BAGAIMANA GURU DAN MURID SEKOLAH BOLEH MENGISI MINGGU SOLIDARITI PALESTIN?

Tular di media sosial baru-baru ini tentang acara berkaitan Palestin di sebuah sekolah yang menampilkan unsur ekstremisme dan provokasi sehingga menggunakan senjata mainan di sekolah.

Ramai warganet yang mengaitkan ia dengan Minggu Solidariti Palestin anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia, namun harus diingat insiden tersebut berlaku di luar dari minggu yang ditetapkan.

Justeru adalah tidak adil untuk mengaitkan insiden terpencil itu dengan Minggu Solidariti Palestin anjuran KPM yang hanya akan bermula dari 29 Oktober hingga 3 November di semua sekolah di Malaysia.

Kendatipun begitu adalah penting untuk kita semua memastikan pengisian Minggu Solidariti Palestin terhindar dari gejala keganasan, ekstremisme dan provokasi serta mengikut garis panduan yang ditetapkan KPM.

Pihak sekolah boleh memulakan Minggu Solidariti Palestin dengan sesi pelancaran khas dalam perhimpunan pagi, diikuti dengan kutipan sumbangan untuk tabung Palestin.

Tayangan video dokumentari berkaitan sejarah Palestin serta memperdengarkan lagu-lagu bertema kemanusiaan juga sangat dianjurkan bagi membentuk pemahaman dan solidariti di kalangan murid seolah.

Pihak sekolah juga boleh mengisi Minggu Solidariti Palestin dengan pertandingan lukisan poster kedamaian atau kemanusiaan, selain dari penganjuran aktiviti seperti sayembara puisi kemanusiaan.

Untuk guru dan murid beragama Islam, dianjurkan aktiviti kerohanian seperti solat hajat dan munajat doa supaya bantuan kemanusiaan dapat dihulurkan dan keamanan kembali semula di bumi Palestin.

Pokok pangkalnya, Minggu Solidariti Palestin hendaklah memupuk sifat-sifat kemanusiaan, keadilan dan keamanan sejagat di kalangan murid sekolah.

Sekolah adalah tempat mendidik anak bangsa kita dan Minggu Solidariti Palestin perlu dijadikan platform untuk mendidik murid tentang nilai-nilai murni, toleransi, kasih sayang dan saling hormat menghormati.

Komen