ADA APA DENGAN RUU KATF 2023?

Sebelum kita pergi lebih jauh, mungkin ada yang tertanya apakah yang dimaksudkan dengan RUU KATF 2023?

RUU KATF 2023 sebenarnya singkatan kepada Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan ianya telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2023.

RUU KATF 2023 bertujuan mengadakan peruntukan bagi tanggungjawab, kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan awam dan risiko fiskal, khususnya berkaitan hasil, perbelanjaan, pinjaman dan hutang.

Secara ringkasnya, RUU KATF 2023 ini akan ‘mengikat’ menteri dan kerajaan untuk menguruskan kewangan negara dengan lebih berdisplin, bukan dengan sewenangnya seperti yang berlaku dalam pentadbiran sebelum-sebelum ini.

RUU KATF 2023 ini menggariskan empat objektif fiskal yang perlu dicapai oleh menteri dan kerajaan berdasarkan peratusan kepada KDNK yang telah ditetapkan sebagai nilai kuantiti.

Ini meliputi aspek fiskal seperti perbelanjaan pembangunan tahunan, baki fiskal, paras hutang dan jaminan kewangan.

Dengan meletakkan objektif fiskal yang perlu dicapai, ia secara tidak langsung memastikan obligasi pinjaman dan hutang kerajaan dipenuhi tepat pada masanya, pembangunan dan kecekapan fungsi pasaran kewangan domestik dan juga memastikan kemampuan hutang dan konsolidasi hutang dalam jangka masa tertentu.

Menteri juga dipertanggungjawabkan untuk membentangkan suatu pelan pelarasan fiskal untuk diluluskan melalui ketetapan oleh Dewan Rakyat sekiranya objektif fiskal dan nilai kuantiti yang dinyatakan tidak tercapai.

RUU KATF 2023 adalah yang pertama seumpamanya dalam sejarah Malaysia dan ia dilihat mampu memberi impak positif kepada negara dan suatu perkembangan yang sihat terhadap pentadbiran negara kini.

Ia juga adalah bukti komitmen Kerajaan Perpaduan dalam melaksanakan reformasi institusi yang juga meilputi aspek kewangan dan ekonomi negara.

Komen