Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan ada seramai lima juta perokok semasa di negara ini yang berumur 15 tahun ke atas.
Angka ini susulan akibat pertambahan jumlah perokok baharu menggantikan perokok yang telah selamat meninggal dunia.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata perokok baharu adalah dalam kalangan generasi berumur 15 hingga 40 tahun dan dijangka terus bertambah dengan kemunculan rokok elektronik atau vape.
Khusus bagi rokok elektronik atau vape, terdapat peningkatan peratusan pengguna dewasa 15 tahun ke atas, iaitu 1.2 juta orang pada 2019 berbanding 600,000 orang pada 2016.
Data ini adalah berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang telah dijalankan sekaligus meletakkan peratusan penghisap rokok elektronik atau vape pada kadar 24%.
Mereka yang menghisap rokok biasa atau tradisional pula masih merupakan golongan perokok majoriti dengan 76% dari 5 juta perokok memilih rokok biasa ini.
Masalah merokok semakin ketara dengan kemunculan produk merokok baharu seperti rokok elektronik atau vape yang lebih menarik perhatian penggunanya.
Justeru produk merokok yang tidak berasaskan tembakau dan hasil tembakau, termasuk bahan merokok yang terkandung dalam rokok elektronik atau vape serta produk pengganti tembakau, perlu dikawal di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Berdasarkan laporan Malaysia Factsheet The Asean Tobacco Atlas 2019, sebanyak 27,000 kematian dilaporkan akibat merokok di negara ini disebabkan komplikasi, penyakit berkaitan jantung, penyakit paru-paru kronik dan kanser paru-paru.
Maka pilihan adalah di tangan kita semua, sama ada mahu terus merokok dan lebih awal meninggalkan dunia atau mahu mengisi kehidupan kita dengan lebih bermakna bersama insan tersayang?