Terkejut seisi Dewan Rakyat apabila Menteri Kewangan mengumumkan sejumlah RM6.6 bilion merangkumi 101 projek telah dijalankan secara rundingan terus (direct negotiation) ketika era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan. Kejutannya dikhabarkan sehingga ahli parlimen Baling, Azeez Rahim turut beristighfar kerana tidak menyangka pendedahan megejut oleh Menteri Kewangan yang tidak pernah bertanding pilihan raya.
Jika Dewan Rakyat dan seluruh Yang Berhomat di dalamnya terkejut, rakyat di luar juga pula terperanjat. Terperanjat ini kerana PH sendiri dalam manifesto (bukan kitab suci) PRU14 ada menjanjikan;
“Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar.
Tetapi apabila sejumlah 101 projek bernilai RM6.6 bilion diluluskan melalui rundingan terus, ini adalah bersamaan dengan 1.4% dari jumlah keseluruhan nilai perolehan kerajaan (sebanyak RM477.4 bilion) yang telah dibuat tanpa tender terbuka. Dalam erti kata lainnya, tender terbuka tidak digunakan dengan meluas kerana tidak mencapai 100%, tetapi hanya 98.6%!
Sembilan puluh lapan perpuluhan enam peratus bermakna sistem tender terbuka tidak cukup meluas dan telus, setuju?
Dan persoalan penting yang perlu dibangkitkan ialah, kenapa sehingga 101 projek diberikan secara rundingan terus? Kenapa sebegitu banyak jumlah projek terlibat dalam rundingan terus sedangkan di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN), jumlah projek rundingan terus tidaklah mencapai angka 100 pun. Malahan di zaman BN mencapai nilai hampir RM6 bilion hanya satu sahaja projek rundingan terus diperlukan. Sebagai contoh, satu projek landasan berkembar di Lembah Klang iaitu Klang Valley Double Tracking 2 (KVDT2) sahaja sudah bernilai RM5.9 bilion. Tidak perlu sehingga 101 projek pun.
Jumlah RM6.6 bilion ini bukan sedikit. Yang pasti, ia jauh lebih besar dari nilai RM2.6 bilion duit 1MDB yang pernah dikhabarkan masuk ke poket seseorang sebelum ini. Dan ini hanya sekadardalam tempoh 22 bulan pemerintahan kerajaan PH. Bayangkanlah kalau PH memerintah selama sepenggal, entah berapa bilion pula projek yang akan dirundingkan secara terus? Adakah ianya mampu memecah rekod kerajaan BN yang pernah menganugerahkan projek-projek rundingan terus berjumlah lebih RM139 bilion dalam tempoh hanya sepenggal pemerintahan dari tahun 2013 hingga 2018?
Maka, siasatan oleh pihak SPRM sangatlah dialukan untuk mengenal pasti apakah 101 projek bernilai RM6.6 bilion yang telah dibuat secara rundingan terus. Jika ada unsur rasuah dan sebagainya, wajib didakwa mereka yang terlibat. Rakyat mahukan ketelusan dan sudah bosan dengan rasuah dan kronisme yang berkembang mekar ketika zaman sebelum PH dahulu.
Pada masa yang sama juga, besar harapan agar Menteri Kewangan juga sudi berkongsi maklumat untuk didedahkan pada rakyat apakah 101 projek yang disebutk olehnya dalam Dewa Rakyat. Agar enang untuk rakyat menilai sendiri, yang mana intan dan yang mana kaca. Persoalan pokok adakah rundingan terus dibuat untuk syarikat kroni tanpa ketelusan yang dijanjikan dan projek apakah yang mendapat manfaat rundingan terus ini, perlu jawapan yang jelas supaya apabila rakyat turun memangkah undi dalam PRU15, mereka sudah pasti siapa yang perlu dipangkah dan siapa tidak.
Oleh itu, dedahkan senarai 101 projek yang dimaksudkan. Rakyat berhak tahu.
Kerana setakat ini, salah satu projek yang telah dikenal pasti dilaksanakan secara rundingan terus ketika zaman kerajaan PH adalah untuk perolehan buku-buku teks DLP PT3 bagi kegunaan pelajar sekolah. Alasan Menteri Kewangan PH ketika itu adalah kerana ianya kritikal dan mendesak serta melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat. Bagaimana ianya jauh lebih kritikal, mendesak, penting dan untuk kebajikan rakyat jika hendak dibandingkan dengan projek KDVT2 seperti zaman kerajaan BN, biarlah rakyat yang menilainya.
Jadi kita berharap sangatlah Tengku Zafrul boleh senaraikan 101 projek yang dimaksudkan. Boleh kita tengok untuk apa dan untuk siapa.
Mohon diperkenankan.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.