Apabila Kenderaan Anda Terjatuh Ke Dalam Air

Negara kita digemparkan dengan kejadian sedih apabila dua individu meninggal dunia akibat terperangkap di dalam kereta yang terjatuh ke dalam kolam di Kedah.

Kejadian ini bukanlah satu benda baru dan telah banyak kali terjadi samada di dalam dan luar negara. Setiap kali ia terjadi, pasti ada nyawa yang melayang. Kereta yang terjatuh ke dalam air berpotensi untuk tenggelam dalam masa beberapa minit sahaja. Selain daripada itu, tekanan air daripada luar kereta menyebabkan penumpang hampir mustahil dapat membuka pintu bagi menyelamatkan diri.

Kematian berlaku disebabkan beberapa faktor. Pertama adalah disebabkan trauma sedia ada kesan daripada impak kemalangan. Kedua, kerana mangsa terperangkap di dalam kereta dan apabila ia tenggelam, air boleh memasuki kereta. Ini menyebabkan mangsa lemas dan mengalami hipoksia hingga bekalan oksigen ke otak terputus.

Terdapat beberapa penambahbaikan harus dilaksanakan bagi memastikan kejadian sedih sebegini tidak berulang lagi.

Pertama adalah dari segi latihan menyelamatkan diri jika kenderaan tenggelam di dalam air perlu diterapkan sewaktu kursus memandu dilaksanakan. Atau, pihak kerajaan boleh menganjurkan program keselamatan pemanduan secara berkala di dalam negara kita.

Kedua, pihak pengedar kereta boleh mempertimbangkan untuk meletakkan alat memecahkan cermin di dalam kereta sebagai persediaan andai kejadian ini berlaku.

Ketiga, jaringan perubatan kecemasan dan first responder harus didedahkan dengan insiden ini dan diajar tentang teknik-teknik menyelamatkan mangsa dari kenderaan dan kemungkinan untuk memanjangkan tempoh resusitasi kardiopulmonari untuk kes-kes tertentu di mana mangsa mengalami kardium terhenti. (*Walaubagaimanapun, bukan semua mangsa kardium terhenti akibat kejadian sebegini mendapat manfaat daripada resusitasi kardiopulmonari.)

Silibus tentang prosedur menyelamat juga boleh dipertimbangkan di dalam kursus pra hospital dan perubatan rimba untuk dipelajari ahli perubatan.

Keempat, sekiranya anda secara tidak sengaja menjadi mangsa dan kereta anda terjatuh ke dalam air, anda boleh melakukan kaedah seperti berikut untuk menyelamatkan diri:

1. Sekiranya kereta anda mempunyai tingkap automatik dan kereta terjatuh ke dalam air, enjin biasanya masih hidup untuk beberapa ketika. Anda harus segera menekan butang kereta untuk menurunkan cermin dan segera keluar dari kereta.

2. Jika enjin kereta telah berhenti dan anda tidak dapat membuka tingkap kereta, anda boleh cuba membuka pintu kereta untuk keluar. Walaubagaimanapun, ia harus dilakukan dengan pantas dan segera sebaik sahaja kereta termasuk ke dalam air. Ini kerana, tekanan dari luar akan segera menekan pintu dan menghalang ia dari terbuka sebaik sahaja kereta mula tenggelam.

3. Sekiranya anda ada alat pemecah kereta, pecahkan cermin kereta di bahagian pemandu atau penumpang untuk segera keluar dari kenderaan. Anda digalakkan untuk menyimpan alat ini di dalam kereta bagi tujuan keselamatan. *Sekiranya tiada, anda boleh mencabut headrest di kerusi pemandu dan penumpang dan gunakan besinya untuk memecahkan cermin kereta.

4. Sebaik sahaja anda berjaya keluar dari kereta, segera panjat bumbung kereta hingga pasukan penyelamat tiba. Jika kereta telah tenggelam, segera berenang ke tebing untuk menyelamatkan diri.

Kelima, semua individu harus terlibat dalam kempen-kempen kesedaran dan keselamatan pemanduan kereta. Anda boleh mengambil langkah pertama dengan menyebarkan mesej ini kerana ia mungkin dapat menyelamatkan nyawa individu tersayang di masa hadapan.

Akhir sekali, takziah diucapkan kepada keluarga mangsa. Semoga kejadian sebegini tidak lagi berulang di masa hadapan.

Komen