Bagaimana Sebenarnya Empayar Uthmaniyah Jatuh?

Kisah kejatuhan empayar Uthmaniyah sememangnya satu pangkal bicara yang menarik untuk disembangkan, samada di lingkungan meja cendekia mahupun di meja-meja kopi orang awam. Dalam usul yang besar ini, persoalan mengapa dan bagaimana satu empayar yang telah berdiri teguh selama 600 tahun boleh jatuh didebatkan dengan penuh semangat oleh kita, dan tidak asing lagi Mustafa Kemal Attaturk sering menjadi watak jahat. Dengan kehangatan ceritera penulis seperti Abdul Latip Talib, kita seolah-olah faham sangat bahawa Mustafa Kemal ini adalah satu individu yang kejam dan licik. Tetapi, adakah benar kejatuhan Uthmaniyah berpunca tunggal dari usaha baktinya?

Empayar Uthmaniyah tidak dapat dinafikan lagi adalah satu empayar besar dan berjaya, malah pernah dinobatkan pewaris kedua-dua tamadun Rom dan Islam. Kita dapat membayangkan empayar Uthmaniyah sebagai gambaran sempurna kerajaan agung, membawa kemajuan ke serata dunia, tidak kira dalam soal sains ataupun dalam bidang keagamaan. Tetapi, sudah lumrah dunia yakni tiap-tiap satu perkara yang mempunyai permulaan, mesti ada pengakhiran yang pasti dan kisah pengakhiran kerajaan Uthmaniyah bermula pada akhir abad ke-19. Pada waktu ini, empayar Uthmaniyah telah mencapai puncak kemakmuran, segala sistem kerajaan dan kemasyarakatan diuruskan dengan elok, malahan berjaya menyelesaikan masalah kemajmukan masyarakat dengan merumuskan sistem autonomi sendiri yakni sistem Millet.

Pada ketika ini, bak kata Ibn Khaldun, tiap-tiap tamadun yang hebat akan mencipta zaman kesenangan, dan kesenangan akan mengundang jiwa yang lemah. Lama-kelamaan, dek tidak tercabarnya Uthmaniyah sebagai kuasa utama, rakyatnya mula memandang enteng akan hal-hal berkaitan amanah, keadilan, dan kesejahteraan ramai. Penyelewengan yang berleluasa mencipta laluan kepada dua konflik yang bakal terjadi, pertama sekali konflik kemasyarakatan. Uthmaniyah akhir abad ke-19 gagal dalam memastikan hak-hak setiap kaum di dalam jajahannya tertunai. Ketirisan penunaian hak-hak pancakaum di Uthmaniyah disemarakkan lagi dengan fahaman baru pada ketika itu, yakni fahaman kebangsaan bawaan Barat. Untuk menjelaskan perkara ini, kita mesti faham bahawa polisi kerakyatan utama Uthmaniyah adalah berdasarkan agama/budaya, jarang sekali kaum menjadi tanda ukur kerakyatan mereka. Selama ini, keamanan dapat diimbangi dengan tolak ansur antara kaum atas dasar Ummah. Penularan fahaman kebangsaan merosakkan susun atur kemasyarakatan Uthmaniyah dan menyebarkan permusuhan antara rakyat. Wilayah-wilayah jajahan Uthmaniyah mulai memberontak, membawa kefahaman ini sebagai intipati perjuangan seperti wilayah Balkan, Yunani, malahan Hijaz. Pemberontakan dalaman ini memakan sumber negara samada tenaga buruh mahupun kewangan.

