Bagaimana Piala Thomas Meletakkan India Setanding China

DI dalam sukan badminton, kejohanan Piala Thomas adalah satu acara berprestij. Piala Thomas adalah ibarat holy grail sukan badminton sama seperti kejohanan All England, kerana sejarah dan tradisi yang ada pada dua kejohanan ini. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan Piala Thomas dilihat jauh lebih utama dari kejuaraan dunia atau pun pingat emas Olimpik bagi sesetengah pemain badminton dan negara.

Apa yang membuatkan Piala Thomas diibaratkan seperti holy grail badminton adalah kerana sifatnya yang eksklusif. Sejak kali pertama dipertandingkan pada tahun 1949 hinggalah tahun 2020 yang melibatkan sebanyak 31 edisi, hanya lima negara pernah menjuarai Piala Thomas. Malahan dari tahun 1949 hingga 2012, Piala Thomas dimonopoli oleh hanya China, Indonesia dan Malaysia. Dominasi ini dipecahkan oeh Jepun pada 2014 dan Denmark pada 2016, kurang 10 tahun sebelum India mencipta sejarah menjadi negara keenam menjuarai Piala Thomas edisi ke-32 tahun ini.

Bandingkan dengan Piala Dunia bola sepak yang telah dijuarai oleh sebanyak 8 negara dari 21 edisi yang telah diadakan.

India Dan Badminton

India bukanlah kuasa besar badminton, walaupun sudah layak ke peringkat akhir kejohanan Piala Thomas sebanyak 11 kali. Ia bukanlah sama seperti China, Indonesia dan Malaysia; tiga kuasa besar badminton dunia yang secara kolektif telah menjulang Piala Thomas sebanyak 29 kali. Malahan penganalisis badminton juga akan sepakat untuk mengatakan India juga tidaklah setanding dengan kuasa badminton 2nd rate seperti Denmark, Jepun dan Korea Selatan yang telah jauh lebih kerap layak ke peringkat akhir Piala Thomas dan bermain di final.

Pun begitu sukan badminton mempunyai ikutan yang besar di India, bahkan diletakkan sebagai sukan nombor dua negara itu selepas kriket. Dan sejak kali pertama dibawa masuk dan diperkenalkan di India oleh penjajah British, India telah pun berjaya melahirkan beberapa pemain badminton yang tersohor.

Satu nama besar sinonim dengan badminton India adalah Prakash Padukone, pemain India pertama yang pernah menghuni ranking dunia nombor 1 pada tahun 1980, tahun yang sama beliau menjuarai All England. Kejayaan Padukone membawa sinar baharu buat badminton India, yang nyalaannya diteruskan Padukone melalui penubuhan akademi badminton beliau sendiri.

Sinar baharu cetusan Padukone itu diperkasakan lagi apabila pada tahun 2001, anak didik Padukone iaitu Pullela Gopichand muncul pemain India kedua yang menjuarai All England. Seperti mahagurunya, Gopichand juga menubuhkan akademi badminton beliau bagi mendidik generasi pemain seterusnya untuk mewakili India.

Dua sosok ini memainkan peranan penting dalam membangunkan sukan badminton India yang kemudiannya menyaksikan kemunculan pemain-pemain berkaliber yang menempa kejayaan di peringkat antarabangsa. Antaranya pemain wanita PV Sindhu dan Saina Nehwal yang memenangi pingat di sukan Olimpik, serta pemain lelaki seperti Lakshya Sen, Srikanth Kidambi, Prannoy H.S. dan beregu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang pernah mencapai ranking dunia 10 teratas yang kemudiannya menjadi asas kepada skuad Piala Thomas India tahun ini.

Dengan barisan pemain berkaliber yang ini, India berjaya membina satu skuad Piala Thomas yang berupaya menyaingi kuasa besar badminton lain sekaligus mencipta kejutan menjuarai holy grail badminton itu.

Peri Pentingnya Piala Thomas

India bukanlah sebuah negara yang kecil. Dengan keluasan tanah hingga selalu dirujuk sebagai sub-continent dan jumlah penduduk mencecah 1.38 bilion, India adalah negara ketujuh terbesar dari segi saiz dan kedua dari segi populasi. India juga digelar sebagai kuasa besar masa hadapan, baik dari segi politik, ekonomi atau ketenteraan. Malahan ia kerap dirangkum sebagai salah satu negara blok BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan South Africa) sebagai emerging powers yang akan mendominasi dunia dari kuasa-kuasa Eropah dan Amerika Syarikat satu hari nanti.

