Di dalam Belanjawan 2022, parlimen menerima dana sebanyak RM148.3 juta dengan penambahan sebanyak RM3.02 juta atau 2.04 peratus berbanding RM145.3 juta pada tahun 2021. Walau bagaimanapun, peruntukan dan penambahan dana kepada institusi parlimen adalah kecil dan tidak signifikan.
Ini berbeza dalam Belanjawan 2019 apabila dana parlimen meningkat kepada RM137.4 juta berbanding RM125 juta pada tahun 2018 dengan penambahan dana sebanyak RM 12 juta atau 8.95 peratus.
Hakikatnya, kadar penambahan dana parlimen dalam Belanjawan 2019, iaitu sebanyak RM12 juta, adalah tiga kali ganda lebih besar daripada kadar penambahan dana parlimen dalam Belanjawan 2022, iaitu sebanyak RM3.02 juta. Sekali lagi, institusi parlimen dipinggirkan dalam Belanjawan 2022.
Peruntukan parlimen dalam Belanjawan 2022 adalah 18 kali ganda lebih rendah berbanding Belanjawan 2021 bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak RM2.65 bilion. Persoalannya, bagaimana DBKL yang hanya menguruskan bandar raya Kuala Lumpur mempunyai dana yang lebih besar, tetapi parlimen yang menguruskan seluruh rakyat Malaysia hanya mendapat peruntukan kecil?
Apalah nasib parlimen kita? Setelah dimanipulasikan sepanjang darurat dan pandemik akibat kerakusan badan eksekutif dan Perdana Menteri, usaha untuk membina semula asas yang baik untuk parlimen tidak dimulakan dalam Belanjawan 2022.
Ironinya, peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam Belanjawan 2022 pula yang meningkat kepada RM12.2 bilion, iaitu 80 kali ganda besar daripada dana parlimen.
Dengan peruntukan yang kecil ini, sejauh manakah transformasi parlimen yang telah dipersetujui bersama kerajaan Dato’ Seri Ismail Sabri dan Pakatan Harapan (PH) dalam perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dapat dilaksanakan dengan kadar segera?
Reformasi Parlimen “Politik Kosmetik” Kerajaan?
Belanjawan 2022 sepatutnya menjadi permulaan terbaik memulakan transformasi parlimen, terutama sekali apabila kerajaan Ismail Sabri mahu memperkenalkan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 untuk memberi autonomi pentadbiran parlimen secara bebas, tanpa campur tangan eksekutif.
Sayangnya, perkara ini tidak berlaku dalam belanjawan kali ini. Belanjawan 2022 masih lagi dirangka menggunakan pendekatan pentadbiran Barisan Nasional yang menumpukan pemusatan dana di tangan Perdana Menteri, bukan untuk menyuburkan sistem demokrasi berparlimen dan tadbir urus negara.
Malah, butiran agihan peruntukan kepada setiap Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta dana kawasan bagi semua ahli parlimen, seperti yang dijanjikan dalam MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, tidak kelihatan dalam Belanjawan 2022.
Dari sudut yang berbeza, agenda transformasi parlimen dilihat sebagai politik ‘kosmetik’ kerajaan Ismail Sabri untuk menyedapkan hati rakyat dan menonjolkan imej keterbukaan kerajaan yang sebenarnya tidak berlaku sama sekali.
Sedar atau tidak, Belanjawan 2022 meneruskan pemberian dana khas secara besar-besaran kepada seorang Perdana Menteri. Dana khas ini merujuk kepada peruntukan yang hanya boleh dibelanjakan oleh Perdana Menteri mengikut budi bicaranya.
‘Dana Khas’ Buat Perdana Menteri
Kebanyakan peruntukan pembangunan JPM di dalam Belanjawan 2022 adalah dana khas buat Perdana Menteri seperti “Projek Khas” (Butiran: 93500) sebanyak RM1 bilion, Dana Fasiliti (97000) sebanyak RM200 juta, dan Projek Mesra Rakyat (93600) berjumlah RM440 juta.
Dana khas ini dianggarkan berjumlah RM2.14 bilion atau 28 peratus daripada jumlah keseluruhan dana pembangunan tersebut. Bayangkan sahaja, seorang Perdana Menteri mendapat peruntukan dana khas yang nilainya 14 kali ganda lebih besar berbanding peruntukan parlimen.
Jumlah dana khas Perdana Menteri lebih besar besar berbanding Belanjawan 2021 negeri Johor, iaitu sebanyak RM1.85 bilion. Dan, ia dianggarkan empat kali ganda lebih tinggi berbanding Belanjawan 2021 negeri Melaka berjumlah RM445.96 juta.
Justeru, apakah rasional seorang Perdana Menteri mempunyai dana khas melebihi negeri? Bukankah ini satu pemusatan kuasa yang tidak sihat untuk sistem demokrasi berparlimen negara kita?
Masalahnya, dana khas ini sukar untuk disemak secara terbuka. Jika kebanyakan ahli parlimen sendiri sukar mendapatkan maklumat tentang perkara ini, jauh lagi untuk ia diketahui orang awam. Kurangnya ketelusan dan maklumat terperinci mengenai perbelanjaan dana khas Perdana Menteri ini menyebabkan ketirisan dan pembaziran sering berlaku.
Isu menaik taraf Seri Perdana, rumah kediaman rasmi Perdana Menteri dengan kos sebanyak RM30 juta ketika krisis COVID-19, merupakan contoh terbaik bagaimana seorang Perdana Menteri tidak peka dengan nasib rakyat yang terbeban dengan pandemik. Dana khas yang besar itu lebih bermanfaat sekiranya digunakan untuk membantu rakyat yang susah di tengah-tengah pandemik.
Apa Harapan Yang Ada?
Secara umumnya, kekurangan dana parlimen dalam belanjawan kali ini perlu dirunding untuk diperbetulkan semula. Tidak munasabah sekiranya kerajaan Ismail Sabri menawarkan transformasi parlimen, dengan menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, tetapi gagal memberi dana yang setimpal untuk memastikan parlimen berfungsi dengan baik.
Pelaburan kepada parlimen adalah satu misi nasional. Institusi ini perlu diperkukuhkan bagi menangkis prasangka dan helah politik yang boleh menjejaskan kestabilan politik negara pada masa hadapan.
Ia adalah harapan besar rakyat yang mahukan sebuah negara yang demokratik dan tidak didominasi oleh Perdana Menteri yang lagak seperti ‘Presiden’.
Wajar sekiranya parlimen menyemak ketelusan perbelanjaan Dana Khas buat Perdana Menteri agar ia benar-benar digunakan bagi mengatasi masalah rakyat. Tanpa kawalan yang konsisten daripada parlimen, dana khas ini boleh disalahgunakan sekali lagi untuk kepentingan politik Perdana Menteri.

Fakhrurrazi Rashid berkelulusan Kajian Politik dan Pemerintahan di UNIMAS, Sarawak. Orang panggil Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Bapa muda kepada Aleesa yang peduli dengan nasib generasi akan datang. Menulis untuk mengganggu pemikiran orang supaya berfikir dan mengkritik.