Adakah Masih Relevan Norma KBSM Yang Berhormat Di Kawasan?

Kita dapat saksikan peningkatan yang menyebabkan gelombang kedua kes Covid-19 adalah kerana kerakusan beberapa sang politikus yang ingin mencuri mandat rakyat bagi merampas kerajaan di Sabah. Maka, PRN Sabah terpaksa diadakan bagi menghalang langkah mencuri mandat rakyat ini. Namun, menghairankan apabila rata-rata masyarakat seolah-olah kelihatan melupakan kejadian tersebut dan seolah-olah bersifat apologetic terhadap perbuatan haram ini.

Seharusnya wajah-wajah yang menjadi penyebab kepada gelombang kedua ini dipakukan atas ‘wall of shame’! Kerana perbuatan mereka yang rakus terhadap kuasa bukan sahaja membunuh demokrasi malah, kesihatan dan keselamatan awam juga dipertaruhkan.

Dalam Maqasid Syariah, menurut turutan oleh Imam al-Ghazali, Hifz An-Nafs (Pemeliharaan Jiwa/Nyawa) berada ditangga kedua tertinggi selepas Hifz Ad-Din (Pemeliharaan Agama) menunjukkan betapa pentingnya Pemeliharaan Nyawa dalam tuntutan agama Islam. Gelombang ini berlanjutan dengan pergerakan tanpa had oleh wakil-wakil rakyat dengan alasan turun kawasan. Ahli Yang Berhormat Senator pun dilihat rancak turun menyantuni masyarakat. Nilai ini adalah baik sekiranya kita berada dalam norma sebelum Covid-19.

Persoalannya adakah masih relevan norma aktiviti KBSM (Kenduri, Bersalin, Sakit dan Mati) oleh wakil-wakil rakyat dalam gelombang ketiga Covid-19? Terdahulu kita telahpun menyaksikan bahawa antara mengapa kes Covid-19 mencanak naik adalah akibat aktiviti turun ke kawasan oleh wakil rakyat. Kerana rantaian mereka ini, sekolah ditutup dan sebagainya. Baru-baru ini kelihatan juga YB Senator mengambil gambar demi political mileage dengan memegang goreng pisang di warung. Tindakan yang mana pada hemat saya, adalah satu tindakan yang amat dungu. Apakah SOP dan denda hanya terpakai untuk rakyat jelata?

Kita harus bergerak seiring dengan dunia digital tanpa had. Bukit Katil Digital adalah antara pusat khidmat rakyat secara maya yang pertama diadakan. YB-YB harus mengambil kesempatan yang sama untuk memanfaatkan penggunaan teknologi dan digital terutama di kawasan bandar dan semi-bandar untuk menawarkan perkhidmatan secara maya. Apakah pegawai-pegawai di Pusat Khidmat tidak memadai untuk menyampaikan bantuan sehingga memerlukan figura wakil rakyat turun ke kawasan? Pusat Khidmat Ahli Parlimen secara digital harus dibudayakan dalam usaha membantu memutuskan rangkaian Covid-19. Sekiranya perkara ini berjaya dibudayakan, ukuran gerak kerja YB-YB selaku wakil rakyat di Parlimen dan DUN juga sudah tentu bukan berdasarkan aktiviti KBSM semata-mata.

Tanggapan masyarakat bahawa tugas utama YB-YB adalah untuk melawat, memenuhi jemputan kenduri, melihat longkang tersumbat dan melihat lubang-lubang di jalan harus diperbetulkan mulai sekarang. Tugas hakiki wakil rakyat itu adalah ‘beyond’ aktiviti KBSM. Peranan mereka dalam Jawatankuasa Pilihan Khas, Kaukus, Kumpulan Rentas Parti Parlimen dan Kumpulan Persahabatan Parlimen Atarabangsa adalah jauh lebih penting.

Masyarakat juga harus dididik dengan pengetahuan Kerajaan Tempatan yang menyeluruh agar tidak lagi terkeliru bahawa tugas Yang Berhormat adalah melihat longkang tersumbat dan jalan berlubang.

Artikel ini adalah tulisan saudari Fatihah Salahuddin dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas. Fatihah Salahuddin adalah bekas Setiausaha Sulit kepada mantan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof.

Komen