Bahasa Jiwa Bangsa?

DI Malaysia, bahasa kebangsaan kita disebut dengan nama bahasa Melayu. Mengambil dari bahasa jiwa bangsa maka umum pastinya melihat bahasa kebangsaan kita ialah jiwa bangsa Melayu.

Kenapa tidak dipanggil bahasa Malaysia, aku tidak pasti. Sedangkan jika kita memilih untuk mengambil istilah bahasa Malaysia aku yakin ianya lebih berjaya dalam mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, bukan terpecah pada Melayu, Cina, India dan sebagainya.

Dan di sebalik keghairahan mendaulatkan raja Melayu serta melindungi ketuanan Melayu kenapa perlu kita menerima PPSMI dan membiarkan Sains dan Matematik di sekolah diajar pada anak-anak Malaysia dalam bahasa Inggeris?

Bukankah ianya hanya akan membantutkan pembangunan bahasa Melayu kita, atau bahasa Malaysia?

Mungkin perkara di bawah ini patut menjadi renungan kita semua.

Wikipedia bahasa Indonesia pada 21 Februari lepas telah mencecah 100,000 artikel. Artikel pertama mereka bermula pada 30 Mei 2003. Secara kasarnya mereka mengambil masa 4 tahun untuk mencapai artikel ke-100 ribu.

Saat pos ini ditulis jumlah artikel Wikipedia bahasa Indonesia telah mencapai 100,635 artikel dengan sejumlah 92,140 pengguna berdaftar.

Wikipedia bahasa Indonesia kini diletak dalam kelompok Wikipedia dengan 100,000+ artikel.

Wikipedia bahasa Melayu pula masih lagi kekal dalam kelompok 10,000+ artikel. Jumlah artikel (atau rencana mengikut Wikipedia bahasa Melayu) setakat ini ialah 35,753 dengan 33,365 pengguna berdaftar.

Pokoknya, jika Sains dan Matematik mahu diajar dalam bahasa Inggeris, ianya akan membantutkan lagi perkembangan artikel berkaitan Sains dan Matematik khususnya dalam Wikipedia bahasa Melayu, atau Malaysia.

Perbandingan yang jelas menunjukkan betapa pembangunan bahasa Melayu ketinggalan jauh di belakang bahasa Indonesia.

Kenapa bahasa Indonesia dinamakan sedemikian? Kerana ianya dapat dilihat sebagai ejen penyatuan bangsa dan etnik Indonesia yang bertutur dalam ratusan dialek yang berbeza. Indonesia melihat diri mereka mempunyai identiti yang berlainan, lalu mereka mewujudkan satu entiti yang dapat menyatukan mereka semua.

Bhinneka Tunggal Ika. Berbeda-beda tapi tetap satu juga.


BAHASA JIWA BANGSA (artikel ini ditulis pada 6 Mac 2009) tulisan Lucius Maximus dalam MAAF AKU BUKAN LAGI LEON TROTSKY KAMU SEMUA

Dapatkan Maafkan Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua di: https://dubookpress.com/produk/maaf-aku-bukan-lagi-leon-trotsky-kamu-semua/]

Komen