Bella Ciao, Kerajaan Gagal

Siapa yang tidak pernah dengar lagu Bella Ciao yang kembali menjadi siulan selepas ia dipopularkan di dalam siri Netflix The Money Heist. Tapi berapa ramai yang tahu asal usul dan kenapa lagu ini dicipta?

Bella Ciao atau maksud dalam bahasa Inggeris ialah “goodbye beautiful” adalah lagu yang sangat popular di kalangan mereka yang menghadiri protes di Eropah khususnya. Bella Ciao dinyanyikan di setiap perhimpunan protes di Itali, juga kedengaran dinyanyikan sewaktu protest anti – Brexit di United Kingdom, demonstrasi pro-kemerdekaan yang dianjurkan oleh aktivis Catalan di Sepanyol juga oleh gerakan rompi kuning di Perancis.

Bella Ciao pada awalnya adalah sebuah lagu yang dinyanyikan oleh para petani wanita yang bekerja sebagai buruh di sawah padi di utara Itali pada lewat kurun ke-19. Ia adalah sebagai simbol rasa marah dan kebencian terhadap tuan tanah dan juga penyelia mereka pada waktu itu yang memaksa mereka, yang kebanyakannya adalah dari golongan miskin untuk bekerja dengan gaji yang sedikit dengan waktu kerja yang lama. Ia adalah satu penindasan kepada mereka. Seorang penulis yang tidak dikenali pernah merekodkan bahawa kaum wanita yang ditindas ini juga dikawal selia pekerjaan mereka dengan rotan. Terdapat satu baris lirik lagu ini yang membawa maksud “akan tiba satu hari, kami semua akan bekerja secara bebas” yang kemudiannya menjadi tema kepada semua gerakan pemberontakan dan kebebasan untuk kelas pekerja.

Karya klasik ini kemudiannya dipilih oleh gerakan anti-fasis di Itali yang menentang diktator Benito Musollini dan pelbagai kumpulan gerakan yang menentang Nazi yang dikenali sebagai partisan antara tahun 1943 hingga 1945 sewaktu Perang Dunia Kedua.

Selain Bella Ciao, ada banyak perkara-perkara yang dilakukan oleh para penunjuk perasaan seluruh dunia bagi mencuri tumpuan mata dan juga menjadikan ia sebagai satu simbol yang signifikan dengan gerakan revolusi dan perjuangan mereka.

Di Thailand telah berlakunya protes terhadap kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha, yang salah satu tuntutannya ialah untuk mengadakan reformasi terhadap sistem monarki negara tersebut. Protes ini dilihat sebagai satu revolusi politik yang paling besar di Thailand apabila kebanyakan rakyat mula menolak sistem monarki negara tersebut. Para penunjuk perasaan kebanyakannya adalah dari golongan muda dan golongan mahasiswa menggunakan simbol 3 jari atau “three fingers salute” yang pernah dipopularkan oleh watak Katniss Everdeen di dalam filem The Hunger Games. Hari demi hari gerakan tunjuk perasaan ini menjadi semakin radikal dan pada 14 Oktober 2020, mereka telah beramai-ramai menunjukkan simbol 3 jari tersebut di hadapan kereta Rolls Royce kuning milik keluarga Diraja yang keluar dan melalui kawasan tunjuk perasaan – satu perbuatan yang dikatakan adalah untuk melakukan provokasi kepada semua penunjuk perasaan. Ini bukanlah kali pertama berlakunya tunjuk perasaan di Thailand yang berkait rapat dengan perkembangan politik negara mereka. Pada tahun 2008 terdapat gerakan tunjuk perasaan yang popular dengan gelaran kumpulan baju kuning dan kumpulan baju merah – yang kedua-duanya daripada parti yang berbeza.

