Berhenti Kambing Hitamkan Selangor Dalam Hal Covid-19

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Laporan dari laman sesawang kesihatan, CodeBlue baru-baru ini tentang agihan vaksin Covid-19 dan kadar pemberian vaksin mengikut negeri sekali lagi meletakkan negeri Selangor dalam perhatian ramai. Ini susulan laporan tersebut yang menyebut bahawa negeri Selangor telah menerima sebanyak 2,909,670 dos vaksin namun hanya telah menyuntik sejumlah 398,029 dos vaksin dengan baki 2,511,641 dos masih belum digunakan.

Hal ini menjadi isu panas kerana Selangor adalah negeri yang mencatatkan kes Covid-19 tertinggi di Malaysia. Bilangan kes kumulatif Covid-19 di Selangor adalah sebanyak 194,847 kes setakat 3 Jun 2021. Ia dua kali ganda lebih banyak dari Sabah di tan gga kedua yang mencatatkan sekitar 60 ribu kes kumulatif.

Maka sudah pastilah pelbagai persoalan timbul dan dilontarkan kepada kerajaan negeri Selangor terutamanya tentang kadar pemberian vaksin yang terlalu rendah berbanding jumlah kes Covid-19 yang berlaku di Selangor.

Namun sebelum kita pantas menuding jari kepada kerajaan negeri, perlu juga kita fahami tentang data yang dikemukakan dan fakta prosedur pemberian vaksin di setiap negeri.

Pertama sekali, laporan CodeBlue memetik sumber dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Data perincian agihan vaksin mengikut negeri adalah berdasarkan sumber MOSTI yang bertanggungjawab dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Wujud kepincangan dalam data yang dilaporkan apabila sembilan negeri menunjukkan pemberian dos vaksin melebihi dari jumlah dos yang diagihkan kepada negeri tersebut. Antaranya Kuala Lumpur, yang dilaporkan telah menyuntik 405,549 dos vaksin walaupun bekalan yang diterima adalah sebanyak 215,280 dos. Kepincangan ini menimbulkan tanda soal ketepatan data dari MOSTI, dan tentunya perlu diambil kira apabila merujuk kepada kes Selangor dan kadar pemberian vaksin yang rendah.

Dalam hal ini pihak CodeBlue tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Penjelasan dari CodeBlue bahawa data sedia ada diambil dari sumber umum adalah mesej jelas wujud kepincangan ketara dalam pengurusan PICK dan bagaimana Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) gagal dalam memastikan proses vaksinasi kita berjalan dengan baik.

Kepincangan ini ibarat tip of the iceberg terhadap pelbagai lagi masalah lain yang wujud seperti sistem MySejahtera yang tidak kompeten, proses vaksinasi yang huru-hara dan kelembapan pihak berwajib dalam memastikan bekalan vaksin cukup dan dapat diberikan kepada rakyat pada kadar secepat mungkin di waktu gelombang Covid-19 sedang mengganas.

Kerajaan negeri Selangor walau bagaimanapun pantas memberi reaksi bagi menjelaskan perkara sebenar. Mengikut keterangan yang dikemukakan, Selangor setakat ini hanya menerima 615,000 dos vaksin terdiri dari 434,070 dos Pfizer, 146,440 dos Sinovac dan 34,700 dos Astrazeneca. Sehingga kini sejumlah 425,970 dos vaksin telah disuntik kepada penerima.

Perlu difahami juga bahawa proses pemberian vaksin diuruskan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang di bawah kerajaan persekutuan. Tidak ada mana-mana kerajaan negeri di Malaysia yang diberi kuasa menguruskan proses vaksinasi walaupun Selangor dan beberapa negeri lain pernah menyatakan hasrat untuk mendapatkan bekalan vaksin sendiri berikutan kelembapan pihak kerajaan persekutuan.

Justeru persoalan utama perlu dilontarkan kepada pihak MOSTI dan CITF tentang kepincangan data agihan vaksin. Kerana secara kasar apabila Selangor dilaporkan telah menerima hampir 3 juta dos vaksin tetapi tidak sampai 4 ratus ribu dos telah diberikan, ia meletakkan imej kerajaan negeri Selangor dalam pertikaian. Ia juga menimbulkan tanda tanya adakah wujud sebarang permainan politik antara kerajaan persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH)?

Perlu diingat bahawa ini bukan kali pertama Selangor cuba dikambing hitamkan dalam hal Covid-19. Baru-baru ini selepas kekalutan pendaftaran Astrazeneca pusingan kedua yang berpunca dari kelemahan sistem dengan peruntukan RM70 juta, tuduhan telah dilemparkan kepada sistem pengesanan Covid-19 Selangor iaitu SELangkah sebagai punca utama kenapa sebilangan besar janjitemu vaksin telah ditukar. Pihak MOSTI akhirnya menarik balik kenyataan tersebut setelah ia didapati tidak tepat.

