Apabila Kebenaran Terpancar, Penunggang Agama Lari Bertempiaran

Sebelum-sebelum ini tidak banyak saya kongsikan kisah ahli parlimen Bukit Mertajam, saudara Steven Sim Chee Keong membantu rakyat dalam kawasan parlimen beliau.

Sebab yang pertamanya saya mahu mengelakkan dari menormalisasikan poverty porn. Jujur pada pandangan saya apa yang Steven Sim buat walaupun niatnya baik, tapi agak keterlaluan terutama dari segi gambar yang ditayangkan di medsos, yang jelas kelihatan berunsur photo op.

Yang kedua pula, saya tidak mahu menggalakkan apa yang saya takrifkan sebagai Ebitlewsasi politik. Situasi di mana wakil rakyat cuba menjadi seperti Ebit Lew untuk dilihat buat kerja, sedangkan kalau kita faham politik, fungsi wakil rakyat parlimen atau DUN dan peranan badan legislatif; kita akan tahu kerja memberi bantuan bukanlah kerja hakiki wakil rakyat yang kita undi. Dalam negara kita di mana masih ramai tidak faham fungsi wakil rakyat dan peranan legislatif dalam model trias politica, penting untuk kita elakkan salah faham rakyat sampaikan ramai yang percaya Ebit Lew patut jadi wakil rakyat, atau wakil rakyat semuanya patut menjadi Ebit Lew. Tiada siapa yang peduli sama ada Ebit Lew boleh berdebat dengan baik di parlimen atau merangka dasar dan meluluskan undang-undang, kerana mereka tidak sedar itulah peranan besar seorang wakil rakyat.

Namun berbalik kepada hal Steven Sim tadi, untuk berlaku adil perlu rasanya kita mengambil kira bahawa parlimen sekarang digantung oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terpaling ‘cerdik’ maka apalah lagi yang boleh dibuat oleh wakil rakyat melainkan dari menjalankan tugas sampingan seperti menghulurkan bantuan, contohnya.

Dan inilah yang saya perlu akui tentang Steven Sim. Di kala parlimen tergantung, beliau pantas menjalankan tugas sampingan iaitu membantu rakyat dalam kawasan parlimen beliau. Dari membekalkan komputer dan tablet untuk pelajar, membantu wanita yang dihalau keluar dari rumah sewa, menolong gelandangan hinggalah ke memberikan sumbangan motorsikal kepada seorang anak muda yang membuat penghantaran Foodpanda menggunakan basikal.

Tapi usaha beliau walaupun dikagumi dan disanjung ramai, masih tetap mendatangkan rasa tidak puas hati dari kelompok tertentu.

Dengki ke?

Mungkin.

Dan yang terpaling memualkan adalah dari seorang individu bergelar ahli akademik iaitu Kamarul Zaman Yusoff (selepas ini disebut KaYu). Entah sawan apa yang merasuk beliau, ketika ramai meraikan bantuan yang dihulur Steven Sim kepada anak muda penghantar Foodpanda, profesor KaYu pula ghairah mempolitikkan bantuan tersebut untuk kepentingan sendiri.

Si KaYu semacam tidak senang duduk dengan apa yang dibuat oleh saudara Steven Sim. Setiap perihal bantuan dipersoalkan, dari seremeh kenapa seorang wakil rakyat Cina mahu menolong Melayu, kemudian berbalik pula kepada kenapa seorang Melayu mohon bantuan dari seorang wakil rakyat Cina. Tidak cukup dengan itu dibandingkan pula antara bantuan seorang wakil rakyat Melayu Islam dan seorang wakil rakyat Cina Kristian, sambil dimomokkan bahawa bantuan wakil rakyat Cina Kristian berkemungkinan berselindung di sebalik agenda Kristianisasi yang perlu diawasi.

Namun, kebenaran itu pasti.

Dengar khabar, profesor KaYu itu sudah pun tutup akaun Facebook selepas terbukti dia ‘kayu’. Punyalah dia beria mahu menunjukkan dirinya benar hingga mengatakan kisah anak muda Foodpanda ini semuanya lakonan, sampaikan si KaYu sanggup menawarkan RM2,000 kepada sesiapa yang boleh mencari anak muda ini agar ‘kebenaran’ khayalan si KaYu dapat dibuktikan.

Ya, itulah realitinya.

Mereka yang dulu berkokok macam hendak tercabut anak tekak tentang kes arwah Adib, pemandu mabuk, haramkan arak, BMF, RUU355 dan sebagainya; sekarang rupanya lagi sibuk tentang hendak mendedahkan identiti penerima bantuan kerana mereka percaya, ini semua lakonan.

Pelik sebenarnya bila fikirkan kembali. Betulkah mereka-mereka ini memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu, atau sebenarnya sekadar tunggang agama dan bangsa untuk politik? Malu rasanya bila ada saudara seagama dan sebangsa yang sibuk pertikaikan hasil kerja orang lain, tapi tidak pula berbuat perkara yang sama untuk saudara seagama dan sebangsa sendiri.

Mempertikaikan pun bukannya sedikit. Dari mempertikai kenapa mahu bantu bangsa Melayu dan bukannya Cina, kemudian pertikai kenapa penerima bantuan mengadu kepada wakil rakyat Cina dan bukannya wakil rakyat Melayu, hinggalah kepada mempertikaikan adanya unsur agenda Kristianisasi dan seterusnya mempertikaikan semua ini lakonan semata-mata.

Tapi sekarang, kebenaran telah terpancar. Dan para penunggang agama ini lari bertempiaran.

Harap selepas ini profesor KaYu insaflah. Harakah yang kerap menyiarkan tulisan profesor KaYu pun insaf juga. Penyokong PAS yang asyik memuja profesor KaYu pun insaf juga. Sedari diri mereka sendiri berbuat dosa terkutuk bermain politik di sebalik keikhlasan bangsa atau penganut agama lain membantu rakyat yang kesusahan tanpa mengira warna kulit atau di rumah ibadat mana mereka bersembahyang. Sedari diri mereka sendiri bukanlah pejuang agama dan bangsa yang jujur.

Kerana kalau betul mahu berjuang untuk Islam dan Melayu, banyak isu lain lagi yang boleh dibangkitkan. Boleh mula dengan iklan judi raya yang menampilkan pelakon Melayu Islam dalam kisah iklan yang menggunakan duit judi untuk balik kampung dan sedekah duit raya. Atau perjuangkan isu jenaka rogol dan gangguan seksual di sekolah yang kebanyakannya melibatkan sekolah kebangsaan (SK) yang majoritinya terdiri dari cikgu dan pelajar Melayu Islam. Atau persoalkan kenapa di Pahang, pekerja kasino didahulukan vaksin, bukannya cikgu atau warga emas?

Berhentilah pertikai kerja orang lain hanya sebab kau tak mampu untuk buat benda yang sama.

Buat malu agama dan bangsa sahaja.

Komen