Antara Keperluan Dan Keuntungan Di Sebalik Krisis COVID-19

Sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pematuhan di kalangan sektor perniagaan boleh dikatakan agak positif. Walaupun awalnya dijangka pematuhan sukar untuk dilaksanakan di kalangan peniaga kecil dan sederhana (PKS), jangkaan itu meleset sama sekali. Sebaliknya apa yang kita lihat, respon PKS terhadap pelaksanaan PKP adalah sangat baik.

Kedai perabot, bengkel kenderaan, kedai gunting rambut, gudang pakaian, stor perkakasan dan sebagainya menghentikan operasi sebagai patuh kepada arahan kerajaan. Hanya perniagaan PKS yang terletak di bawah kategori seperti restoran, runcit atau farmasi yang kekal beroperasi kerana ianya adalah keperluan yang penting untuk rakyat.

Bukan mudah sebenarnya untuk sebarang PKS menghentikan operasi mereka. Ini lantaran sumber pendapatan perniagaan sebegini banyak bergantung pada jualan harian. Untuk menutup perniagaan selama dua minggu bermakna kehilangan sumber pendapatan selama setengah bulan. Pada masa sama, PKS ini masih perlu membayar gaji pekerja selama dua minggu tidak kisahlah atas kerelaan sendiri atau terpaksa. Mungkin barangkali pertimbangan kebajikan pekerja menjadi faktor utama. Untuk menafikan nilai gaji selama dua minggu berkemungkinan besar membuatkan pembantu kedai, tukang pomen, tukang gunting rambut dan sebagainya tidak mempunyai wang untuk membeli makan minum keluarga, susu anak, ubatan dan pelbagai keperluan lain.

Ketika PKS rata-rata patuh pada perintah yang dilaksanakan, berbeza pula dengan syarikat besar milik taikun kilang dan syarikat multinasional. Ada sebahagian dari mereka masih lagi kekal beroperasi kilangnya walaupun PKP sudah bermula.

Bagaimana?

Mengikut pada garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk syarat-syarat operasi sektor pembuatan sepanjang tempoh PKP, hanya produk-produk kritikal sahaja yang dibenarkan untuk diteruskan operasi perkilangannya. Dan kebenaran ini juga tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Produk-produk kritikal yang tersenarai terdiri dari makanan dan minuman, pertanian dan perikanan, produk barangan rumah (pencuci, pembasmi kuman, penjagaan diri dan tisu tandas), peralatan perlindungan peribadi, farmaseutikal, pembungkusan dan percetakan termasuk dakwat, peranti perubatan dan pembedahan serta bahagian untuk alat perubatan. Pengecualian dari sekatan operasi perkilangan turut diberikan bagi industri minyak dan gas, petrokimia, bahan dan produk kimia serta elektrikal dan elektronik.

Kelulusan ini masih tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan, seperti pengurangan bilangan kerja pada tahap minima atau sekurang-kurangnya sebanyak 50% dari jumlah semasa, keluaran atau perkhidmatan hanya untuk pasaran tempatan, melakukan saringan kesihatan, menyediakan hand sanitiser dan face mask kepada pekerja, melakukan proses pembasmian kuman sebelum setiap syif bermula, melaksanakan amalan social distancing dan bertanggungjawab menanggung kos perubatan sepenuhnya jika ada pekerja yang dijangkiti COVID-19.

Jika dilihat secara kasar, tujuan kebenaran operasi ini adalah untuk kebaikan rakyat dan negara. Terutama sekali untuk kilang yang menghasilkan ubatan, pembasmi kuman, sarung tangan perubatan, alatan perubatan dan sebagainya yang sangat kritikal dalam usaha kita menangani wabak COVID-19. Adalah penting dalam pelaksanaan PKP, negara tidak terputus dari bekalan makanan, perubatan, minyak dan gas serta produk kritikal lain demi memastikan kelangsungan kesihatan, ekonomi, keselamatan dan paling utama kehidupan rakyat terus terpelihara.

Tetapi setelah dua hari PKP dilaksanakan, sudah mula timbul aduan dan dakwaan dari golongan pekerja, orang kilang khususnya tentang tuntutan majikan yang dianggap melampau. Di Pulau Pinang, hab industri elektrik dan elektronik negara, muncul rungutan pekerja kilang yang dipaksa bekerja walaupun bukan dalam sektor produk kritikal. Di Selangor, para pekerja industri sarung tangan mengadu majikan melaksanakan operasi pada kadar 100% tenaga kerja melibatkan bukan sahaja pekerja kilang, tetapi juga pekerja pejabat yang sebenarnya boleh sahaja bekerja dari rumah.

