Mengharapkan dunia diperjuangkan manusia seperti Mufti umpama mimpi menikmati ejakulasi palsu.
Saya tidak pernah merindukan kaum alim ulama. Tidak pernah memasang impian melihat mereka tampil ke depan mengherdik, menghambat tirani berlari mencicit ketakutan. Tidak pernah mengharapkan fatwa mereka menyinari hidup umat bagai bulan dan bintang. Saya bukan sang pencari pedoman melalui ciapan bola mereka di Twitter. Tanpa mereka, saya yakin hidup ini boleh diteruskan.
Tetapi apabila melihat Karim, saya terasa pilu.
Karim seorang pemuda penghantar makanan Grab Food. Siang malam. Pagi petang. Hari bekerja. Hari minggu. Karim berada atas jalan raya. Menunggang motorsikal bukan berkuasa kuda menuruti arah ke rumah pelanggan demi upah lima ringgit untuk satu penghantaran.
Dua tahun lepas, pemuda ini antara jutaan rakyat yang keluar mengundi. Meski tidak cerdik politik seperti anak muda mengghairahi status ‘aktivis’, Karim melaksanakan tanggungjawabnya sebagai rakyat. Karim titipkan doa, semoga negeri ini langsung makmur dan kekayaannya dikongsi sama rata.
Sibuk dengan urusan penghantaran, pemuda ini tidak sempat mengikuti isu politik tanah air lewat belakangan.
Yang Karim tahu, Malaysia Baharu cuma bertahan 22 bulan.
Kenapa dan mengapa, pintu belakang atau pintu depan, Karim kurang mengerti.
Kerana yang Karim paham sepenuhnya, lima ringgit untuk satu penghantaran maha penting. Nilai itulah penentu api di rumahnya tidak putus, ayam dan nasi tidak ghaib dari pinggan, poket seluar biru anaknya berisi dan tiada wajah bengis tuan rumah bertanya mana duit sewa bulanan?
Kelmarin, Jamali kawan baik Karim menghantar satu dokumen di grup Whatsapp. Ketika berehat sebelum menyambung hantaran makanan, Karim memuat turun hantaran tersebut. Dilihatnya senarai nama-nama hantu raya tua yang baru dilantik sebagai menteri kerajaan Malaysia.
Dalam banyak-banyak nama, Karim terpesona dengan nama yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Islam. Itulah wajah yang selalu disaksikannya di kaca TV. Seorang yang memiliki personaliti yang sederhana, tinggi ilmu agama dan ketawadukkannya bersinar-sinar.
Karim, meski tidak cerdik politik seperti anak muda mengghairahi status aktivis, bersyukur. Seperti sifat normal kebanyakan Melayu-Islam lain, Karim menganggap perlantikan itu sekurang-kurangnya akan menjamin kedudukan Islam. Islam tidak akan lagi dihina. Dipandang remeh dan tidak dicabar-cabar.
Manalah tahu, Menteri Agama baru boleh menjawab kemisterian benda apa tergantung dalam kain Sajat selama ini? Kan?
Itu yang saya kasihankan Karim.
Kalaulah Karim ditemukan dengan kejahatan sebenar dunia politik mainan hantu raya. Kalaulah Karim tahu sekeping kertas yang dipangkahnya 22 bulan silam tidak bernilai seduit pun? Kalaulah Karim sedar percaturan hantu raya telah mengkhianati pilihan rakyat. Dan kalaulah Karim tercerahkan bahawa seorang Mufti yang sepatutnya menyebelahi rakyat bawahan, namun sebaliknya menerima jawatan dalam kerajaan buatan hantu raya.
Saya tidak bermaksud menyebelahi kerajaan bertunjangkan Perdana Menteri berumur 94 tahun. Hantu raya tetap hantu raya walau berbeda darjatnya.
Malah bukan dosa saya mengadvokasi sistem yang mempertahankan kuasa mutlak di tangan kelas pemerintah dan kerabat kapitalis.
Tetapi seperti Karim, saya juga pembayar cukai. Saya berhak mempertahankan saudara-saudara saya yang ditunggangi, yang diracuni semangat perkauman, ketuanan dan fasisme beragama. Walau mereka buta. Walau mereka tidak bersetuju dengan saya.
Ramai beranggapan mufti menjadi menteri adalah perlantikan yang relevan. Rahmatan lil alamin. Sinar kepada seluruh umat.
Tetapi barangkali mereka lupa akan satu perkara; sensitiviti.
Ustaz, para pendakwah, agamawan hatta mufti sekalipun gagal sensitif dalam hal kebanyakan melibatkan nasib rakyat bawahan.
Pernahkah mereka bersuara tentang kesenjangan pendapatan antara golongan kaya-miskin? Pernahkah mereka marah apabila soal ketuanan, api rasisme dinyalakan? Pernahkah mereka memanggil menteri-menteri hantu raya yang terpalit skandal makan duit anak yatim? Pernahkan mereka berang melihatkan situasi politik yang rencam mengakibatkan hidup rakyat dilanda badai?
Mereka menggelabah cari mikropon bila Sajat pergi Umrah. Mereka berfatwa entah apa-apa. Mereka kerap berpesan pesanan basi – jangan tinggal solat, taat pada pemerintah, percaya kepada rezeki Tuhan meski si rakyat terpaksa mencuri susu kerana kesempitan hidup.
Lebih menghinakan, mereka tersenyum-senyum menadah tangan menerima jawatan.
Mereka buta sensitiviti.
Mereka kecanduan.
Kerana sensitif, Musa memperjuangkan nasib kaum tertindas bani israel. Kerana sensitif, Muhammad mempertahankan maruah seorang lelaki berkulit hitam legam dan seluruh kaum miskin. Kerana sensitif, Jesus menghadapi gergasi tirani melawan ketidak adilan sosial.
Sifat ini sudah terang semesta alam tiada pada agamawan. Tiada dalam jiwa ustaz ceramah Maghrib. Tiada dalam perut mufti.
Alangkah terhinanya Karim bermenterikan mufti tiada sensitif.
Karim dikaburi dari bahagian realiti sebenar.
Dia tidak sedar hidupnya dan berjuta rakyat lain terasing. Hantu raya di parlimen dan kapitalis tidak mahu mereka cerdik. Sebolehnya mereka mahu Karim dan jutaan rakyat lain terus sibuk dengan kerja dan terus meyakini bahawa Islam mesti menjadi kerajaan, menteri mesti ramai Melayu. Sedangkan api di rumah, ayam dan nasi dalam pinggan, duit dalam kocek seluar biru anak serta bayangan muka bengis tuan rumah sewa bergantung kepada aturan yang berada dalam genggaman hantu raya.
Apabila melihat raut wajah Karim yang lelah bekerja, saya kepiluan.
Kalaulah Karim sedar…
Bagaimana perasaannya?
Seorang slackers duaplohpatjam, penulis 3 buah buku terbitan penerbit ‘kiri borjuis’ Thukul Cetak dan pengendali Tengkorak Hang Podcast. Penggemar semangkuk laksa dan bukan lelaki Melayu bertengkolok kebanggaan semua.