Apa yang Rakyat sebuah negara Antah Berantah mahukan adalah seorang pemimpin yang tiada 8 kes, atau 21 kes, atau 47 kes menunggu. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tiada kes penggubahan wang haram, pecah amanah, rasuah dan gangguan seksual. Apa yang Rakyat mahukan adalah seorang pemimpin yang tiada penyakit, malah walafiat untuk mentadbir negara tanpa perlu jaminan palsu doktor pakar. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang (jika lelaki, memang balik-balik lelaki) prostatnya sihat. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang, kalau dia perempuan; akan berani bertanya dan memperjuangkan juga nasib perempuan dan bukan merendahkan perempuan ke takat kartun Jepun.
Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang amanah, bukan sekadar pandai membaca doa-dou. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang penasihat kelilingnya bukan samseng tiga belas jalur. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang ada kehormatan diri, bukan mesti anak Tok Guru pondok atau pesantren. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang aman-aman-aman-aman dari nepotisme di mana anak, menantu, besan, ipar, biras, anak saudara, dan sepupunya serentak bukan ahli parlimen atau ADUN. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang bukan sekadar hitam manis, tinggi serta segak tetapi mesti ada sikap dan pendirian. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang jujur mengaku tidak pernah ke universiti jika memang tiada ijazah.
Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang sofanya sederhana dan bukan mesti Edwardian Chesterfield bersalut kulit lembu dari pergunungan Scotland. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang bukan sekadar namanya Ali tetapi mesti perangai juga seperti Saidina Ali. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang berani mengetengahkan isu sensitif seperti kahwin bawah umur kerana anak kucing yang baru setahun kita tidak biar ia bunting, makanya jika anak gadis kita lebih-lebih lagi harus diselamatkan. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tiada doktorat palsu, kerana PhD jika betul diusahakan, sampai mati kandungannya itu berani dikuliahkan.
Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tiada video kelam. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak sekadar petah melafaz kata tabayyun, tamattu, tanenet, tadabbur, tadababa, tadadud, taabah atau taninot. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang jika lelaki, tidak sampai ada tiga bini dengan kos pemuliharaan tinggi yang mana dijadikan alasan untuk kemudian lompat parti. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang acah-acah tak hendak tetapi bila disua habuan ala GLC, gesit menerkam melapah. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tahu harga Milo dan harga kecurian bilion ringgit itu tidak sama nilainya. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin bukan penanggal.
Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang takut berjanji. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tahu menguruskan pengangguran meroket jadi 11 peratus. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tahu sengsara orang kerana bil letrik kadang memerut usus. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang betul menjana, bukan berdegar kata tetapi sejujurnya mengada. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang dapat bekalkan air bersih pada tahun 2020, bukan pada tahun 2030. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang bukan perasan betul atas dorongan sitro berbayar, tetapi kerana mendengar keluhan rakyat.
Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak membeza-bezakan warna kulit rakyat. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak membeza-bezakan kepercayaan rakyat. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak terkujat kalau dikomentari rakyat. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak membeza-bezakan status dan kelas rakyat. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tahu jumlah negara di atas planet bumi. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak membeza-bezakan jantina rakyat baik lelaki, wanita mahupun trans. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang membantu Rokiah Damansara, dengan Rokiah di Kampung Kerinchi secara setara. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang masuk menekan loceng, mengetuk pintu depan dan tidak salah alamat. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang sah. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak menerjah menerusi pintu belakang. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak jatuh dari atas siling kerana atap berlubang ditebuk.
Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang bukan sekadar beri standing ovation kepada rakyat medan hadapan yang telah berhempas pulas. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak rasis. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak memberitahu kami rakyat yang Islam masuk syurga, sedangkan yang bukan Islam boleh pergi mati masuk neraka. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang dapat memberitahu bahawa negara adalah rakyat punya bukan Abah punya. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang betul-betul tahu apa yang harus dilakukan apabila dilanda geruh celaka. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak hanya reti berhutang untuk membayar hutang. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak tengik menabur duit kerana kami rakyat tahu punca bahagia bukan hanya mesti disogok ringgit. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak sewenang menghina kami dengan wang.
Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang meletakkan orang yang betul di tempatnya bukan meletakkan botol dungu atau toyol kaki kebas di punca-punca wang negara. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang melayan anak muda dengan jernih. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang meraikan bakat yang pulang ke negara, bukan pemimpin yang menghunjam bakat yang ingin meluruskan negara. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang bukan merujuk Semenanjung sebagai Malaysia apabila berada di Kuching, atau di Kota Kinabalu.
Apa yang Rakyat mahukan adalah seorang pemimpin yang jika Selasa, dia akan menyatakan pada hari Selasa. Apa yang Rakyat mahukan adalah seorang pemimpin yang reti buat keputusan. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang cedera patah kaki atau kudung sebelah kalau kuat melompat. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak membeli banglo mewah berdekatan balaisah. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang bekerja Demi Malaysia. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang anaknya tiada kod melepaskan diri Binti Ahmad Fulan bila berdepan pihak berkuasa. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang cakap serupa bikin. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang mewakili Rakyat bukan Dewan Bank. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang bukan tingtong dan tidak tiktok. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang mulutnya tidak kohong dan biasa bohong. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang mendahului kantung rakyat dan bukan kusyen empuk tenggelam buntut pada kereta Mercedes Benz. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang melihat Kadazan Dusun Murut setanding dengan Suluk Bajau.
Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak bersalut Stefano Ricci. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak berbalut Ermenegildo Zegna. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak galak mengunjungi Brioni di New York dan Burberry di Kowloon. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak mengehad demokrasi dengan memindahkan hak membincang dan membuat keputusan kepada agamawan, junta, presiden parti, atau tokoh korporat. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang menganjurkan dan tahu untuk hidup bersama. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang boleh bertemu. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang boleh bersefahaman. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang menyatukan.
Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak merungut. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak berpura-pura. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak menyalahkan. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak menghakimi. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak emosi. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang peduli. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak membuatkan kita menunggu. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak membuli Rakyat.
Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang jadi pemimpin setelah memimpin pertempuran. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang manusiawi. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang memberi Rakyat dengan peruntukan kerajaan bukan dari tabungan Rakyat sendiri. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang bersih nurani. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak menuntut kita melayan mereka dengan baik. Apa yang Rakyat mahukan adalah pemimpin yang tidak memaksa kita untuk beroleh hak kita sendiri.
Apa yang Rakyat sebuah negara Antah Berantah mahukan adalah seorang pemimpin yang dapat mengajar dan menghunjam kaki korupsi bukan linglung-linglung masuk simpang keluar belok sembari memberikan mereka talian hayat satu minggu, satu bulan, satu tahun, satu dekad dan satu kurun lagi.
Apa yang Rakyat mahukan tidak sesusah mana.
Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.