Lalu timbul persoalan, adakah taikun kilang ini beroperasi demi memenuhi keperluan atau lebih kepada mengejar keuntungan? Adakah semua produk elektrik dan elektronik itu kritikal dalam membantu negara berdepan krisis penularan COVID-19, atau ia sebenarnya produk yang langsung tidak diperlukan oleh frontliners kesihatan dan keselamatan? Adakah semua sarung tangan getah yang dihasilkan itu untuk pasaran tempatan, atau ia bertujuan untuk memenuhi pasaran eksport lantaran pekerja pejabat dipaksa untuk hadir bekerja bagi berurusan dengan pelanggan antarabangsa?

Persoalan-persoalan ini timbul setelah sekian banyak aduan para pekerja muncul di media sosial. Aduan yang mempertikaikan kenapa mereka dipaksa keluar dari rumah setiap hari untuk bekerja di kilang, ketika saat kerajaan menuntut agar kawalan pergerakan dilaksanakan? Kenapa syarikat masih beroperasi pada kadar 100% atau lebih dari kadar minima sebanyak 50%? Kenapa aktiviti pengilangan masih dijalankan untuk produk tidak kritikal atau untuk pasaran luar negara? Adakah nyawa pekerja ini jauh lebih rendah nilainya berbanding nilai keluaran produk dalam satu-satu syif?

Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan selama dua minggu dengan objektif untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19. Ianya hanya dapat dicapai dengan kerjasama semua pihak dalam meminimakan pergerakan serendah mungkin. Tidak ada aktiviti keramaian, perhimpunan, acara sukan, kuliah universiti atau kelas sekolah, khidmat taska, upacara keagamaan, liburan di pusat beli belah dan tidak terkecuali, pergerakan pekerja dari rumah ke tempat kerja dan sebaliknya.

Namun jika masih ada aktiviti pekerjaan yang dijalankan bukan atas keperluan tetapi lebih kepada mengejar keuntungan, maka ianya sudah menyimpang dari matlamat asal PKP. Seorang pekerja kilang rutin kerja hariannya tidak sama dengan seorang CEO kilang. Pekerja kilang berkemungkinan pergi kerja menaiki kenderaan awam, bersesak dalam bas awam atau bas kilang bersama pekerja lain, duduk di production line bersama ratusan pekerja lain, berkongsi tandas, ruang makan dan ruang rehat yang sama. Seorang CEO  atau penjawat pengurusan tertinggi pula, berkemungkinan besar dibawa ke tempat kerja oleh pemandu peribadi dalam kereta mewah, bekerja di biliknya sendiri malahan disediakan tandas khas untuk kegunaan sendiri.

Pekerja kilang merisikokan diri untuk gaji kecil demi taikun kilang mengejar keuntungan syarikat dan bonus lumayan.

Ketegasan kerajaan sebenarnya adalah perlu. Sekatan dua minggu atas tujuan keselamatan rakyat dan negara sepatutnya jauh mengatasi kerugian kilang yang ditutup selama hanya dua dari 52 minggu dalam setahun. COVID-19 adalah satu pandemik global, insiden yang jarang berlaku dan bukanlah satu perkara kecil. Begitulah juga dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan, mungkin hanya sekali dua dalam hayat kita dan kepentingannya bukanlah remeh.

Sayang sekali, belum pun kerajaan benar-benar tegas dengan taikun kilang dan syarikat multinasional yang mengambik kesempatan atas kebenaran tersebut, sudah ada pula tuntutan lain yang juga bersifat keuntungan semata tanpa mengambil kira risiko nyawa pekerja. Federation of Malaysian Manufacturers, antara pertubuhan pengilang yang sudah mula menuntut agar seluruh sektor perkilangan diberikan kebenaran beroperasi tanpa mengambil kira ianya produk kritikal atau tidak.

Adakah kerajaan akan tegas, atau akhirnya beralah kepada tuntutan ini?

Jika ratusan malah ribuan PKS boleh sahaja patuh, kenapa tidak taikun kilang dan syarikat multinasional? Jangan kerana keuntungan, nyawa rakyat digadaikan. Jangan kerana kapitalisme, kerajaan tunduk layu menyembah untung material.

Komen