Kanan, kiri, moderat dan pelbagai lagi label “isme” untuk gagasan ideologi politik dalam memandu arah sesebuah negara tidak lagi berkitarkan kepada garis ukur yang ditetapkan pada hari pertama idea-idea ini dicetuskan. Sebagaimana suatu organisma berkembang biak dan mencapai tahap evolusi mengikut kesesuaian hidupan semasa, begitu juga daya fikir dan kemampuan sesebuah masyarakat di sesebuah negara atau wilayah yang berdaulat.
Revolusi pemikiran adalah hasil adaptasi dari perkembangan tamadun manusia, kesan dari difusi budaya, pendidikan dan perpindahan teknologi secara amnya. Revolusi sama sekali tidak bersangkutan dengan “Reformasi”, walaupun punyai sebutan dan ejaan yang kurang lebih sama. Reformasi membawa makna pembaharuan beralaskan dasar yang sedia ada sedangkan revolusi adalah pembaharuan total hingga ke akarnya. Jadi, fahamlah apabila “reformasi” adalah perkataan yang dipilih Anwar Ibrahim berbanding “revolusi”, yang lebih ekstrim dalam membayangkan peralihan politik dan sosial negara seperti yang tercatat dalam sejarah Perancis (1789-1799).
Dari sudut pandang penulis yang masih mentah dan hijau dalam menilai lanskap sosiopolitik negara, PMX adalah misalan sosok ringkas yang rumit untuk difahami oleh sebahagian masyarakat kita. Kerumitan ini bukanlah salah masyarakat yang gagal memahami apa yang beliau mahu, tetapi kerumitan itu sendiri adalah hasil dari “keringkasan” beliau. Dua premis sifat yang kontradik, apa maksudnya?
Di sebalik belitan jargon-jargon yang didendangkan di pentas politik, PMX dengan ringkasnya hanya mahu sebuah negara bangsa yang tidak lagi terikat dengan sentimen perkauman dan agama. Suka atau tidak, itu pendapat masing-masing tetapi sudah terlihat dengan terang dan jelas, inilah hasrat beliau yang satu. Persoalannya, bagaimana PMX akan memandu dan mencetak sebuah pelan bagi melaksanakan impian ini pada masa yang sama mampu memelihara hak dan keistimewaan orang-orang Melayu? Hak dan keistimewaan itu sendiri adalah klausa eksklusif yang menidakkan sama sekali sebarang penggubalan yang memisahkan sentimen kaum dan agama dalam negara.
“Orang-orang kaya tidak bersama kita”
Dengan tanggapan pelaksanaan undang-undang drakonian yang diamalkan secara tradisi, PMX dilihat sosok yang sesuai dan hadir pada waktu yang tepat untuk menggubal semula segala hukum dan pelaksanaan yang dilihat menekan dan menindas. Tapi itu tidak berlaku. PMX perlu jelaskan perkara ini. Adakah surah-surah dan petikan dari Qardhawi hanyalah sebahagian dari retorik realpolitik yang ditarikan di bibir beliau selama 20 tahun ini? Atau sahabat seperjuangannya saudara Saifuddin Nasution mula merasakan adanya keperluan “tekanan” sebegini untuk mengawal kedudukan Kerajaan dengan kehadiran polis di sidang media BERSIH baru-baru ini? Situasi yang sangat janggal.
Jika ditelaah drama politik negara pada era 80’an, “kerumitan” Anwar ini sudah mula dikesan dengan keputusan menyertai UMNO, organisasi politik bertunjangkan perjuangan kaum Melayu. Sedangkan Anwar diangkat ketokohannya pada waktu itu lantaran perjuangannya dalam menegakkan keadilan sosial berlandaskan tuntutan agama dengan ABIM, jadi kebarangkalian untuk Anwar menyertai PAS adalah lebih tinggi pada waktu itu. Apakah agaknya falsafah atau pendirian Anwar pada waktu itu? Kejadian ini sendiri adalah bibit awal yang membuktikan “kerumitan” beliau.
Reformasi, kalimat tunggal yang sakral ini telah berpuluh tahun disyairkan di serata pentas ceramah dalam negara, disaksikan jutaan umat dan pengikut yang ikhlas dan dahagakan perubahan dalam sistem negara. “Sistem negara” ini adalah terma yang amat umum mencakupi sepenuhnya tatacara penggubalan dan pelaksanaan undang-undang. Sistem pendidikan, sosial dan kesihatan awam adalah bahagian dari dasar dan ranting yang tumbuh dari pohon “sistem negara” ini. Namun begitu, setelah setahun lebih Anwar di puncak kuasa, beliau tidak lebih dari sekadar memburu dan menyumbat taikun-taikun dan elitis yang sezaman dengannya. Apakah signifikannya pemburuan dendam ini dan manfaatnya kepada rakyat, sekadar melepas lega dan geram orang ramai kepada kelompok bangsawan, kemudian apa?
Jika ada matlamat tersirat yang perlu dijayakan untuk capai objektif “Reformasi” itu, kerja-kerja di bawah tanah perlu giat dijalankan, bukan sekadar mengupah tentera siber yang hanya mampu tunjuk taring di X.
Dengan adanya Barisan Nasional, seteru utama beliau sejak puluhan tahun lalu dalam Kerajaan pada hari ini, barisan kabinet dan PMX sendiri boleh belajar cara pengurusan krisis dan komunikasi yang strategik. BN cukup berpengalaman dalam menangkis naratif dan menyebar benih propaganda. Tapi sebelum itu, perlu dipastikan juga dasar dan polisi baharu yang diperkenalkan Kerajaan benar-benar memaknai kalimat reformasi itu terlebih dahulu.
Anwar harus buktikan, kalimat sakral reformasi ini bukan janji politik dan skrip drama semata-mata. Beliau perlu bekerja keras dan memantau anak-anak buahnya di dalam kabinet Kerajaan yang pada kaca mata masyarakat waktu ini amat lemah. Tidak ada gunanya berWhatsapp dengan Erdogan, jika janji utama memperjuangkan keadilan sosial dan kebajikan rakyatnya tinggal harapan yang utopia.
Adam Mukhriz lahir dan membesar di ceruk Pulau Langkawi. Pentaksub dunia sosiologi yang berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar impian menjadi pemuzik Grindcore.