Depresi dan tekanan mental pada waktu pandemik ini telah mengakibatkan ramai yang beranggapan bahawa bunuh diri adalah solusi yang terakhir bagi jalan penyelesaiannya. Tekanan hidup yang dihadapi memberi kesan terhadap mental. Ada yang berpandangan bahawa tekanan mental ini disebabkan oleh kurangnya iman dalam diri. Walhal tekanan mental terjadi kerana ketidakseimbangan kimia dalam otak bukannya disebabkan oleh lemahnya iman seseorang. Iman seseorang tidak dapat diukur dengan mata kasar. Kita bukannya Tuhan untuk menghakimi iman seseorang.
Kesusahan rakyat di saat pandemik ini bukanlah sebuah jenaka bagi ahli politik, PKP yang disambung-sambung seolah-olah tali yang putus dicantum kembali. Kes bilangan positif COVID-19 semakin bertambah dari sehari ke sehari. Beberapa hari yang lalu, isu bendera putih dikibarkan bagi menyatakan kesatuan rakyat dan solidarti terhadap penderitaan yang rakyat hadapi. Golongon B40 yang paling terkesan kerana ekonomi merudum. Ramai yang dibuang kerja saat ini, ramai yang menganggur. Melalui gerakan ini, bendera putih yang dikibarkan di luar rumah diharapkan agar dapat dilihat oleh orang sekeliling bagi tampil menghulurkan bantuan.
Setiap hari di dada-dada akhbar dan dalam berita di televisyen, rakyat menanti khabar gembira. Namun, hampa apabila yang ditemui adalah berita tentang kes bunuh diri yang semakin meningkat kerana tekanan hidup saat ini. Sehinggakan viral di media sosial tentang seorang bapa yang kehilangan kerja dan tidak mempunyai pendapatan telah menyatakan hasratnya untuk menghabisi nyawanya sendiri kerana tidak berupaya untuk menanggung derita ekonomi keluarga kerana masih mempunyai anak dan isteri yang perlu ditanggung. Bahkan ada yang bertanya adakah bunuh diri boleh tuntut insurans kematian?
Persoalan yang menyedihkan sebegini seharusnya tidak ditanya andai pentadbiran itu telus dan memainkan peranannya dengan sebaik mungkin. Gerakan bendera putih adalah petanda bahawa Malaysia disaat yang genting, kerana rakyat perlu mempertahankan rakyat itu sendiri dengan usaha rakyat. Bukannya daripada parti pemimpinan yang seharusnya berjuang bagi kelangsungan dan kesejahteraan hidup ini. Sesungguhnya rakyat sudah penat, dengan keadaan yang tidak berubah ini. Sekiranya andai tiada perancangan yang terbaik untuk membantu kami, janganlah ditambah derita kami dengan pentadbiran yang tidak berfungsi. Harapan agar bilangan kes yang semakin turun dan rakyat boleh kembali bekerja seperti biasa. Semoga pandemik ini akan berakhir dan wabak COVID-19 ini beransur pergi.
(Artikel ini adalah tulisan saudara Umair Nurisy dan tida semestinya mewakili pandangan pihak Solidaritas)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.