Hal ini membawa kepada konflik yang kedua, kesempitan ekonomi Uthmaniyah. Tatkala pemberontakan dan peperangan dalaman berlaku, ianya memakan sebahagian besar sumber negara. Sumber yang sepatutnya boleh disalurkan kepada sektor yang lebih produktif tidak dapat dilaksanakan dek ingin membiayai kempen-kempen ini. Maka bagaimana empayar ini mahu menanggung beban ini? Jawapannya ialah menambah hutang negara, membebankan negara dengan berhutang dengan negara-negara Barat. Waktu ini, dunia sedang menghadapi alaf industrialisasi baru, yakni negara-negara sudah mulai menumpukan sumber pendapatan mereka melalui perkilangan dan perdagangan. Dengan pemberontakan dalaman yang berlaku, agak sukar bagi Uthmaniyah untuk menumpukan sepenuh tenaga ke arah ini, malahan senjata yang diguna pakai Uthmaniyah tidak dihasilkan di negara sendiri kerana membeli dari kerajaan Jerman. Negara tidak dapat menjana ekonomi lantas hutang makin bertambah tanpa meningkatkan nilai pengeluaran dan kekayaan negara. Sebenarnya, ketirisan kerajaan Uthmaniyah menambahkan lagi bebanan hutang kerana kebanyakan dari hutang yang diterima ditelan oleh golongan atasan tanpa menyalurkannya kepada tempat yang berhak. Rakyat Uthmaniyah merasakan bebanan ini tatkala mereka mula beralih dari menambah hutang kepada meningkatkan percukaian. Mana-mana individu yang terpelajar dalam bidang ekonomi sudah pun tahu menambah cukai akan merencatkan perkembangan ekonomi negara, dan itulah apa yang terjadi di empayar itu.

Dua konflik ini menyebabkan rakyat terbeban, dan beban ini bertukar kemarahan kepada kerajaan. Kemarahan yang merebak merosakkan reputasi Khalifah, meningkatkan ketidakpercayaan kepada kerajaan, dan hal inilah yang membawa kepada tuntutan pembaharuan kerajaan. Melihat kepada kemajuan yang baru digapai Barat, pemikir dan ahli siasah di empayar itu merasakan bahawa sistem yang diamalkan oleh negara-negara Barat itu wajar diikut. Makanya, terjadilah Revolusi Turki Muda yang memaksa Sultan untuk melaksanakan sistem siasah demokrasi. Zaman ini rakyat Uthmaniyah menyaksikan pergelutan politik yang hebat, menggegarkan serantau negara itu. Pembaharuan yang dibawa juga bermakna penyerapan fahaman kebangsaan di dalam kerangka kerajaan, khasnya kebangsaan bangsa Turki. Parti dominan ketika itu ialah parti Ittihad wa Tarakki Jamiyati (CUP) melontarkan idea Uthmaniyah milik bangsa Turki, bukannya kefahaman Ummah terdahulu yakni Uthmaniyah milik Ummah yang berbilang bangsa dan agama. Kefahaman ini mengakibatkan empayar itu kehilangan wilayah Balkan dan sekeliling. Pelbagai usaha telah cuba dilakukan untuk meningkatkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan moden baru ini, tetapi kerajaan ini telah melakukan satu kesilapan yang maha besar.

Uthmaniyah sekitar tahun 1910-an telah menghabiskan kebanyakan hartanya dalam perang wilayah Balkan, dan waktu ketika itu juga empayar itu baru membeli dua kapal perang dari Jerman. Pada 1914, kapal perang yang masih dikendalikan oleh pegawai laut Jerman telah melancarkan Serang Kilat Laut Hitam yang menyerang kapal dan Pelabuhan milik Russia. Operasi ini adalah buah fikiran Menteri Peperangan Uthmaniyah ketika itu, iaitu Enver Pasha. Maka dengan itu, secara rasminya Uthmaniyah telah menyertai Perang Dunia Pertama. Enver Pasha mahu Uthmaniyah terlibat dengan peperangan itu kerana mengharapkan sokongan dan bantuan politik dari kerajaan Jerman serta rakyat Uthmaniyah sendiri. Namun, langkah ini memerangkap kerajaan Uthmaniyah dalam satu peperangan yang menelan sumber yang maha banyak. Sepanjang perang itu, Uthmaniyah mengalami kekalahan demi kekalahan dek kekuatan ketenteraan yang lapuk dan tidak mempunyai prasarana perindustrian yang ampuh. Pada akhir peperangan itu, dilaporkan bahawa Uthmaniyah kerugian sebanyak 9 billion Franc emas. Kekalahan dan kerugian itu membawa kepada pembahagian wilayah-wilayah Uthmaniyah kepada tentera Bersekutu melalui Perjanjian London dan Perjanjian Sevres.

