Bagaimana Pakatan Harapan Kembali Setelah Digigit Zombi

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

TERDAPAT satu kenyataan dari sekumpulan ahli AMANAH yang mengisyaratkan kesedaran, bahawa Pakatan Harapan perlu keluar dari kemelut kepimpinan. Ini setelah kehuru-haraan yang berlaku ketika pengundian Belanjawan 2021 pada 26 November 2020 yang lalu. Kenyataan sekumpulan anak muda dalam parti AMANAH pada 29 November itu adalah satu petunjuk kuat bahawa ahli merasakan kepimpinan parti-parti dalam Pakatan Harapan perlu segera berubah. Saya percaya pemberontakan yang sama sedang turut menggelodak dan menjerang dalam parti DAP.

PKR bagaimanapun adalah ‘gone case’.

Rakyat Malaysia yang terdiri daripada mereka di luar politik kepartian (dinamai sebagai pengundi atas pagar) sedang menyaksikan perkembangan ini, dan jika pembangkang berani melakukan perubahan kendiri, terdapat kemungkinan keyakinan pengundi celik politik akan pulih untuk kembali meletakkan pembangkang sebagai kerajaan. Itu pun barangkali hanya dapat berlaku setelah dua penggal lagi. Saat ini, pengundi atas pagar melihat pembangkang dan parti-parti dalam kerajaan tidak ada perbezaan. Ahli politik menurut kami, adalah penggila kuasa.

Terdapat tiga langkah untuk Pakatan Harapan, dalam konteks ini AMANAH dan DAP untuk kembali mendapat keyakinan rakyat di luar parti.

Pertama, akar umbi dalam AMANAH dan DAP hendaklah meninggalkan Anwar Ibrahim. Pakatan Harapan berada dalam keadaan terhenti dan tergendala oleh keinginan Anwar untuk berkuasa sejak beliau keluar penjara dan diampunkan. Kematangan politik untuk memberi khidmat kepada rakyat kelihatan terhakis bukan saja pada parti memerintah, tetapi juga dalam kalangan pembangkang sebaik Anwar bebas.

DAP dan AMANAH jangan menjadi seperti Najib Razak dalam tahun 2017 dan 2018 iaitu bersifat pekak tuli kepada keadaan sebenar dan hanya percaya akan laporan bubble sendiri. PH harus sedar yang Anwar tidak lagi formula dan tawaran menarik untuk rakyat. Menjelang Pilihanraya Umum ke-15 kelak pengundi muda tanpa parti yang tidak ada memori akan Reformasi hujung 1990-an tidak mempunyai apa-apa ‘keterikatan’ kepada Anwar Ibrahim. Sosok ini sepertinya tampang ahli-ahli politik lain telah lama hilang kemilau dan sinar cahaya, mengakibatkan minat dan getar untuk Anwar sudah berakhir. Kejadian di parlimen tempoh hari menguatkan lagi tanggapan bahawa Anwar sudah tidak punya upaya dan hilang bisa. Pendedahan demi pendedahan di media sosial mengenai kecacamarbaan kepimpinan Anwar membuatkan pengundi atas pagar amat berhati tawar.

Justeru, satu cara untuk memulihkan keyakinan rakyat adalah dengan menggantikan Anwar. Jika beliau tidak mahu digantikan, Amanah dan DAP bolehlah meninggalkan dewa PKR tersebut. Tindakan tersebut bukanlah satu khianat. Kita tidak menyimpan daging nanah jika membawa kemelaratan kencing manis. Kita potongkan bahagian busuk itu.

Kedua, akan tetapi, untuk bercerai daripada Anwar bukanlah mudah. Ia seperti terperangkap dalam satu perkahwinan yang buruk, di mana sang suami sering memukul isteri-isterinya. Sang isteri meski didera perlu memakai mekap dan bersolek tersenyum lantas mengiklankan yang rumahtangga mereka itu utuh. Padahal pinggan mangkuk selalu berterbangan. Terdapat banyak bisik dan lapor khabar bahawa Anwar bukan sahaja berkuku di dalam partinya sendiri tetapi juga memasang pemuja tegar dalam parti Amanah dan DAP. Pemuja-pemuja tegar ini menyediakan naratif bahawa Anwar masih dan kekal relevan dalam politik Malaysia. Dalam erti kata lain penagih Anwar ini mengabaikan sama sekali realiti bahawa terdapat lebih ramai rakyat Malaysia di luar sana yang tidak menganggotai mana-mana parti. Mereka, yang dinamai pengundi atas pagar ini, tidak pun memandang Anwar sebagai penawar.

Pengundi atas pagar hanya memerlukan kualiti kepimpinan yang sederhana. Rakyat Malaysia sedar negara ini tidak berupaya melahirkan pemimpin mendunia seperti Mahatma Gandhi atau Abraham Lincoln, apatah lagi Jose Rizal. Rakyat hanya mahukan seorang tokoh yang menyedari hala tuju negara ini, membawa seluruh negara keluar dari krisis kesihatan, gaduh politik, menjuarai hak asasi dan kembali meletakkan Malaysia sebagai harimau Asia. Buat masa ini, Malaysia adalah harimau lapar Asia yang mengharapkan ihsan Ebit Lew.

