Athens, Dunia Moden Dan Malaysia: Apakah Natijah Demokrasi?

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Apa yang Athens boleh ajar kita dalam demokrasi serta politik siasah di zaman moden? Pada kala keretakan persefahaman murni rakyat, dan perpecahan disebabkan kata-kata berbisa ahli politik?

Athens merupakan salah satu daripada wilayah kuno di Yunanistan yang pertama sekali menerapkan sistem siasah yang menggunakan kaedah demokrasi dalam berkerajaan. Dalam erti kata lain, Athens merupakan tempat kelahiran demokrasi.

Tatkala proses-proses permuafakatan berlangsung, dewan-dewan dan padang-padang keramaian akan dipenuhi dengan laki-laki yang giat memberi ucapan menggamit hati dan jiwa namun kosong pada pemerhatian logik. Hal ini adalah kerana, ahli-ahli falsafah di Athens masih belum merumuskan asas-asas prinsip logik serta kaedah penaakulan yang benar, dan ahli siasah mula mempelajari ilmu retorik daripada guru-guru Sophist. Cabang ilmu ini mengajarkan tatacara untuk mempengaruhi pendapat orang ramai bukan dengan menggunakan akal namun perasaan serta penggunaan bahasa yang berapi-api.

Walaupun pada awal kelahiran demokrasi, sistem ini bertujuan sebagai satu alat berkerajaan murni yang menggunakan permuafakatan rakyat, keberkesanan ilmu daripada Sophist telah menukarkan demokrasi Athens sebagai wadah menggunakan ketakutan dan perpecahan untuk mencapai cita-cita tamak ahli politik. Jika dahulu ketidakadilan kerajaan tidak mendapat restu rakyat, kini ketidakadilan mendapat mandat rakyat.

Lama-kelamaan, konsep demokrasi dilucahkan dan mengakibatkan kehancuran Athens.

Melihat kepada keadaan siasah seantero dunia dinihari, semakin banyak kesenjangan siasah berlaku. Negara-negara yang dahulunya ditubuhkan atas nama keadilan dan demokrasi, tergelincir dalam lurah kezaliman serta autokrasi. Menariknya, semua ini terjadi tanpa meninggalkan tatacara demokrasi, sebuah autokrasi yang berpura-pura menjadi demokrasi.

Kejadian yang sama dapat dilihat pada Jerman Nazi, proses demokrasi menghalalkan kegilaan. Pada Amerika Syarikat, proses demokrasi mengangkat seorang yang tolol sebagai pemimpin. Pada Rusia, proses demokrasi telah mencipta seorang dewa. Mereka berjaya memujuk hati-hati rakyat untuk memberikan mandat pemerintahan kepada mereka yang sudah terang lagi bersuluh akan menyalahguna kuasa.

Mereka menggunakan taktik-taktik yang sama, yakni menyemai perbezaan dalam kalangan rakyat, menyuburkan ketakutan serta ancaman, dan memperkuatkan kebencian antara rakyat yang dipecah-pecahkan. Melalui cara ini, rakyat akan tertipu dan ironinya, penipuan ini kelak akan menjadi kenyataan dek perpecahan diselang kebencian yang membara. Akhirnya membawa kepada penindasan dan keganasan, lenyaplah kemanusiaan dan keadilan.

Andai dihisab dan ditaakul, kita dapat menyimpulkan bahawa tanpa pendidikan ilmu penaakulan/falsafah yang mendalam dan menyeluruh kepada rakyat jelata, kita akan terdedah kepada ancaman permainan retorik politikus berhati busuk. Kita juga dapat menyimpulkan bahawa tugas mendidik sebegini hampir mustahil akan tercapai kerana sudah tentu akan menelan sejumlah sumber negara yang amat besar.

Adakah Athens mengajar kita bahawa demokrasi itu mempunyai tarikh luput? Bahawa ini adalah natijah muktamad demokrasi? Bahawa ini adalah takdir yang bakal menimpa negara keramat ini juga?

Terlampau banyak contoh yang boleh diberikan, yakni demokrasi boleh bertukar kepada pemerintahan kuku besi, atau autokrasi yang berpura-pura menjadi demokrasi. Daripada Athens hinggalah ke Malaysia tanah tumpahnya darah kita. Walaubagaimana pun, lebih banyak contoh-contoh model kerajaan lain boleh runtuh ditelan kezaliman. Jangan kita lupa, kerajaan Mesir Purba juga pernah makmur selama lebih seribu tahun dibawah pemerintahan yang memusatkan kuasa kepada seorang tokoh. Demokrasi bukanlah satu matlamat, tidaklah juga sebagai satu jaminan keadilan. Demokrasi adalah suatu alat yang paling stabil untuk memastikan matlamat utama kita tercapai, iaitu keadilan dan keharmonian untuk tiap-tiap umat manusia.

Sebenarnya, Athens mengajarkan kepada kita bahawa sistem demokrasi adalah jauh daripada sebuah sistem yang sempurna malahan mempunyai tarikh luput. Namun jika digunakan dengan elok, ia merupakan sistem yang terbaik. Terdapat pelbagai perkara di dunia yang baik, namun tidaklah sempurna.

Bak kata seorang panrita;

“A prosperous nation is a nation that delays its doom”

 

Tentang Penulis

Raden Kraton berkicau di Twitter melalui akaun peribadinya @RadenKraton. Ciapan beliau kebanyakannya berkisar tentang hal-hal sejarah.

Komen