Tindakan bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus menjual kasut emas yang dimenanginya pada 18 tahun lalu dengan harga RM10,500 menerusi bidaan secara langsung di Facebook miliknya menarik perhatian semua pihak. Selain Kasut Emas, Khalid turut membuat lelongan pelbagai barangan peribadi termasuk poster, jersi serta medal yang dimenangi sepanjang kariernya. Mengikut laporan, Khalid terpaksa melakukan “pengorbanan” ini atas faktor kewangan selepas tiga tahun tiada pekerjaan.
Hakikatnya isu kelangsungan hidup bekas atlet seperti ini wajar menjadi iktibar kepada semua ahli sukan yang masih aktif. Ironinya ini bukan kes baharu membabitkan kesempitan hidup bekas atlet ternama terutamanya yang pernah bergelar atlet kebangsaan. Mereka pernah berada di puncak karier, disanjung oleh semua peminat, mendapat pelbagai insentif kewangan mahupun gaji sebagai pemain profesional namun bila bersara atau mengalami kecederaan, kehidupan mereka menjadi sangat tidak menentu. Justeru diharap nasib yang menimpa Khalid dan bekas atlet lain sebelum ini tidak menghantui atlet yang masih muda dan aktif serta sedang mencipta nama.
Kita perlu akui zaman kegemilangan seorang atlet tidaklah terlalu panjang kerana akan sampai ke penghujungnya apabila umur semakin meningkat atau lebih malang lagi jika mengalami kecederaan yang kekal. Mereka juga tidak bersara pada umur tertentu yang tetap seperti penjawat awam yang bersara pada usia 60 tahun. Jadi tempoh masa pendek yang ada perlu digunakan sebaik mungkin untuk mencorak masa hadapan mereka demi kelangsungan hidup selepas bersara. Harus diingat tidak semua atlet mampu membina kerjaya dengan memperoleh peluang untuk menjadi jurulatih selepas bersara sebagai atlet. Maka ramai yang perlu mencari kerja lain selepas bersara apatah lagi merek tidak ada sebarang skim bantuan seperti pencen bulanan.
Oleh itu atlet perlu bijak mengurus kewangan mereka ketika berada di zaman kemuncak karier. Misalnya gaji sebagai pemain bola sepak profesional yang diterima pada setiap bulan atau insentif kemenangan yang diterima perlu diuruskan dengan baik dengan mengambil kira keperluan selepas bersara. Misalnya gaji dan insentif yang diterima ini perlu dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu bahagian pertama ialah simpanan tetap kecemasan untuk masa hadapan yang tidak boleh diusik langsung. Ini boleh disimpan dalam bank sebagai simpanan tetap jangka panjang atau simpan dalam amanah saham tertentu seperti Amanah Saham Bumiputera yang turut menjanjikan dividen tahunan.
Bahagian kedua perlu digunakan untuk merancang perolehan sumber pendapatan sampingan dari sekarang supaya kita tidak terlalu bergantung harap kepada gaji, elaun atau insentif kemenangan semata-mata. Misalnya bahagian ini boleh digunakan sebagai modal untuk memulakan sebarang perniagaan dari sekarang supaya ada pendapatan sampingan sejak dari zaman bergelar atlet lagi. Penulis melihat ramai juga atlet dan artis mula membuat seperti ini untuk kelangsungan hidup mereka. Maka selepas bersara kita hanya perlu memperluaskan lagi aktiviti perniagaan tersebut yang pada ketika itu akan menjadi sumber pendapatan tetap dan utama kita. Malah bahagian ini juga kita boleh gunakan untuk membeli aset seperti rumah sendiri.
Manakala bahagian terakhir adalah untuk kegunaan semasa iaitu bagi menampung segala perbelanjaan harian dan bulanan untuk seisi keluarga. Perbelanjaan ini juga perlu dikawal agar berhemat serta digunakan untuk yang perlu sahaja dan bukan berbelanja mengikut kemahuan. Walaupun kelihatan cukup sukar untuk kita mengawal perbelanjaan serta mendisiplinkan diri dengan corak simpanan dan perbelanjaan seperti ini, namun percayalah hanya ini cara terbaik yang boleh membantu kita untuk meneruskan kelangsungan kehidupan diri dan keluarga selepas bersara dari dunia sukan kelak. Dengan ini juga kita tidak perlu mengharap apa-apa bantuan atau ihsan dari orang lain.
Dalam pada itu, para atlet juga wajar mengambil peluang ketika muda untuk menambah ilmu mahupun kemahiran dalam pelbagai bidang supaya ianya boleh menjadi bekalan dan digunakan selepas bersara kelak. Misalnya bagi yang mampu dan masih berminat untuk menyambung pengajian, boleh berbuat demikian sama ada di peringkat diploma mahupun ijazah secara separuh masa. Manakala yang lain wajar ambil peluang untuk mengikuti kursus kemahiran seperti kursus penyelenggaraan kereta, motor atau penghawa dingin. Dengan ini mereka boleh membuka bengkel selepas bersara kelak. Ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti ini boleh membantu mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas tidak lagi aktif dalam sukan.
Ringkasnya, gunakan masa muda sebagai atlet sebaik mungkin agar bukan saja dapat mencapai kemenangan dalam sukan tetapi turut bijak mengurus diri dan kewangan demi masa hadapan yang lebih baik. Ambil iktibar dengan nasib yang menimpa rakan-rakan bekas atlet senior yang lain, dan jangan sesekali berjoli sakan atau berfoya-foya dengan duit gaji atau insentif lumayan yang diterima sekarang kerana kita tidak tahu apa akan berlaku selepas zaman kegemilangan kita berakhir kelak. Tuntasnya, atlet perlu bersiap sedia dari sekarang untuk mengharungi cabaran pada masa hadapan dan berjimat cermatlah supaya tidak menyesal kemudian hari.

Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat. Beliau juga merupakan ahli pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW).