Antara Aib Dan Jenayah

“Bapa saya suka menonton porno. Saya tahu kerana saya selalu mengintai perbuatannya tanpa pengetahuan dia.”

Ini adalah kenyataan yang mendedahkan aib.

“Bapa saya suka menonton porno. Setiap kali mahu menonton porno, dia akan paksa saya menonton bersama.”

Ini pula, adalah kenyataan yang mendedahkan satu perlakuan jenayah.

Tolak ke tepi dahulu bahawa perbuatan menonton pornografi adalah satu jenayah di negara ini. Kerana seperti rasuah, walaupun salah ianya tetapi dilakukan secara sembunyi oleh ramai.

Memahami perbezaan antara aib dan jenayah adalah penting. Tetapi hari ini kita semua belajar bahawa seorang menteri pun belum tentu berupaya membezakan antara dua perkara ini.

Ustaz Idris Ahmad, Menteri Agama dari parti PAS hari ini membuat kenyataan dangkal mengatakan bahawa seorang pelakon remaja berusia 15 tahun tidak sepatutnya mendedahkan perlakuan seksual bapanya dalam satu temubual di Youtube kerana ia mendedahkan aib si bapa. Kata Ustaz Idris:

“Sepatutnya kita dalam Islam, dia lebih pentingkan kepada menutup aib sendiri. Sepatutnya gangguan seperti itu tak perlu didedahkan pada orang ramai.”

Adalah sangat mendukacitakan bahawa kenyataan sebegini boleh terpacul dari mulut seorang menteri.

Apa yang berlaku bukan lagi berkisar tentang aib. Tetapi sebaliknya satu jenayah seksual telah dilakukan dan sewajarnya pendedahan dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa. Menutup jenayah seksual dengan alasan aib akan hanya membuatkan lebih ramai pemangsa seksual mengambil kesempatan ke atas mangsa yang mungkin merupakan darah daging sendiri.

Apa yang lebih mengecewakan, Ustaz Idris menunggang alasan agama dengan menyebut “sepatutnya kita dalam Islam” sekaligus menimbulkan fitnah terhadap agama Islam itu sendiri. Dengan mengeluarkan ungkapan sebegini, ia hanya membuatkan bukan Islam seperti saya memandang serong terhadap agama Islam ibarat ianya satu agama yang ‘menghalalkan’ perlakuan sumbang bapa kepada anak kandungnya sendiri selagi ia tidak didedahkan kepada umum.

Kenapa alasan agama yang sama tidak pula digunakan bagi membidas perbuatan si bapa yang terang sekali bertentangan dengan ajaran Islam? Islam mempunyai konsep yang jelas tentang hubungan keluarga dan melarang keras perbuatan sumbang mahram atau apa saja yang berunsur seksual di kalangan ahli keluarga. Kenapa ini tidak disebut oleh Menteri Agama dan diberikan teguran keras?

Dengan mengalihkan isu gangguan dan penderaan seksual kepada pihak yang teraniaya, ia sebenarnya adalah satu bentuk victim blaming. Pelakon remaja berusia 15 tahun itu didera secara seksual sejak kanak-kanak dan ini tentu sekali menjerumus kepada trauma, yang kesannya jauh lebih besar dari aib yang dialami.

Tindakan Menteri Agama ini hanya akan menjejaskan ramai mangsa gangguan atau penderaan seksual dari tampil di khalayak untuk mendedahkan perlakuan pemangsa mereka. Perlu kita sedari bahawa ramai mangsa gangguan atau penderaan seksual enggan tampil kerana wujudnya amalan victim blaming sebegini. Mangsa rogol sebagai contoh kerap dipersalahkan kononnya kerana memakai pakaian yang mengundang perogol atau berada pada masa dan di tempat yang tidak sepatutnya.

Reaksi sebeginilah yang membuatkan wujudnya satu stigma di kalangan mangsa gangguan atau penderaan seksual untuk memilih mendiamkan diri dari bersuara menuntut pembelaan. Apa lagi bila ia melibatkan ahli keluarga sendiri, yang selalunya akan cuba ditutup dengan alasan aib atau tidak mahu mendapat malu ke atas keluarga. Dek kerana malu, maka si pelaku lepas bebas sedang si mangsa pula merana.

Ketika inilah, suara tegas dari pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah perlu bagi membela pelakon remaja berusia 15 tahun itu. Sokongan moral dan bantuan sangat penting bagi memastikan ada pengadilan sewajarnya kepada mangsa. Usaha-usaha mendidik masyarakat juga perlu dibuat bagi mewujudkan fahaman jelas tentang aib dan jenayah yang ternyata berbeza.

Tapi sayang, suara Menteri Wanita iaitu Rina Mohd Harun dan timbalannya Siti Zailah agak tenggelam. Seolah-olah mereka tidak boleh bersuara langsung bagi membela nasib golongan wanita yang merupakan tugas utama mereka.

Pandangan Ustaz Idris yang merupakan pemimpin PAS sebenarnya adalah sesuatu yang membimbangkan. Kerana jika inilah pendirian pemimpin parti tersebut (dan diamnya pemimpin wanita PAS seperti Siti Zailah) maka apalah nasib golongan wanita Malaysia yang merupakan mangsa utama sebarang jenayah gangguan atau penderaan seksual.

Adakah semua jenayah seksual selepas ini akan diukur dengan neraca aib sebelum ia boleh didedahkan?

Komen