Berhati-hati Dalam Berhujah

Biasalah di Malaysia ini, kalau ada isu-isu besar dunia timbul, rakyat Malaysia akan ikut serta dalam perbahasan mengenainya. Dicampur pula dengan rasa ‘kenegaraan’ yang kuat, maka para peserta perbahasan akan cuba mengaitkan isu tersebut dengan fikiran-fikiran dan budaya-budaya orang Malaysia.

Untuk kisah sehari dua ini, timbul isu perkauman dengan wacana kesamarataan dalam kaum. Perbahasan mengenai topik itu tercetus apabila dunia sekarang sedang membela kematian George Floyd, seorang berkulit hitam African-American mati dilutut seorang polis berkulit putih, Derek Chauvin. Kejadian ini berlaku di Amerika Syarikat, di bandar Minneapolis, Minnesota.

Dengan itu, gemparlah dunia akan isu kulit hitam-putih. Setibanya di Malaysia, sepertimana kebiasaan, orang Malaysia akan mula mengaitkannya dengan perkara-perkara yang dianggap masalah perkauman di sini.

Namun ada satu ciapan di Twitter yang saya rasa mendapat peserta teramai dalam wacana perkauman kerana isu yang diangkat adalah pendidikan, khususnya peringkat universiti.

Dalam ciapan tersebut, diselitlah pula gambar anak-anak muda sedang memegang kain rentang bertulis “UiTM Melaka Protest The Intake of Non-Bumiputera” dan “Selamatkan UiTM”. Apa ramai rakyat tidak melenting berang, penulis ciapan ini sudah mencuit sedikit sensitiviti kaum bumi. UiTM kot, tiada siapa boleh persoal.

Mujurlah rencana ini ditulis bukan bertujuan untuk ikut serta dalam perbahasan mereka ini. Cuma apa yang agak kecewa ialah keupayaan sesetengah mereka untuk berhujah dalam satu-satu isu. Sudahlah berwacana mengenai pendidikan, tapi hujah-hujah yang dikeluarkan segelintir peserta agak tidak sesuai dibawa masuk, sama ada dari segi hujah ataupun penyampaiannya. Kalau pendidikan itu dijelmakan manusia, dia akan bunuh diri lantaran malu akan hujah-hujah mengenainya.

Saya lihat majoriti peserta perbahasan membawa UiTM menjadi ramuan utama. Yalah sudah dikaitkan dengan UiTM, apa nak tunggu lagi? Ada juga yang bercerita mengenai kuota asasi UA dan matrikulasi. Senang cerita, ada dua pihak. Satu pihak hendak mempertahankan kaum bumi dengan idea-idea perlembagaan, ketuanan, pemilik tanah dan sebagainya. Manakala satu pihak lagi berjuang untuk kesamarataan layanan dalam pendidikan.

Ada antara mereka yang membawa hujah dan cara berhujah yang baik. Namun lebih banyak lagi yang semberono.

Saya tidaklah arif sangat untuk cerita soal perkauman dan pendidikan. Adalah juga baca sedikit ciapan saudara Ayman Rasydan tapi pun masih tidak berani berwacana mengenai itu. Cuma saya risau mengenai cara yang diambil oleh mereka dalam berhujah.

Ramai yang tersilap. Dalam sesebuah wacana, diskusi ilmiah mahupun perdebatan, menang atau kalah dan idea diterima atau tidak bukan soal pokok dalam wacana. Apa yang jauh lebih penting ialah kualiti dalam berhujah, bentangan fakta-fakta yang jitu dan pandangan peribadi yang bersandar dan bernas.

Apa jadi kalau menang atau kalah menjadi pokok utama?

Peserta wacana akan menjadi taksub akan kemenangan, sehingga melupakan kewarasan, logik, kebenaran dan adab dalam berhujah. Idea-idea yang dikemukakan akan menjadi tidak waras dan tidak berkaitan, kadang-kadang ada sampai tahap lucu.

Pendapat-pendapat daripada pihak seberang akan susah untuk diterima walaupun logik dan wajar diterima akal. Inilah yang terjadi apabila taksub untuk kepada kemenangan. Kemenangan bukan bererti soal menang dan dapat hadiah. Kemenangan disini bermaksud idea-ideanya tidak lagi ditentang, tiada lagi ciapan-ciapan seterusnya untuk membantah ideanya.

Boleh untuk rasa begitu, namun jangan silap. Kalau wacana sedang membincangkan yang manakah lebih sedap, daging ayam atau itik, tapi kau berhujah mengenai liatnya daging kuda, memanglah orang tidak respon hujah sebegitu kerana sudah lari daripada haluan wacana.

Maka, selagi mana idea kita ditentang dan dibincangkan, selagi itulah idea kita relevan dan logik. Bukannya kau terus menang.

Ramai peserta wacana ‘UiTM’ ini bersikap sebegitu. Masuklah isu-isu lain yang tidak bersangkut paut dengan tema wacana seperti isu jawi, kasta dalam Hindu, ada juga yang bandingkan kuota UiTM dan sekolah vernakular. Tidak cakap lagi soal nak tarik hak warganegara bukan bumi.

Mereka sedang berwacana mengenai siapa lebih rasis, bukannya hendak menyelesaikan isu rasis.

Perkara lain yang lagi penting dalam berhujah ini ialah adab. Sebenarnya berhujah dengan tidak taksub akan kemenangan juga antara adab dalam berhujah dan berwacana namun adab disini lebih kepada soal etika dan bahasa.

Perkara ini sebenarnya tidak perlu cerita panjang. Semua orang tahu akan pentingnya beradab dalam semua perkara. Soal kepenggunaan bahasa yang baik dan tidak menyerang, tidak menyentuh hal peribadi dan sebagainya. Itu soal sikap dalam berhujah.

Sesetengah orang ada fikiran lain dalam berhujah. Ada yang ingat, siapa yang paling berjaya buat orang marah, melenting, memaki, dialah yang menang. Oleh itu, mulalah keluar hujah-hujah tidak beradab: bentuk hidung yang pesek, rambut yang keriting, bentuk telinga capang dan nenek tirinya yang dilahirkan luar nikah. Langsung tidak jaga adab hanya untuk ‘menang’.

Namun tidak semua begitu. Ada juga yang sangat baik dalam berhujah, beretika dan beradab serta idea-idea yang logik dan waras.

Rakyat Malaysia bagus dalam mendepani isu-isu global. Pentas wacana dan perbahasan akan dibuka, walaupun cuma di pentas sosial maya. Perkembangan fikiran dalam berhujah juga ada yang baik dan matang.

Berhati-hatilah dalam berhujah.

Tentang Penulis

Mohd Naiem Zikri adalah siswa Universiti Malaysia Sabah dalam jurusan Asasi Sains.

Komen