Juga kita perlu ingat bagaimana ada usaha untuk mengenepikan Selangor dan kerajaan negeri pembangkang lain dalam mesyuarat berkaitan Covid-19. Ini sangat mengecewakan kerana di saat kita dalam peperangan pandemik dan masih memilih fahaman politik tertentu untuk dijadikan sekutu, pihak musuh iaitu virus Covid-19 pula tidak pernah peduli siapa yang akan diserang baik dari segi bangsa, agama ataupun parti apa yang dipangkah pada pilihan raya umum yang lalu.

Dan kita juga jangan lupa kritikan melulu ke atas Selangor yang mencatatkan jumlah kes Covid-19 tertinggi di Malaysia, berikutan dari laporan kes terkini harian yang sentiasa ‘dijuarai’ Selangor. Ada beberapa faktor yang perlu kita ambil kira sebelum melulu mengkritik tanpa asas.

Selangor seperti kita semua ketahui adalah antara negeri termaju di Malaysia dan merupakan pusat ekonomi negara. Maka ia antara negeri dengan populasi terbesar dan kadar kepadatan penduduk yang tinggi. Sudah tentulah Selangor mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi berkadaran dengan jumlah populasi yang ada. Selangor juga merupakan pusat tumpuan industri dan perdagangan, yang mewujudkan sekian banyak peluang pekerjaan lalu menjurus kepada munculnya kluster tempat kerja yang banyak di dalam negeri ini.

Akan tetapi apa yang lebih penting untuk kita jadikan ukuran apabila melihat Selangor sebagai negeri yang menyumbangkan paling banyak kes harian Covid-19 adalah pada kesungguhan mereka dalam melakukan ujian saringan massa Covid-19.

Selangor mungkin satu-satunya negeri yang melakukan ujian saringan berskala besar bagi mengesan Covid-19. Usaha kerajaan negeri memberikan ujian saringan percuma di 32 zon telah membantu dalam melaksanakan langkah Find-Trace-Test-Isolate-Support System yang merupakan asas penting bagi mengekang penularan Covid-19.

Sehingga 1 Jun, inisiatif kerajaan negeri ini telah memastikan 80,891 rakyat negeri Selangor telah menyertai Program Saringan Covid-19 Percuma. Kadar positif dalam program ini adalah pada 3.77% atau hampir 4 individu positif dari 100 individu yang diuji.

Data ini perlu dilihat bersama ujian saringan yang dijalankan oleh KKM dan kadar peratusan individu positif perlu diberi perhatian. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri telah menetapkan kadar positif 5% sebagai tanda aras untuk menilai seandainya ujian yang dijalankan mencukupi berbanding populasi yang wujud.

Dan memetik laporan CodeBlue sekali lagi, 13 negeri dilaporkan mencatatkan bacaan kadar positif melebihi 5% yang bermaknan jumlah ujian saringan yang dibuat adalah tidak mencukupi dan juga kemungkinan lebih ramai individu positif tidak dapat dikesan kerana kurangnya jumlah ujian saringan. Kelantan adalah negeri dengan kadar positif tertinggi iaitu 11.84% atau hampir 12 individu positif dari 100 individu yang disaring.

Maka apa yang boleh kita terjemahkan ialah walaupun Selangor mencatat kes harian tertinggi (susulan inisiatif ujian saringan massa yang dibuat), ia tidak bermakna negeri-negeri lain tidak. Malah kemungkinan besar negeri-negeri lain seperti Kelantan contohnya mempunyai banyak kes positif Covid-19 yang gagal dikesan kerana kurangnya jumlah ujian.

Kesimpulannya, apa yang dibuat oleh Selangor adalah langkah yang betul, seperti melakukan ujian saringan massa dan percuma, membangunkan sistem pengesanan sendiri seperti SELangkah dan melipat gandakan usaha pemberian vaksin walaupun bekalan yang diterima tidak mencukupi.

Dari sudut politik, memang ada yang menjadikan Selangor ‘kambing hitam’ kononnya gagal mengawal dan kini menjadi penyumbang utama Covid-19. Tetapi jika kita menilai dari sudut fakta, apa yang dilakukan Selangor patut menjadi ikutan negeri-negeri lain.

Kerana di penghujungnya kita hanya akan menang jika kita semua bekerjasama dalam melakukan apa yang betul tanpa mengira perbezaan politik.

Komen