Bangsa, Budaya, Manusia, Kita

Prof Madya Abdullah Taib, dari Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia suatu waktu dahulu menukilkan, adalah suatu perkara yang mengelirukan dan salah untuk menganggap kebudayaan kita lebih tinggi dari kebudayaan orang lain. Dalam abad ke-19, orang Barat begitu megah mengatakan bahawa tamadun mereka melambangkan kemajuan yang tertinggi pernah dicapai manusia. Dakwaan ini terbukti tidak benar sekali dengan kajian dari ilmuan dan sejarawan membuktikan, dalam konteks sosiologinya kesemua tamadun yang ada pada waktu dahulu mahupun sekarang punya pencapaian kemajuan masing-masing. Yang membezakannnya hanyalah matriks atau alat yang digunapakai bagi mengukur apakah yang kita anggap sebagai kemajuan dan pembangunan.

Dalam kajian lapangan yang dijalankan tokoh-tokoh antropologi seluruh dunia, mereka bersepakat dan bersetuju dengan hasil dapatan bertahun kajian tersebut di mana apabila mereka tinggal bersama dengan orang primitif, mereka mendapati bahawa golongan yang dianggap sebagai orang luar adalah merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat mereka sendiri. Cuma yang menjadi garis sempadan dan halangan untuk proses asimilasi jangka pendek ini adalah apakah motivasi untuk mereka ini meletakkan harapan kepada kita bagi mencapai kehendak secara bersama?

Sekiranya masyarakat itu adalah kelompok yang mengamalkan kanibalisme, soalnya adalah samada kebiasaan memakan daging manusia itu diterima mengikut nilai yang ada dalam masyarakat tersebut? Sekiranya ia adalah satu nilai yang memenuhi hasrat mereka, adakah kita sebagai orang luar, berbekalkan semangat human right berhak untuk menghalang tradisi tersebut?

“Kita kena lah halang, kalau tak macam mana kumpulan ini nak survive kalau dah amal makan sesama sendiri. Nanti pupus lah!”

Sekali lagi, haramkanlah otak dan akal kita dari terus menganggap orang lain tidak mampu berfikir seperti kita. Jika ada amalan kanibalisme dalam satu kelompok masyarakat, mestilah ada syarat tertentu bagi ritual tersebut dijalankan. Bukannya dengan membabi buta seperti hal jenayah kanibal yang berlaku dalam landskap moden yang kita ada sekarang. Di sinilah pentingnya kita mempunyai rasa rasional yang adil.

Relativisme kebudayaan dan etnosentrisme mewakili dua pandangan yang bertentangan. Pemilihan sudut pandang inilah yang membentuk kecenderungan individu, atau orang sekelilingnya untuk menjadi manusia yang terbuka atau tertutup dari segi penilaiannya terhadap manusia lain.

Membayangkan negara ini sebagai sebuah negara bangsa bukanlah satu perkara yang sia dengan memandang ke wilayah seberang sana yang telah membuktikan kepada kita penyatuan manusia dari pelbagai latar bangsa, kaum, dan etnik bukanlah satu hal yang mustahil. Akan tetapi, masih banyak usaha lain yang perlu diusahakan secara bersama bagi mencapai tujuan tersebut, dan adakah kita semua bersetuju dengan konsep negara bangsa ini?

Aku yakin 60% tidak akan bersetuju dengan mengambil kira faktor penguasaan ekonomi dan timbang tara politikalnya yang masih celaru dalam melaksanakan dasar dan gagasan penyatuan harmoni ini baik dari mana-mana kaum sekalipun yang memegang tampuk pentadbiran peringkat negeri dan persekutuan. Jadi, membayangkan Malaysia satu hari nanti sebagai sebuah negara bangsa bukanlah satu dosa, bahkan satu angan yang mulia dan kiranya ia terjadi, selesailah satu permasalahan yang meruncing dalam masyarakat kita pada hari ini.

Tidak akan ada lagi posting viral;

“Kita di sini Melayu makan kedai Cina takda hal, tempat lu orang boleh?” diikuti komen balas dari netizen dengan pelbagai pendapat dan pengalaman untuk hal yang pada aku, tidak wajar langsung dijadikan isu.

Apa itu negara bangsa?

Negara bangsa adalah satu konsep yang digunapakai bagi menggambarkan perpaduan dan semangat nasional dari semua kaum yang berbeza agama dan budaya dalam satu wilayah yang sama untuk berkongsi matlamat, dasar dan polisi yang hanya bertunjangkan kepada satu bangsa sahaja. Mengambil contoh Indonesia, sebagai negara republik yang mengamalkan konsep negara bangsa ini, semua rakyatnya menggunakan bahasa yang satu. Ini satu bentuk kesatuan yang sangat menarik, dari satu sisinya menyelesaikan permasalahan ethnocentrisme.

Adakah ini hasrat yang terpendam, yang menjadi dilema, gusar untuk diketengahkan, perit untuk dijeritpekikkan kerana takut dilabel sebagai rasis?

Hal rasis ni sembang nanti lah pula.

Tentang Penulis

Adam Mukhriz lahir dan membesar di ceruk Pulau Langkawi. Pentaksub dunia sosiologi yang berhijrah ke KL demi mengejar impian menjadi pemuzik Grindcore. Beliau boleh dihubungi melalui Facebook beliau.

Komen