Satu dunia menyaksikan bagaimana penyokong Presiden Donald Trump telah menceroboh State Capitol semata-mata untuk menafikan kemenangan Joe Biden dan Kamala Harris sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu.
Kekecohan ini bukan berlaku di Baghdad, Afghanistan atau Syria. Tetapi, ia berlaku di Amerika Syarikat, sebuah negara kuasa besar dari segi ekonomi dan politik dunia.
Juara demokrasi dunia ini terpaksa berhadapan dengan sentimen emosi dan perkauman konservatif yang melampaui batas. Disebabkan kalah pilihan raya, pertimbangan untuk menerima keputusan secara demokratik ditolak habis-habisan.
Selepas sehari suntuk penyokong Trump menunjukkan aksi tidak bertamadun di Washington D.C, Kongres AS telah mengesahkan kemenangan Biden dan Kamala Harris dan kedua-dua mereka akan mengangkat sumpah secara rasmi pada 20 Januari 2021.
Peristiwa gelap yang melanda AS telah menimbulkan pelbagai reaksi rakyat Malaysia. Ada yang mengecam tindakan keras penyokong Trump. Ada pula yang gelak ketawa, dengan politik Malaysia lebih baik, bangga menyatakan kerajaan Muhyiddin lebih baik berbanding Trump.
Persoalannya, adakah keadaan politik Malaysia hari ini lebih baik daripada situasi politik yang melanda AS hari ini?
Pentadbiran Muhyiddin dan Donald Trump tidak jauh beza. Kedua-duanya dilihat lemah dalam menguruskan pandemik Covid-19. Walaupun kes positif Covid-19 di AS lebih besar berbanding Malaysia, tetapi kes Covid-19 di kedua-dua buah negara meningkat secara signifikan.
Namun, masa depan AS lebih cerah kerana rakyat AS akan menerima Presiden dan Timbalan Presiden baharu iaitu Joe Biden dan Kamala Harris tidak lama lagi yang mampu menamatkan era kegagalan pentadbiran Donald Trump.
Tetapi di Malaysia, rakyat terpaksa menerima ‘kerajaan bukan dipilih rakyat’ yang telah ‘shutdown’ dan tidak berfungsi untuk memimpin Malaysia pada waktu krisis.
Hakikatnya, politik Malaysia lebih kritikal berbanding situasi politik AS. Malaysia terpaksa berhadapan dengan krisis kepimpinan dan politik apabila terdapat ahli-ahli politik yang sanggup mengkhianati mandat yang telah diputuskan oleh rakyat melalui pilihan raya demi mengejar kuasa dan kedudukan.
Pengkhianatan ini bermula dengan penularan virus perkauman dan retorik agama yang dimainkan oleh pembangkang (UMNO dan PAS). Rasa takut dan benci kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) disemai dalam kalangan rakyat, khususnya Melayu dan Islam.
Daripada retorik perkauman dan agama, ia telah mencipta imaginasi liar untuk menumbangkan kerajaan PH. Percaturan politik dibuat bertahun-tahun dan telah menghasut pemimpin kerajaan untuk mengkhianati mandat rakyat.
Disebabkan retorik perkauman dan agama inilah, timbul ‘kluster pengkhianat’. Kluster ini membina gabungan politik longgar iaitu Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir bersama-sama dengan kluster mahkamah dan kluster penunggang agama.
Malangnya, kerajaan PN curang kepada rakyat dan tidak berdaya untuk membina Malaysia semula dengan asas yang lebih baik daripada krisis pandemik Covid-19.
Agak aneh sekiranya ada sebahagian kelompok masih menyanjung tinggi kecelaruan kerajaan PN yang terus-menerus gagal memberi teladan yang baik dan kepimpinan buat rakyat.
Lebih menjengkelkan apabila kerajaan PN yang sudah 11 bulan berada di Putrajaya masih menunding jari kepada kerajaan PH atas kelemahan mereka hari ini.
Ketika kerajaan PN hampir tenat, blok pembangkang pula saling berpecah. Meskipun pembangkang yang dipelopori PH mempunyai jumlah kerusi di parlimen yang tidak jauh beza dengan kerajaan PN, tetapi mereka dilihat tidak mampu untuk menonjolkan diri, menawarkan kepimpinan yang kukuh kepada rakyat Malaysia pada waktu sukar ini.
Dilema mula timbul dalam kalangan rakyat Malaysia apabila tersepit dalam krisis pandemik Covid-19 sehingga mereka terpaksa menerima ‘kerajaan yang mereka tidak undi’.
Sekurang-kurangnya, AS mempunyai pilihan untuk memilih Presiden dan Timbalan Presiden yang baharu bagi menamatkan era tunggang-langgang di bawah Donald Trump selama satu penggal.
Hakikatnya, masalah tiga serangkai di Malaysia (politik,ekonomi dan kesihatan) sudah sampai di tahap yang amat kritikal. Kes Covid-19 meningkat berganda-ganda, katil di hospital kian penuh, ramai hilang pekerjaan dan pendapatan. Tetapi, perkara ini seolah-olah tidak dipedulikan oleh kerajaan PN.
Hari ini, rakyat telah bangkit dan saling bantu-membantu antara satu dan yang lain dalam mengharungi krisis pandemik Covid-19. Berpuluh-puluh NGO dan individu turun padang, mencari dana untuk menghulurkan bantuan. Individu seperti Ebit Liew lebih efektif daripada jentera kerajaan di bawah PN yang lewat memberi bantuan kepada rakyat.
Pengajaran penting dalam insiden di State Capitol adalah kepentingan menghormati keputusan dan mandat yang diberikan oleh rakyat melalui proses pilihan raya, secara terbuka dan aman.
Pihak yang menang pilihan raya dan berjaya membentuk kerajaan perlu menjalankan tugas menerajui negara berdasarkan mandat yang diberi. Pembangkang pula perlu berlapang dada dan terus menjadi blok semak dan imbang untuk memastikan kerajaan telus dan bertanggungjawab dalam soal kesejahteraan rakyat dan negara.
Pandemik Covid-19 sekurang-kurangnya telah memberi gambaran jelas bagaimana dasar kerajaan memberi impak yang besar kepada kehidupan rakyat. Jika dasar dan keputusan dibuat kerajaan kucar-kacir dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas, maka kehidupan rakyat juga akan terjejas teruk.
Fakta ini perlu menyedarkan kita semua bahawa kerajaan yang menerima mandat rakyat melalui proses demokrasi adalah pilihan terbaik dalam memimpin negara. Mandat rakyat inilah yang dapat membantu kerajaan berfungsi dengan baik.
Sudah tiba masanya rakyat sedar bahawa Malaysia perlukan sebuah kerajaan yang mampu memimpin rakyat untuk keluar daripada krisis Covid-19. Kita boleh mengutuk serangan penyokong Trump terhadap State Capitol di AS, tetapi ujian di Malaysia lebih besar dan perlukan iltizam baharu untuk mengubah sistem pentadbiran negara yang kini dipimpin kerajaan tanpa mandat rakyat dan dibina atas percaturan politik khianat.
Fakhrurrazi Rashid berkelulusan Kajian Politik dan Pemerintahan di UNIMAS, Sarawak. Orang panggil Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Bapa muda kepada Aleesa yang peduli dengan nasib generasi akan datang. Menulis untuk mengganggu pemikiran orang supaya berfikir dan mengkritik.