Oleh kerana letaknya di Asia dan kedudukannya yang berjiran, maka India kerap dibandingkan dengan China. Ia perbandingan yang wajar tapi pada masa sama menyakitkan hati India. Ini kerana sejak beberapa dekad yang lalu, atau lebih tepat lagi sejak peralihan millenium India semakin ketinggalan berbanding China yang juga merupakan seteru geopolitik mereka di benua Asia.

Apa lagi kedua negara besar ini pernah bersengketa dalam konflik ketenteraan di sempadan, enam kali banyaknya selain sentiasa cuba menonjolkan diri sebagai kuasa nombor satu di Asia, dengan kedua negara cuba melebarkan pengaruh mereka khususnya di Asia Tenggara dan Asia Tengah.

Tetapi  sejak peralihan millenium China telah mengorak langkah lebih maju ke hadapan berbanding India. Jika dalam era 1990-an kedua negara ini agak seimbang dalam ekonomi, kini ianya telah berubah. China hari ini adalah ekonomi kedua terbesar di dunia, berbanding India yang berada di tangga ke-5. Jurang perbezaan ini makin ketara apabila dari segi KDNK per kapita, dengan China diukur 5.4 kali ganda lebih kaya berbanding India.

Mengukur kekuatan ekonomi China berbanding India juga boleh dilihat pada berapa banyak syarikat multinasional China yang kini menjadi pemain industri utama dunia. Ketika syarikat telekomunikasi China membanjiri pasaran telefon pintar dengan pelbagai jenama, kita langsung tidak pernah mendengar jenama telefon pintar dari India. China juga menghasilkan puluhan syarikat multinasional lain dalam automotif, perkomputeran, kejuruteraan dan sebagainya tetapi jumlah yang sama tidak terlihat dihasilkan oleh India.

Dan terjemahan kejayaan China ini dapat diukur bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga dalam sukan apabila China terlebih dahulu menjadi tuan rumah Olimpik pada tahun 2008, sesuatu yang India belum mampu lakukan. Malahan China juga telah menjadi tuan rumah Sukan Asia sebanyak dua kali (dan akan genap kali ketiga tahun hadapan) sejak India kali terakhir menjadi tuan rumah pada tahun 1982. Dalam sukan permotoran, China terlebih dahulu menganjurkan perlumbaan Formula One pada tahun 2004 sedang India hanya melakukannya pada tahun 2011, dan China masih kekal di dalam kalendar Formula One hingga sekarang ketika perlumbaan di India pula hanya bertahan selama tiga tahun.

Kejayaan China dalam sukan bukan sekadar penganjur, tetapi juga dari segi kejayaan atlet mereka. Kutipan pingat oleh China dalam Olimpik atau Sukan Asia jauh mengatasi kutipan pingat India. Dan begitu juga dalam sukan badminton, apabila dominasi China khususnya dalam Piala Thomas ibarat langit dan bumi bezanya buat India.

Tetapi semua ini berubah pada tahun 2022, kerana buat pertama kalinya India berjaya menjuarai sesuatu yang selama ini dibolot oleh seteru geopolitik mereka, China.

Di luar lingkungan sukan badminton, menjuarai Piala Thomas adalah sesuatu yang besar ertinya buat India. Kerana ia adalah satu testimoni bahawa negara itu berupaya menyamai pencapaian China. Mungkin ekonomi India tidak setanding China, mungkin juga ketenteraan mereka tidak setara China, mungkin juga India tidak berjaya menghasilkan banyak syarikat multinasional dalam pelbagai industri seperti mana syarikat dari China yang terus mendominasi pasaran dunia. Tetapi setidaknya dalam badminton, India berjaya membuktikan bahawa mereka juga boleh menjuarai Piala Thomas seperti China. Ia membawa mesej jika China boleh, India juga boleh.

Sukan seperti kita ketahui kerap dijadikan alat propaganda politik antara negara di dunia. Amerika Syarikat satu masa dahulu kerap bersaing dengan Kesatuan Soviet dalam sukan hoki ais ketika era Perang Dingin, malahan ia dilihat sebagai satu cara untuk melihat siapa yang sebenarnya lebih kuat tanpa perlu melibatkan perang dan pertumpahan darah. Begitu juga persaingan bola sepak di Eropah atau Amerika Selatan kerap dijadikan sebagai kayu ukur mendabik dada antara negara-negara terlibat, Jerman dan England atau Brazil dan Argentina contohnya.

Begitulah juga dalam sukan badminton dan kejayaan India dalam Piala Thomas. Ia besar ertinya dari sudut sukan, dan juga dari sudut geopolitik antara kedua negara ini. Selepas puluhan tahun ketinggalan di belakang China dalam segenap aspek, India kini akhirnya boleh mengatakan apa yang mampu China lakukan, boleh juga dicapai oleh mereka.

Komen