Di Malaysia, sejarah revolusi politik moden bermula pada tahun 1998 dan ia amat popular dengan perkataan “Reformasi” sebagai tunjang gerakan tersebut. Pemilihan perkataan “Reformasi” itu adalah sangat tepat dengan objektif gerakan tersebut yang mendesak pembaharuan serba serbi dalam pentadbiran dan pengurusan negara.

Sehingga kini, revolusi “Reformasi” secara terus terusan memainkan peranan besar terutamanya sewaktu kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 pada tahun 2018. Reformasi juga secara tidak langsung telah menyumbang kepada penubuhan gerakan Bersih – yang menuntut pilihan raya bersih dan reformasi sistem pilihan raya agar ia lebih bersih dan bebas dari sebarang pengaruh parti politik.

Penularan kes Covid-19 di serata dunia sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada kehidupan dan kebiasaan normal semua manusia di seluruh dunia. Banyak perkara yang pada dahulunya adalah perkara rutin kini tidak lagi dapat dijalankan. Di Malaysia juga, banyak perkara yang pada dahulunya adalah perkara biasa kini hanya tinggal kenangan. Perkataan norma baru kini semakin popular di kalangan rakyat Malaysia untuk membiasakan diri dengan rutin yang baru.

Begitu juga dengan protes terhadap kerajaan. Tular di laman media sosial tanda pagar #KerajaanGagal baru-baru ini yang melambangkan tanda protes terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang tidak cekap dalam mengendalikan isu-isu berkaitan Covid-19 terutamanya cara untuk membendung penularan kes baru dan juga beberapa perkara lagi yang membabitkan kesejahteraaan rakyat yang semakin terhimpit pasca gelombang Covid-19 sebelum ini. Sebelum ini, terdapat juga beberapa tanda pagar lain yang menjadi “trending” antaranya #BantahDarurat yang diwujudkan untuk membantah proklamasi darurat yang diisytiharkan oleh kerajaan Perikatan Nasional. Di samping itu terdapat juga tanda pagar #ManaUndiKami sebagai tanda protes dan bantahan terhadap kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya yang mengatakan perlaksanaan Rang Undang-Undang Undi18 akan mengalami sedikit kelewatan untuk dilaksanakan kerana wabak Covid-19 – satu alasan yang paling tidak masuk akal dan dungu.

Selain itu terdapat pelbagai lagi tanda pagar antaranya #TamatDarurat , #BukaParlimen dan #KitaMintaLima – kesemuanya adalah tanda bantahan dan protes terhadap proklamasi darurat yang diisytiharkan pada pertengahan Januari 2021 lalu. Warga net kini membiasakan diri dengan norma baru dalam mengadakan bantahan dan protes.

Dahulu, jika terdapat isu-isu sebegini, pasti ramai rakyat yang sudah turun ke jalanan bagi menyuarakan bantahan mereka. Masih ingat lagi dengan himpunan Bersih? Namun kerana rakyat Malaysia masih lagi memikirkan kemaslahatan dan kesejahteraan antara satu sama lain, maka bantahan dan tekanan terhadap kerajaan dilakukan secara maya di laman sosial terutamanya di Twitter. Ini juga mempunyai kebaikan tersendiri iaitu apabila tanda pagar ini menjadi tular, ia akan mendapat perhatian dunia dan dunia akan tahu apa yang berlaku di dalam negara kita.

Sedikit sebanyak ini memberikan tekanan kepada kerajaan. Telah terbukti melalui beberapa insiden, tekanan di media sosial telah menyebabkan kerajaan membuat pusingan-U terhadap keputusan yang telah mereka buat sebelum itu.

