mengiktiraf DBP sebagai bertujuan untuk ‘memperkaya dan memperbaiki lagi bahasa Melayu sehingga taraf kedudukannya telah dapat ditinggikan lagi dan dengan itu bahasa Melayu telah diterima sebagai bahasa kebangsaan – bahasa Malaysia.’
Sebarang lubang yang memungkinkan tragedi itu berlaku sekali lagi mesti kita tutup segera.
Perlukah kita ingati bagaimana lembar sejarah yang Iuka 13 Mei itu berlaku? Dasar kepada sistem pendidikan negara ini terletak dan terasas menerusi Penyata Razak yang pada perenggan 12 ini menaruh kepercayaan tinggi ia akan dapat menyatukan semua kanak-kanak dari apa jua bangsa Malaysia. Penyata Razak kemudian menjadi Ordinan Pelajaran 1957 dan kemudiannya terbentuk pula Laporan Rahman Talib 1960, kedua-duanya menjadi asas Akta Pelajaran 1961 dan Dasar Pelajaran Kebangsaan.
Bagaimanapun sejarah mencatatkan kelemahan perlaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pelajaran Kebangsaan selain jurang ekonomi dan kemasyarakatan yang luas lantas mendorong kejadian 13 Mei 1969 (yang kita semua tidak mahu ingati lagi). Selepas kejadian 13 Mei 1969 kerajaan telah bertindak melaksanakan dua dasar tadi dengan TEGAS dan membentuk Dasar Ekonomi Baru. Bahasa pengantar di sekolah telah diMelayukan. Sehingga akhirnya pada tahun 1982, dasar ini telah kukuh dan diterima pakai sehingga ke peringkat universiti. Dekad itu bahasa Melayu dimartabatkan. Rakyat Malaysia secara umumnya menerima semua dasar ini dengan baik kerana tidak mahu kejadian pahit 13 Mei berulang lagi.
Sesungguh-sungguhnya peningkatan pengaruh bahasa lnggeris akan mendorong malapetaka lain pula, ia mungkin akan berlaku antara kelas jika tidak diatasi dengan baik. Kita bimbang dengan seruan supaya diwujudkan sekolah aliran Inggeris. Ia hanya mewujudkan semula bentuk sistem pendidikan sebelum merdeka di mana ada sekolah lnggeris untuk anak-anak orang berada dan sekolah vernakular untuk orang kebanyakan mengikut kaum Melayu, Cina dan Tamil. Memang benar secara nyatanya ia tidak akan berlaku begitu, tetapi seperti yang telah dibimbangi sebelum ini ialah kelas atasan dan pertengahan akan menguasai pendidikan kerana kelebihan wang dan kemampuan mereka, lantas meninggalkan kelas rendah yang akan terkapai-kapai tidak ditolong. Harus diingat bantuan pinjaman kerajaan untuk pelajar sendiri tidak diberi kepada semua pelajar dan belum tentu cukup.
Justeru perlaksanaan pengajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa lnggeris tidak wajar, tidak relevan dan membahayakan Malaysia secara keseluruhan dan bangsa Melayu khususnya.
Memang mudah menggunjing pejuang bahasa sebagai ultra bahasa. Akan tetapi, asas dan hujah mereka hendaklah difahami dan dikunyah sebelum sesuatu dasar itu dilaksanakan. Negara ini bukan milik kelas menengah yang berhajatkan bahasa Inggeris sahaja. Ia juga milik kelas bawah yang mahir dan hidup dengan bahasa kebangsaan.
Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.