DALAM tempoh berkempen, calon dan jentera parti politik selalunya menyantuni pengundi bagi meraih undi. Teorinya mudah, calon perlu bersalam dengan pengundi seramai mungkin untuk menang kawasan tersebut.
Flyers yang terkandung biodata, prestasi, tawaran, dan impian calon menjadi bahan yang diberikan kepada pengundi sebagai strategi memberi informasi calon dan parti yang bertanding di kawasan tersebut.
Satu hari, dalam minggu kedua tempoh berkempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15), saya bersama calon muda menyantuni pengundi di sebuah medan selera di salah sebuah kerusi Parlimen di Pantai Timur Johor. Setelah pergi ke beberapa meja makan berjumpa pengundi tempatan, calon kami memperkenalkan diri kepada sebuah keluarga yang sedang menjamu selera.
Ketika calon memperkenalkan diri, salah seorang pak cik mencelah “Tak kan flyers je, angpau tak ada?”. Tergamam calon dan sukarelawan mendengar pertanyaan pak cik itu.
Berpuluh walkabout dan meja kami singgah sepanjang berkempen, ini kali pertama seorang pengundi meminta wang secara terbuka untuk memberi undi.
Kami tidak menyangka perkara ini keluar daripada mulut seorang pak cik berkopiah dan berbaju Melayu yang kami sangkakan lebih cermat dalam menyatakan sesuatu perkara.
Lebih mengecewakan lagi apabila permintaan itu berlaku di hadapan ahli keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.
“Kalau flyers macam ni, tak boleh lah nak undi, kalau ada RM200 baru jalan”. Tambah pak cik itu lagi.
“Maaf pak cik, ini salah ni. Saya minta diri dulu ya”. Kata calon yang cuba menggelak permintaan tidak masuk akal pak cik itu.
Ketika kami beransur pergi, saya terdengar perbulan pak cik itu dengan ahli keluarganya “parti lain bagilah RM100 macam tu. Ini memang kalah lah kalau tak bagi apa”.
Inilah hakikat waktu berkempen. Meskipun sudah masuk zaman TikTok, isu tidak bermaruah ini masih membarah dalam kalangan pengundi.
Pilihan raya bagi segelintir pihak dianggap seperti pesta durian runtuh. Kebanyakan pengundi dan segelintir kumpulan memerah sehabis mungkin duit poket calon-calon bertanding untuk membeli undi. Apa yang penting, duitnya sampai dan undinya masih ‘rahsia’.
Laporan Ada, Tindakan Tak Ada?
Itu yang membuatkan calon dan jentera parti pening. Ada parti lama yang terpaksa menghabiskan duit berjuta-juta untuk memberi wang kepada pengundi. Buka pondok panas sahaja sudah beribu-ribu ringgit.
Ironinya, ada sesetengah pihak dan pemerhati politik mengeluh kerajaan membelanjakan berbilion ringgit untuk melaksanakan pilihan raya. Namun, pandangan ini tidak dikongsikan sebahagian pihak yang melihatnya sebagai musim durian runtuh dan mengambil kesempatan untuk mendapatkan habuan.
Selepas hari mengundi PRU15, tular beberapa video dan berita di media sosial mendakwa pengundi menerima wang daripada beberapa parti politik selepas mengundi. Lebih membimbangkan lagi apabila pengundi muda juga terlibat, khususnya pengundi luar kawasan, yang mahu mendapatkan duit ‘tambang’ atau ‘makan’ daripada parti politik sebagai salah satu syarat untuk pulang mengundi.
Perbuatan membeli undi bukanlah isu baharu. Sudah berapa kali ahli akademik dan penganalisis politik menyatakan perbuatan ini akan menghancurkan proses demokrasi yang sepatutnya berlandaskan persaingan sihat dan kejujuran dalam memilih pemimpin.
Setiap kali pilihan raya, isu membeli undi ini sering dilaporkan kepada pihak berwajib. Malangnya, tidak ada sebarang tindakan serius diambil. Kerapuhan undang-undang dan penguatkuasaan ini menjadi punca utama budaya ini masih menebal dalam diri segelintir pengundi yang tidak kisah tentang rasuah dan integriti.
Berdasarkan kajian Transparency International pada tahun 2020, tujuh peratus daripada rakyat Malaysia ditawarkan habuan untuk membeli undi, lebih tinggi berbanding Jepun (tiga peratus) dan China (enam peratus).
Walau bagaimanapun, Indonesia dan Thailand mencatatkan peratusan tertinggi rakyat yang menerima rasuah membeli undi iaitu lebih 25 peratus di rantau Asia.
Indikator ini menjadi petunjuk kepada kepimpinan negara untuk mengatasi amalan buruk ini untuk memelihara sistem pilihan raya yang bersih dan berfungsi.
Dengan enam lagi pilihan raya negeri (PRN) yang akan dilaksanakan pada tahun 2023, tidak mustahil aktiviti membeli undi ini akan berulang lagi demi memujuk pengundi. Apa yang membimbangkan lagi jika jentera dan dana kerajaan digunakan untuk melaksanakan perbuatan tidak bermoral ini.
Menyelamatkan Generasi Baharu
Harus kita akui bahawa budaya membeli undi ini tidak boleh diselesaikan dalam satu hari mahupun sepenggal. Tidak mudah untuk sebahagian pengundi membuang tabiat buruk ini kerana sudah terbiasa dengan cara lama yang secara halus telah menghancurkan masa depan generasi akan datang.
Golongan yang boleh diselamatkan sekarang adalah pengundi muda dan baharu. Kumpulan ini mempunyai ruang untuk dibentuk menerusi pendidikan politik bagi memahami nilai undi sebenar dalam menentukan masa depan negara.
Unsur-unsur mengenali konsep pilihan raya bersih dan adil merupakan agenda penting bagi mendidik pengundi baharu menolak amalan membeli atau menjual undi demi memenangkan sesuatu calon atau parti politik.
Penting juga untuk program literasi politik ini diadakan melangkaui wilayah, khususnya di kawasan luar bandar yang sukar mendapat informasi dan pendedahan politik lebih luas. Pendekatan turun ke lapangan lebih efektif berbanding menghabiskan beribu-ribu ringgit melancarkan kempen di platform media yang kurang berkesan.
Jika advokasi dalam mengatasi isu beli undi ini dapat dilaksanakan oleh kerajaan dan disokong oleh rakyat, usaha memastikan amalan rasuah dan ketirisan dapat diatasi demi memperkukuh sistem pilihan raya bersih dan berfungsi.
Jika tidak, maka sistem pilihan raya negara akan dikuasai pihak berkepentingan yang bakal menghancurkan kedaulatan suara rakyat dalam memilih pemimpin untuk menerajui negara.
Cukuplah seorang pak cik itu sahaja yang meminta angpau untuk menjual undinya. Janganlah perangai itu diwarisi generasi baru sehingga memberi kesan buruk kepada maruah tanah air tercinta ini.
Fakhrurrazi Rashid berkelulusan Kajian Politik dan Pemerintahan di UNIMAS, Sarawak. Orang panggil Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Bapa muda kepada Aleesa yang peduli dengan nasib generasi akan datang. Menulis untuk mengganggu pemikiran orang supaya berfikir dan mengkritik.