Pada minggu lalu, seorang artis dan aktivis yang terkenal dengan karya satira beliau, Fahmi Reza telah ditahan akibat dari protes yang beliau lakukan menggunakan tanda pagar #DengkiKe . Beliau telah mencipta satu senarai lagu menggunakan tanda pagar itu di aplikasi Spotify, sebagai satu protes dan satira terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Raja Permaisuri Agong di laman Instagram baginda. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Raja Permaisuri Agong itu sedikit sebanyak telah menyinggung perasaan rakyat yang sememangnya sudah terluka dek khabar berita yang dilaporkan oleh Asia Sentinel mengenai penerimaan 2,000 dos vaksin oleh keluarga baginda untuk kegunaan baginda sekeluarga dan juga sahabat handai. Anehnya, tiada kenyataan menafikan berita tersebut keluar dari pihak Istana Negara dan ia seakan-akan memberi gambaran bahawa berita itu adalah benar. Warga net mengecam dan memberikan tekanan terhadap kerajaan yang seolah-olah hilang keutamaan mengendalikan krisis di dalam negara dengan menahan Fahmi Reza atas kesalahan yang akan didakwa di bawah akta yang diberikan nama jolokan “Akta Sakit Hati”.

Sepanjang penahanan Fahmi Reza, warga net bersolidariti bersama beliau dengan tanda pagar yang sama, poster-poster dan kata ciap menekan kerajaan agar tidak menyekat kebebasan bersuara di kalangan rakyat. Kegagalan kerajaan dan juga pihak istana melakukan “damage control” terhadap isu ini telah membangkitkan kemarahan kebanyakan rakyat. Masyarakat dahulunya yang sangat menghormati monarki di dalam negara ini kini nampaknya sudah mula muak dengan perbezaan darjat dan cara hidup antara rakyat dan juga golongan kayangan ini, apa lagi apabila mereka seolah-olah tidak mempunyai sentuhan terhadap realiti. Tidak mustahil jika satu hari nanti akan terjadi juga bantahan seperti yang berlaku di Thailand terhadap monarki mereka di negara kita jika kerajaan dan juga pihak istana tetap alpa dan bersifat “out of touch” dengan keadaan semasa rakyat. Fahmi Reza juga sewaktu beliau dibebaskan dari tahanan reman keluar dengan mengangkat tanda “3 fingers salute” sebagai tanda kemenangan awal beliau apabila majistret menolak permohonan reman selama 4 hari ke atas beliau dan beliau dibebaskan setelah 24 jam berada dalam tahanan pihak polis. Begitulah kuasa protes norma baru yang sebenarnya memberikan lebih banyak ruang dan capaian untuk sampai ke pengetahuan warga net yang lain bukan sahaja di dalam negara, malah melangkaui sempadan negara.

Di mana-mana kerajaan demokratik di dalam dunia harus ingat bahawa kuasa sebenar dalam penentuan kerajaan adalah kuasa rakyat. Jika rakyat terus-terusan ditindas dan dipijak, tidak mustahil satu hari nanti rakyat akan bangkit melawan waima apa juga keadaan semasa yang melanda negara, meninggalkan tanda pagar di alam maya dan melangkah menuju ke jalanan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati. Ini kerana pada satu saat dan tika nanti, rakyat pasti akan sedar bahawasanya mereka sudah tiada apa lagi yang tinggal untuk diperjuangkan kecuali hak mereka. Sama seperti petani di Itali pada lewat kurun ke-19 yang bermula dari dendangan lagu akhirnya memberontak memperjuangkan hak mereka.

Bella Ciao, kerajaan gagal. Masa anda akan tiba juga untuk diperhitungkan oleh kuasa rakyat. Mungkin kini kamu, kamu dan kamu selesa di kerusi empuk mendapat gaji yang besar, namun jangan kamu memandang rendang kepada kuasa rakyat terutama sekali rakyat yang tertindas. Jika pada satu ketika dahulu gergasi biru berusia 60 tahun juga tumbang, tidak mustahil kamu, kamu dan kamu yang baru setahun jagung menerima nasib yang sama. Rakyat kini semakin berani dan pintar. Jangan ditolak mereka ke dinding. Kerana jika mereka melawan, kamu juga yang pasti tumbang.

Komen