ANSCHLUSS adalah nama yang diberikan kepada tindakan pengilhakan Austria oleh Jerman ketika era Nazi untuk untuk dijadikan sebahagian dari wilayah Reich Jerman.
Adolf Hitler sejak diangkat menjadi Führer telah memperkenalkan polisi luar negara Heim ins Reich. Objektif polisi ini adalah untuk menguasai kawasan negara asing yang mempunyai bilangan penduduk berbangsa Jerman yang signifikan. Kawasan ini perlu dikuasai dan diserap menjadi sebahagian dari wilayah Jerman.
Runtuhnya Empayar Austria-Hungary usai Perang Dunia Pertama menyaksikan Austria menjadi sebuah negara berdaulat yang terpisah dari Hungary.
Rakyat Austria tidak jauh berbeza dengan bangsa Jerman, malah bertutur dalam bahasa Jerman dan juga mengamalkan adat budaya yang sama selain mempunyai perkongsian sejarah yang rapat. Apa yang lebih menarik ialah Hitler sendiri dilahirkan di Branau am Inn, Austria.
Justeru dari kaca mata Hitler dan rejim Nazi, Austria adalah sebahagian dari Jerman yang telah terpisah dan kini wajib diambil kembali.
Peristiwa Anschluss berlaku pada 12 Mac 1938, sehari sebelum satu referendum yang dirancang untuk memberikan rakyat Austria peluang memilih sama ada bergabung dengan Jerman atau kekal menjadi negara berdaulat. Hitler mengarahkan tentera Jerman menyeberangi sempada Jerman-Austria bagi menghalang referendum tersebut dari dilaksanakan dan mengilhak Austria secara paksa.
Namun Anschluss bukan sekadar tentang menguasai wilayah asing. Ia juga adalah sebagai sebahagian dari propaganda Nazi dalam menyemarakkan fahaman fasisme di negara itu. Pengilhakan Austria dijadikan propaganda oleh Hitler untuk menggembleng rasa patriotisme di kalangan rakyat Jerman dan bagi mengaut sokongan kepada pemerintahan rejim Nazi pimpinannya.
Anschluss dijadikan sebagai simbol kebangkitan bangsa Jerman dan pengembalian hak serta maruah negara Jerman. Dalam fahaman fasisme yang berada di hujung sayap kanan, Anschluss memenuhi keperluan mitos kelahiran semula dan ultra-nasionalisme populis yang merupakan dua dari tiga teras fasisme.
Anschluss Versi Sanusi
Salah satu hingar politik terkini yang sedang menular dan membuang masa kita semua adalah tuntutan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi agar Pulau Pinang dikembalikan semula ke negeri Kedah.
Menuntut Pulau Pinang ini sebenarnya adalah satu dari pelbagai siri konfrontasi yang sengaja dicetus antara Kedah dan Pulau Pinang. Sebelum ini kita sudah disajikan dengan hingar politik seperti isu sumber air Kedah yang digunakan Pulau Pinang dan juga isu pembinaan lapangan terbang di Kulim bagi menyaingi lapangan terbang sedia ada di Bayan Lepas.
Tentu sekali tuntutan yang dibuat Sanusi itu tidaklah akan menjerumus kepada satu lagi peristiwa mirip Anschluss. Kita tidak akan melihat bala tentera dari Kedah menyeberang sempadan di Seberang Perai untuk mengilhak Pulau Pinang.
Jadi apakah alasan yang membuatkan Sanusi sanggup membuang masa kita semua dengan tuntutan yang tidak masuk akal begini?
Seperti yang dinyatakan awal tadi, Anschluss bukan sekadar tentang pengilhakan Austria oleh Jerman. Asnchluss juga adalah bahan propaganda dan pencetus kepada mitos kelahiran semula dan ultra-nasionalisme populis yang diperlukan oleh sebuah rejim fasis seperti Nazi.
Mungkin agak keterlaluan untuk mengatakan Sanusi belajar dari Hitler dan Jerman Nazi, tetapi kita tidak boleh mengabaikan persamaan yang jelas terlihat.
Apa lagi saya sendiri pernah menulis tentang parti PAS yang sebenarnya sebuah parti fasis bertopengkan agama.
Tuntutan tidak masuk akal Sanusi sebenarnya adalah bahan propaganda bagi mengalih perhatian umum, khususnya rakyat negeri Kedah dan penyokong PAS.
Majoriti sedar mustahil untuk Pulau Pinang kembali menjadi milik Kedah. Tetapi di kalangan penyokong parti yang dijual dengan kisah mimpi Nabi atau malaikat turun mengundi, menuntut Pulau Pinang tampak lebih masuk akal. Ia Anschluss mereka.
Seperti mana Hitler dan parti Nazi menggunakan Anschluss untuk meraih sokongan, begitulah juga Sanusi dan PAS menggunakan Pulau Pinang bagi tujuan yang sama.
Ia dijadikan propaganda dan boleh sahaja dilunakkan dengan mitos mengembalikan kegemilangan Kedah seperti asalnya atau dijadikan bahan ultra-nasionalisme populis yang menjurus kepada rasisme, apatah lagi Pulau Pinang ditadbir oleh Ketua Menteri bukan Melayu dari parti pelbagai kaum.
Dan setakat ini, permainan propaganda Sanusi dilihat berhasil di kalangan penyokong PAS dan sebahagian rakyat negeri Kedah.
Sudah ada yang mengangkat Sanusi sebagai anak Melayu Kedah yang berani dan berdarah pahlawan.
Begitu juga rakyat Jerman dahulu melihat Hitler apabila berlakunya Anschluss.
Sepertinya, mereka berdua belajar dari kitab fasis yang sama.
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.