PAS Bukan Sahaja Fasik, Tetapi Juga Fasis

ACAPKALI kita terdengar atau terbaca tuduhan pihak lawan bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah sebuah parti fasik. Tuduhan sebegini dilontarkan bukan secara semberono tetapi berasas kerana pemikiran politik PAS yang sempit dan gemar menunggang agama.

Namun insiden yang berlaku di Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 baru-baru ini telah memberi gambaran bahawa PAS bukan sahaja fasik, tetapi mereka juga fasis. Saya sebutkan fasis tanpa perlu mengkhusus kepada Islamofasis (satu istilah baharu merujuk kepada fasisme bertopengkan Islam) kerana perlu kita tanggapi bahawa semua fasis adalah sama sahaja walaupun topengnya berlainan.

Perarakan HIMPIT 2023 yang menyaksikan sebilangan perserta berpakaian perang, menghunus replika senjata dan turut mengarak replika gergasi pedang Zulfiqar mengingatkan saya kepada kecenderungan parti fasis seperti Nazi berarak satu masa dahulu. Malahan perarakan juga menjadi amalan beberapa gerakan neo-Nazi masa kini dan organisasi sayap kanan lain, Ku Klux Klan contohnya yang mengenakan pakaian perang zaman pertengahan.

Kenapa saya pantas mendakwa perarakan berpakaian perang dahulu kala sebagai satu budaya fasis? Kerana menjadi satu lumrah dalam fasisme untuk mengagungkan mitos silam. Mitos silam ini direka sebagai agenda penyatuan (ummah, dalam konteks PAS) dengan cara mengagungkan kisah silam tersebut kononya sebagai zaman emas yang perlu diulang kembali.

Perarakan kostum perang dan replika senjata ketika HIMPIT 2023 berperanan untuk mencipta mitos silam yang diagungkan. Itu objektif sebenar yang disembunyikan oleh PAS.

Benar, ada sahaja perarakan kostum perang atau replika senjata yang dianjurkan dalam acara lain. Tetapi kita perlu melihat konteks perarakan tersebut. Ianya berbeza jika perarakan dianjurkan oleh persatuan pencinta sejarah atau peminat ketenteraan lama berbanding dengan yang dianjurkan oleh sebuah parti politik yang berada pada sayap kanan dalam spektrum politik.

Tiga Teras Fasisme

Roger Griffin, profesor British dalam bidang sejarah moden dan teori politik menghuraikan fahaman fasisme dalam tiga teras utama iaitu (i) mitos kelahiran semula (the rebirth myth), (ii) ultra-nasionalisme populis (populist ultranationalism) dan (iii) mitos kemerosotan (the myth of decadence). Menurut Griffin yang minat utamanya adalah tentang fasisme serta fanatisisme politik atau agama, ideologi politik fasisme itu adalah ideologi yang teras mitosnya dalam pelbagai permutasi adalah ultra-nasionalisme populis berbentuk palingenetik.

Melihat kepada evolusi yang melanda PAS sejak beberapa tahun kebelakangan (lebih tepat lagi, selepas wafatnya Alarhum Ustaz Fadzil Noor dan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz dan penarikan diri PAS dari blok Pakatan Rakyat), kita dapat melihat bagaimana parti ini sebenarnya telah condong ke arah politik sayap kanan jauh dan kini  terperangkap dalam ideologi fasisme.

Politik PAS sendiri selari dengan tiga teras fasisme yang disenaraikan oleh Griffin tadi iaitu mitos kelahiran semula, ultra-nasionalisme populis dan mitos kemerosotan.

Mitos kelahiran semula merupakan agenda fasis yang mengimpikan kelahiran semula sebuah negara dalam bentuk yang tulen, asli atau sejati. Agenda perjuangan PAS kebelakangan ini jika dilihat adalah untuk menubuhkan sebuah negara teokratik yang didominasi oleh etnik Melayu bergama Islam. Malahan kempen-kempen PAS dan Perikatan Nasional (PN) sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah untuk memastikan tampuk kerajaan kekal di tangan pemimpin Melayu bergama Islam.