Perjanjian Sevres merupakan satu perjanjian yang ditandatangani Sultan, tetapi isi kandungan perjanjian itu tidak diratifikasi oleh kerajaan atas tentangan parti Mustafa Kemal Attaturk. Perjanjian ini ditentang Mustafa Kemal kerana Uthmaniyah akan kehilangan lebih banyak wilayah dan sumber ekonomi. Rakyat pada waktu itu juga berasa tidak puas hati atas tindakan Sultan, maka Mustafa Kemal mulai mengorak langkah untuk membincangkan satu perjanjian yang baru. Langkah ini perlu dibuat untuk mendapatkan persetujuan pihak bersekutu dan menerapkan ciri-ciri kerajaan moden dan oleh itu pada April 1920 Mustafa Kemal merumuskan satu sistem peralihan dari kerajaan diraja kepada kerajaan Jumhuriyah (Republik). Seterusnya, untuk mengukuhkan lagi kedudukan Uthmaniyah sebagai Jumhuriyah, pada November 1922, kesultanan Uthmaniyah dihapuskan, dan berakhirlah kekuasaan sistem Sultan yang telah berdiri selama 600 tahun. Langkah-langkah ini menunjukkan kesungguhan kerajaan baru Mustafa Kemal dalam menunaikan komitmen untuk satu perjanjian baru. Setelah beberapa siri perbincangan dengan pihak Bersekutu, maka Mustafa Kemal memperolehi restu untuk menandatangi satu perjanjian baru yakni Perjanjian Lausanne. Perjanjian ini juga mengiktiraf kerajaan Mustafa Kemal yang baru iaitu kerajaan Jumhuriyah Turki.

Sekarang, kita soal kembali, adakah benar Mustafa Kemal secara perseorangan meruntuhkan kerajaan Uthmaniyah? Bagi saya dan sekalian sejarawan lain, kejatuhan Uthmaniyah bukanlah berpunca darinya, sebaliknya dari kelemahan kepemimpinan Sultan dan menteri-menteri Uthmaniyah itu sendiri. Dalam susur galur sejarah yang telah saya nukilkan, nama Mustafa Kemal Attaturk hanya muncul pada akhir-akhir sirahnya. Adakah Mustafa Kemal Attaturk mahukan empayar itu jatuh? Sudah tentu tidak, dan jika dia benar-benar jahat sekalipun, adalah lebih baik untuk dia menjadi Sultan sendiri menikmati kekuasaan yang tidak terhad. Mustafa Kemal hanya melakukan apa yang perlu untuk menyelamatkan saki baki Uthmaniyah yang diratah Barat, dan usahanya mendatangkan kemajuan kepada Jumhuriyah Turki patut diberi pujian. Walau bagaimanapun, saya juga bersetuju akan ada beberapa tindakannya yang tidak patut diterapkan, seperti memaksa orang Muslim untuk meninggalkan Quran dan amalan-amalan ibadah. Sejujurnya, dia bukanlah perwira Islam, tetapi perwira kebangsaan Turki. Jadi sekiranya ada orang yang mahu menyalahkan Mustafa Kemal meruntuhkan Uthmaniyah, bantahlah, dan kata yang menjatuhkan Uthmaniyah adalah fahaman kebangsaan melampau dan penyelewengan dalam kerajaan.

Komen