Saya percaya kualiti kepimpinan itu ada pada pemimpin muda AMANAH seperti Muhammad Faiz Fadzil dan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari. Namun, di dalam parti AMANAH, terdapat sekumpulan pemimpin yang merupakan kaki tangan Anwar. Hidup mati mereka di dalam qunut subuh adalah Anwar. Tonggang tonggek solat hajat mereka adalah Anwar. AMANAH harus bersih daripada mereka ini.

Di dalam DAP, kepimpinan muda segar yang dapat diterima segenap rakyat kelihatannya terdapat pada ramai. Ketua DAPSY Kebangsaan Howard Lee Chuan How mungkin salah seorang yang dapat menjadi tawaran berkualiti. Mungkin DAP masih menyimpan lebih ramai pemimpin muda, tetapi mereka harus diwaspadai kerana DAP juga ada rintangan khusus pada segelintir pimpinannya yang mabukkan Anwar Ibrahim. Ciapan penuh drama Nga Kor Ming agar bergerak ke depan dan memaafkan Anwar adalah contoh pimpinan DAP yang mabuk samsu dan terpisah dari realiti pengundi luar parti yang sudah muak dengan nama Anwar. Pengundi muda tidak lagi terperangkap dalam tahun 1980-an. Pengundi atas pagar tidak mengenali siapa Anwar. Hanya propagandis PKR dan penggemar Anwar sahaja yang percaya beliau masih relevan.

Oleh itu, untuk membasmi Anwar; DAP dan AMANAH harus pula membersihkan saf kepimpinan parti mereka dari tokoh yang menzikir nama Anwar ini. Mereka yang percayakan  Anwar sebagai satu-satunya formula hendaklah digantikan segera, ini agar pengundi atas pagar kembali percaya dengan pembangkang. Mereka yang berada di luar parti sedang memerhatikan dengan penuh minat apakah DAP dan AMANAH dapat melakukan reformasi kendiri atau perubahan dari dalam sebelum menyuguhkan perubahan untuk rakyat. Oleh kerana DAP dan AMANAH sedang ketagihkan Anwar, sebagai orang yang tidak ketagih, kita pengundi atas pagar ingin melihat apakah kedua-dua parti ini boleh berubah. Akan tetapi ketagihan dadah mudah untuk dibaiki, ketagihan Anwar mungkin sukar.

Bagaimanakah untuk melakukan ini, di sinilah langkah ketiga boleh dilakukan; iaitu DAP dan AMANAH memberi ruang kepada pemimpin segar dan baharu, istilahnya boleh sahaja muda. Mereka mesti diberikan tempat untuk menggantikan pemimpin lama yang ada beban masa silam. Pemimpin lama ini asyik meratib rasa terhutang budi dan setiakawan dengan Anwar Ibrahim. Padahal pengundi di luar parti mereka, atau atas pagar itu, berasa kehairanan dan bingung apakah yang menjadikan pemimpin ini terlalu taksubkan Anwar.

Pengundi di luar sana tidak peduli dengan kemesraan dan persahabatan Mohd Sabu, dan Lim Guan Eng dengan Anwar misalnya. Pengundi tidak peduli jika Mujahid Yusof sebagai contoh merindui bau atar Anwar. Pengundi di luar sana tidak berminat untuk mengetahui susah senang konon Lim Kit Siang atau Gobind Singh dengan Anwar. Ini bukan drama sinetron. Kalian adalah Wakil Rakyat, bukan pelakon soap opera. Pengundi hanya peduli nasib mereka sendiri, siapa yang menawarkan kepimpinan yang jitu, di situlah kelekatan undi mereka. Pengundi seperti kami tidak peduli bai’ah kamu kepada Anwar dua atau tiga puluh tahun lalu. Kami hanya mahu Malaysia ditadbir dengan baik.

Kami tidak percaya kepada kerajaan tebuk atap, tetapi pembangkang seperti DAP dan AMANAH yang ingin menggantikan kerajaan pintu belakang ini harus memberikan mutu yang menjanjikan. Kualiti dan janji itu akan terpancar kepada kesediaan kalian untuk memberi ruang menyerahkan saf kepimpinan kepada generasi muda yang lebih tahu detak dan resah rakyat. Pengundi tidak mahu diulit mimpi Kerinchi. Pengundi tidak mahu dibuai kisah ABIM dahulukala. Pengundi mahu bergerak keluar dari keterperukan dan sangkar 1980-an – 1990-an ini. Pengundi muda tidak ada memori terhadap apa yang kalian puja dan lipurkan. Pengundi celik politik amat sensitif jika kalian membisu bahasa apabila kleptokrat menawarkan kesetiaan kepada dewa kamu.

Jika Pakatan Harapan, iaitu AMANAH dan DAP sanggup melakukan tiga yang di atas makanya pengundi atas pagar akan kembali semula kepada mereka. PKR adalah ‘gone case’. Ia sudah digerigit zombi. AMANAH dan DAP masih boleh diselamatkan.

Rumusannya, jarakkan diri daripada Anwar Ibrahim; bersihkan parti sendiri dari elemen Anwar; dan terakhir suntikkan tenaga muda menggantikan penggila Anwar dalam parti kalian.

Oleh kerana tiga di atas tidak akan berlaku secara mendadak maka selamat dikatakan kleptokrat akan kembali memerintah Malaysia bersama-sama selonggok pengkhianat untuk merosakkan negara ini sekurang-kurangnya untuk satu dekad lagi (dua kali PRU). Itu pun jika tiga langkah di atas dimulai hari ini.

Komen