Bagaimana Blackpink Menyelamatkan Bukit Jalil

TAJUK ini memang agak luar biasa. Tetapi anda akan faham kenapa ia bertajuk sedemikian jika anda rajin membaca artikel ini sehingga habis.

Kumpulan super K-pop, Blackpink hadir ke Malaysia untuk konsert Siri Jelajah Born Pink mereka pada 4 Mac lalu. Konsert mereka yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dikatakan antara konsert terbesar Blackpink setakat ini.

Ia sebenarnya adalah kali kedua Blackpink hadir menganjurkan konsert di Malaysia. Kali pertama adalah pada tahun 2019 di Stadium Melawati, Shah Alam yang menarik sekitar 8,000 penonton. Konsert di Bukit Jalil tahun ini pula dikatakan jauh lebih besar dengan anggaran 62,000 penonton hadir.

Tetapi angka besar itu sebenarnya masih belum mampu mengatasi rekod konsert dengan jumlah penonton teramai yang pernah dicatatkan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Rekod konsert terbesar dikatakan masih milik biduanita tersohor negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza melalui konsert Fantasia beliau pada tahun 2004. Sejumlah 70,000 penonton dikatakan hadir menyaksikan konsert tersebut.

Sebenarnya, tahun ini sahaja Stadium Nasional Bukit Jalil telah menjadi gelanggang untuk tiga konsert besar oleh artis luar negara.

Siapa yang tidak lupa konsert artis Taiwan, Jay Chou yang agak kontroversi kerana bertindih dengan jadual perlawanan Kejohanan AFF 2022 pada bulan Januari lalu? Oleh kerana pertindihan itu, perlawanan separuh akhir antara Malaysia dan Thailand terpaksa diadakan dengan sebahagian ruang teres stadium ditutup kerana memberi laluan pada kerja-kerja pembinaan pentas konsert.

Insiden tersebut menimbulkan pertikaian antara peminat bola sepak dan peminat Jay Chou. Rata-rata peminat bola sepak berpendapat sebuah stadium perlu memberi keutamaan kepada acara sukan berbanding acara hiburan.

Benar, stadium dibina dengan tujuan utama sebagai pentas sukan bukannya hiburan. Tetapi suka atau tidak sebuah stadium bersaiz gergasi seperti di Bukit Jalil perlukan acara hiburan bagi mendapatkan pulangan kewangan yang setimpal.

Apa lagi bila kita membandingkan harga tiket bola sepak yang lebih rendah dengan harga tiket konsert yang boleh mencecah ribuan ringgit untuk tempat duduk VIP.

Konsert Jay Chou dikatakan berjaya menarik kehadiran lebih 45,000 penonton. Walaupun tidak memenuhi stadium seperti dalam perlawanan bola sepak berprofil tinggi, ia masih mampu membawa pulangan jauh lebih besar berbanding perlawanan bola sepak kerana harga tiket yang jauh lebih tinggi.

Tidak lama selepas Jay Chou, Stadium Nasional Bukit Jalil meraikan kedatangan artis dari India pula iaitu A. R. Rahman. Kehadiran penonton ke konsert A. R. Rahman jauh lebih besar iaitu lebih 67,000 penonton dan hampir sahaja memecah rekod konsert Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Tidaklah menghairankan juga bahawa Dato’ Sri Siti juga turut membawa penampilan khas dalam konsert A. R. Rahman tempoh hari.

Blackpink melengkap tiga konsert besar artis luar negara di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan Mac, menjadikan jumlah keseluruhan penonton yang hadir di tiga konsert ini mencecah angka lebih 174,000 penonton. Tiga konsert dalam tiga bulan pertama untuk tahun 2023 sahaja.

Jika kita mengambil anggaran harga purata RM500 untuk setiap tiket dalam tiga konsert tersebut, maka secara kasar boleh dikatakan Stadium Nasional Bukit Jalil telah memungut sejumlah RM87 juta melalui konsert setakat Mac 2023 ini. Jika ia dibahagi dua dengan pihak penganjur konsert, jumlahnya adalah RM43.5 juta. Masih lagi satu angka kutipan yang besar.

Ini adalah bukti bagaimana penganjuran konsert mampu membawa pulangan yang lumayan buat stadium yang asalnya dibina untuk acara sukan.

Di seluruh dunia, stadium-stadium ternama dan tersohor kerap menjadi pentas konsert kerana ia satu aktiviti ekonomi yang boleh memberikan keuntungan. Lihat sahaja Stadium Wembley di London, United Kingdom. Walaupun kerap diberikan jolokan The Mecca of football, Wembley juga merupakan pentas konsert tahunan artis ternama. Untuk 2023 sahaja antara artis yang bakal beraksi di Wembley ketika musim panas adalah Harry Styles, Def Leppard dan Motley Crue, Blur dan The Weeknd.

Ia adalah lumrah untuk kebanyakan stadium di seluruh dunia.

Stadium Nasional Bukit Jalil adalah stadium ikonik negara kita. Ia gelanggang keramat skuad bola sepak Harimau Malaya tetapi untuk stadium ini kekal beroperasi dalam keadaan terbaik ia juga perlu dibuka kepada penganjuran konsert bagi membawa pulangan kewangan setimpal.

Tanpa konsert kos operasi stadium tidak dapat ditampung sebahagiannya kerana tiada sumber pulangan kewangan. Kita semua sudah menyaksikan bagaimana stadium besar seperti Stadium Shah Alam menjadi liabiliti kerana tidak mampu menjana pendapatan sendiri kerana tiada konsert dianjurkan dan hanya bergantung harap dari kutipan tiket perlawanan bola sepak semata.

Jika kita mahu Stadium Nasional Bukit Jalil kekal dalam keadaan terbaik, maka kita perlu terbuka untuk ia dijadikan pentas hiburan dan bukannya sukan semata. Dan penganjuran konsert adalah salah satu cara bagaimana stadium boleh menjana pendapatan.

Demikianlah, bagaimana Blackpink menyelamatkan Bukit Jalil.

Komen