BAGAIMANA BELANJAWAN 2024 MENEGAKKAN SYIAR ISLAM

Salam Jumaat penghulu segala hari.

Salah satu tohmahan tidak berasas yang kerap dilemparkan kepada Kerajaan Perpaduan ialah kononnya kerajaan ini gagal dalam membela martabat Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Ini satu tuduhan berat yang sebenarnya fitnah dan fitnah itu sesungguhnya lebih besar dosanya dari membunuh.

Sebaliknya, Kerajaan Perpaduan komited dalam memartabatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Belanjawan 2024 adalah bukti komitmen Kerajaan Perpaduan dalam menegakkan syiar Islam apabila sejumlah RM1.9 bilion sahaja sudah diperuntukkan untuk pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.

Tidak cukup dengan itu, dua institusi pendidikan Islam akan dibina melibatkan peruntukan sebanyak RM220 juta bagi mendidik anak-anak Muslim.

Usaha selenggara dan naik taraf Sekolah Agama Rakyat (SAR), institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz turut mendapat perhatian apabila RM150 juta diperuntukkan oleh kerajaan bagi tujuan tersebut.

Dalam mengiktiraf peranan besar para Guru KAFA, Guru Takmir, Imam, Bilal, Siak, Noja dan Marbut yang menjadi lilin mencerahkan dakwah Islam; bantuan khas one off RM700 seorang turut diberikan.

Dan apa yang lebih menarik ialah Kerajaan Perpaduan telah bertindak mengembalikan semula geran bantuan bernilai RM20,000 kepada setiap SAR setelah ia ditamatkan pada tahun 2003 atas faktor politik ketika itu.

Terbukti syiar Islam tertegak lurus di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan dan cakap-cakap bahawa kerajaan ini gagal membela Islam adalah tohmahan yang tidak berasas.

Komen