Masyarakat sekali lagi dikejutkan dengan tuduhan skandal seks membabitkan ahli politik. Terkini Muhammed Yusoff Rawther menuduh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan serangan seksual terhadapnya. Muhammad Yusoff mendedahkan salah laku seksual yang didakwa dilakukan pemimpin tertinggi PKR itu terhadapnya pada Oktober lepas melalui akuan bersumpahnya bertarikh 19 November. Manakala Anwar pula dengan tegas menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Muhammed Yusoff tersebut dan mendakwa pada tarikh yang disebut beliau sedang giat menjalankan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen.
Ironinya semua sedia maklum ini bukanlah kali pertama Anwar berhadapan dengan tuduhan seperti ini, sebaliknya sudah beberapa kali berhadapan dengan kes sebegini termasuklah beberapa tahun meringkuk di penjara sehingga akhirnya diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong setelah Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) tahun lalu. Sehingga kini, pihak polis telahpun membuka kertas siasatan di mana Muhammed Yusoff dan Anwar juga telah dipanggil untuk merekodkan kenyataan di Bukit Aman oleh pegawai polis dari Bahagian Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Walaupun masyarakat semakin bosan dengan senario skandal seperti ini, kita tetap tidak boleh berdiam diri atau memejamkan mata dari mencari keadilan dan kebenaran. Apa yang pasti, pada peringkat ini kita tidak wajar menilai atau menjatuhkan sebarang hukuman berdasarkan dakwaan atau persepsi semata-mata. Harus diingat dalam prinsip rule of law seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Justeru apa yang diharapkan ialah masyarakat dan semua pihak yang terlibat berlaku adil dalam menimbang dan menilai perjalanan kes ini. Kita perlu berlaku adil kepada kedua-dua pihak iaitu pihak yang menuduh atau mengemukakan pendakwaan dan juga pihak yang dituduh atau membela diri. Ringkasnya berlaku adil lah kepada Muhammed Yusoff dan juga Anwar.
Apa yang pasti sekali lagi kredibiliti dan profesionalisme pihak polis dan peguam negara akan diuji melalui kes berprofil tinggi seperti ini. Jangan lupa Anwar sudahpun dihebahkan sebagai bakal Perdana Menteri yang ke-8 yang hanya menunggu masa untuk mengambil alih tampuk pemerintahan dari Tun Dr Mahatahir. Jadi diharap pihak polis akan memberikan keutamaan kepada kes ini agar segera dimuktamadkan hasil siasatan untuk pihak peguam negara membuat keputusan. Dan sebagai rakyat kita menuntut agar siasatan dilakukan dengan penuh adil dan tanpa berat sebelah kepada mana-mana pihak. Hal ini demikian kerana di sisi undang-undang kita semua adalah sama tak kira apa jua kedudukan mahupun pangkat.
Kita juga tidak mahu mana-mana pihak yang terlibat dalam kes ini menjadi mangsa keadaan, dianiaya atau dizalimi. Secara prinsipnya Muhammed Yusoff perlu diberi ruang secukupnya untuk membuktikan dakwaan tersebut tanpa sebarang halangan dan tekanan, berpaksikan undang-undang dan kebenaran sebagai seorang rakyat yang bebas dan mempunyai hak. Manakala Anwar juga perlu diberi peluang secukupnya untuk menepis tuduhan ini dengan pembelaan yang sewajarnya. Secara mudahnya, kita perlu melihat kes ini dalam konteks undang-undang, jenayah serta salah laku dan bukannya sebagai konspirasi dan agenda politik. Walaupun sudah ada yang berpandangan ini adalah satu lagi usaha untuk membunuh karier politik Anwar atau lebih tepat lagi menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri namun biarlah pihak berkuasa yang menyiasat dan mengesahkan siapa yang benar dan siapa yang tipu. Percayalah Tuhan tahu siapa betul dan siapa salah di mana kebenaran pasti akan mengalahkan kebatilan dan kita tidak perlu gusar atau takut jika berada di pihak yang benar atau tidak melakukan sebarang kesalahan.
Kes ini menjadi perhatian semua lapisan masyarakat. Justeru besarlah harapan kita agar pihak berkuasa dapat menyiasat dan menyelesaikannya dengan segera tanpa sebarang prejudis, takut, memilih kasih atau memihak kepada mana-mana pihak yang berkepentingan. Baik Anwar mahupun Muhammed Yusoff, masing-masing berhak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Kes ini sekali lagi menyediakan ruang dan peluang yang terbuka kepada pihak kerajaan untuk membuktikan betapa prinsip rule of law akan terus dijunjung dan dilaksanakan dalam apa jua kedaaan sekalipun.
Tentang Penulis
Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam majalah berkala seperti Dewan Masyarakat.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.