Ketika saya menerangkan kes Kenosha Shooting yang melibatkan kematian seorang skateboarder bernama Anthony Huber, Sang Quds merakamkan emosinya yang terkesan dengan kejadian itu melalui riak muka dan kata-katanya.
‘Poor that guy (Hubert). The skateboard isnt strong enough to protect him. He is a good guy’ – Sang Quds.
Tuan-puan,
Lewat beberapa bulan Sang Quds kerap bertanyakan soalan berkaitan Black Lives Matter. Saya sedaya upaya menjelaskan sebaik mungkin. Agar anak kecil ini bisa memahami dalam penerangan bersesuaian dengan umurnya.
Namun bagaimana saya perlu terangkan perkara yang sama sekiranya Quds mengetahui di negerinya sendiri juga terdapat kes-kes perkauman?
Saya bimbang, anak kecil saya dan anak-anak kecil tuan-puan akan keliru tatkala mereka terdedah dengan dunia luar yang menjaja ‘tuan rumah’ dan ‘tetamu’ dalam negeri ini.
Tuan-puan,
Kejadian-kejadian menyedihkan melibatkan isu ras & agama menggambarkan betapa jahatnya kebencian.
Dunia semakin uzur. Diburukkan lagi dengan isu yang tak berkunjung selesai.
Saya tidak mengerti mengapa saat ini kita masih lagi berdebat tentang hak bangsa, tentang betapa hinanya bangsa ini dipijak bangsa lain, tentang mengapa bangsa ini wajib berjihad demi maruah yang sudah tercalar.
Ironinya, orang-orang membencikan ini juga bercakap soal keharmonian. Tetapi mesti disulami ayat ‘jangan kacau hak kami’.
Itu sebabnya saya hanya tertawa apabila ada gerakan-gerakan yang berdegar-degar mahu berjuang atas nama bangsa.
Kata mereka, kita ini hina kerana ekonomi bangsa tidak segah ekonomi yang didominasi bangsa lain yang menetap dalam negeri yang sama.
Maka dengan itu, kita sentiasa berasa tidak nyaman, selesa dan prejudis.
Untuk mengamankannya, kita jual barang dagangan dengan label bangsa. Kita buka pasar raya dengan logo tanjak. Kita balut barang jualan dengan cap agama. Kita lobi pasaran dengan kewajipan membantu anak bangsa.
Selepas itu kita semai perasaan ‘aku bangsa ini dia bangsa itu’. Kita sempadankan diri masing-masing. Kita bina kawasan milik bangsa kita, dia pula duduk bersama dengan orang-orang dia.
Sebenarnya betul sangat kita ini terhina hanya kerana bukan kita yang mendominasi ekonomi?
Tuan-puan tahu siapa yang memegang ekonomi?
Siapa yang ada modal, dialah Tuhan.
Dan disebabkan kita, semenjak dari kecil dibatas-bataskan pergaulan, maka padanlah muka sendiri apabila prejudis menjadi hantu di dalam hati masing-masing.
Semua bangsa mahu menegakkan hak.
Tapi sedikit mahu mulakan kompromi. Mahu mengenali yang mana boleh kawtim mana yang perlu ditinggalkan atas nama harmoni dan toleransi dan kasih persaudaraan.
Dan hak bangsa yang sebelum ini dijuangkan ditinggalkan. Yang tinggal hanyalah seperkara yang terpaling sakral; hak seorang manusia.
Saya tahu benar kalian akan mengomen itu dan ini. Tetapi seperti yang kalian tahu, saya don’t give a shit sedikitpun.
Saya kekal dengan pendirian saya. Kerana saya punya seorang anak. Dan saya tidak tergamak membiarkan dia terdedah dengan rencam dunia yang busuk dengan kebencian.
Bersedihlah saya sekiranya melihat sang Quds melalui hari-hari menyedihkan seperti yang menimpa Anthony Huber seorang skateboarder yang mempertahankan manusia lain dari dikorbankan lelaki lunatik fanatik bangsa.
Seorang slackers duaplohpatjam, penulis 3 buah buku terbitan penerbit ‘kiri borjuis’ Thukul Cetak dan pengendali Tengkorak Hang Podcast. Penggemar semangkuk laksa dan bukan lelaki Melayu bertengkolok kebanggaan semua.