Mengikut PAS, Malaysia asalnya adalah sebuah negara teokratik Melayu-Islam seperti Kesultanan Melayu Melaka dan kesultanan lainnya sebelum kedatangan penjajah Barat. Tanah air ini juga adalah ‘tanah Melayu’ secara literalnya justeru kepimpinan kerajaan tidak boleh terlepas ke tangan bangsa ‘pendatang’ lain kerana ia akan menggugat kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam. Jajaan politik PAS ketika PRU15 adalah untuk pengundi memilih mereka bagi mengembalikan kegemilangan Melayu-Islam di tanah air ini sesuai dengan mitos kelahiran semula tadi.

Bagi mencapai tujuan itu PAS bergantung penuh kepada teras kedua fasisme iaitu ultra-nasionalisme populis. Keputusan PRU15 memperlihatkan jelas bagaimana ultra-nasionalisme populis ini benar-benar memihak kepada PAS dan blok PN. Undi yang diperolehi oleh PAS dan PN hampir 100% datang dari pengundi Melayu yang terpengaruh dengan tawaran sebuah kerajaan nasionalis dominan Melayu dan Islam. Kerusi parlimen yang dimenangi PAS dan PN juga datang dari kerusi ultra-majoriti Melayu di Pantai Timur dan kawasan utara Semenanjung.

Ia sekaligus menanamkan kepercayaan di kalangan pemimpin dan penyokong PAS peluang parti itu untuk kembali menjadi kerajaan adalah melalui agenda dan propaganda ultra-nasionalisme populis, walaupun ia bermakna parti itu terus condong ke arah fasisme.

Teras ketiga yang disebut Griffin, iaitu mitos kemerosotan jika dilihat kini turut dipermainkan oleh PAS sewenangnya. Mitos kemerosotan adalah jajaan fasisme guna untuk mengaburi massa bahawa berlaku satu kemorosotan dari segi sosial, ekonomi bahkan keagamaan akibat anasir-anasir luar yang menggugat ketulenan bangsa dan kepercayaan tadi.

Kita lihat sahaja bagaimana PAS kerap memainkan sentimen bahawa bangsa ‘pendatang’ yang bukan Melayu dan beragama Islam telah menjadi punca kepada kemerosotan umat Melayu-Islam baik melalui percampuran atau pengaruh yang dibawa masuk ke tanah air ini. PAS juga cenderung menghentam fahaman politik berlainan dari mereka, baik liberal, sosialis, demokrat dan sebagainya yang dituduh punca kepada kemerosotan yang sedang berlaku.

Justeru, PAS menawarkan dirinya sebagai satu-satunya parti politik yang boleh merencatkan kemerosotan ini dan membawa masyarakat Melayu-Islam kembali kepada jati diri bangsa dan akidah agama yang asal. Program tarbiyah dan dakwah ditala halus sebagai penawar yang selari dengan mitos kemerosotan tadi.

Kita tidak boleh mengabaikan bahawa ideologi dan agenda PAS kini mengandungi tiga teras fasisme tadi. Ketiga teras ini juga selari dengan aspirasi PAS dan PN yang mahukan negara ini kembali kepada mitos silam yang diagungkan, sekaligus menjerumus kepada ideologi asas fasisme iaitu ultra-nasionalisme palingenetik atau kelahiran semula nusa. Mengikut penjelasan Griffin, ultra-nasionalisme palingenetik ini adalah ‘minima fasis’ yang tanpanya tiada fasisme.

Jika anda yang membaca ini masih lagi mengalami kepayahan untuk menerima dan mengakui bahawa PAS adalah fasis, maka mungkin isyarat paling jelas politik fasis boleh dijadikan hujah kukuh.

Apakah isyarat paling jelas suatu fahaman politik itu adalah fasis?

Mewujudkan perpecahan.

Bukankah jelas propaganda PAS selama ini adalah mewujudkan perpecahan, memecah belahkan negara ini dalam konteks ‘kita lawan mereka’ mengikut kaum dan agama?

Komen