Onn Hafiz, Sanusi Dan ‘Cinta Agong’ Muafakat Nasional 2.0 Di Johor

Hebat betul langkah politik Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini. Dengan penuh bergaya, beliau mengumumkan Barisan Nasional (BN) Johor akan “bergerak solo” dan menyapu bersih semua 56 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

40 kerusi yang dimenangi pada PRN 2022 nampaknya cukup untuk membuatkan UMNO Johor rasa seperti “abang besar” yang tidak perlukan sesiapa lagi, apatah lagi rakan tidur sebantal di Putrajaya—Pakatan Harapan (PH).

Sikap acuh tak acuh UMNO Johor terhadap dinamika politik pusat ini sangat mengujakan. Lantaran itu, Anthony Loke dan PH Johor pun apa lagi, terus “merajuk” dan mengumumkan mereka juga akan bertanding di semua kerusi. Syabas UMNO Johor! Belum pun pilihan raya bermula, anda berjaya mencipta pertembungan tiga penjuru yang pastinya amat dinanti-nantikan oleh musuh tradisi anda.

Namun, di sebalik keegoan “acuan politik sendiri” yang dilaungkan oleh Onn Hafiz, ada satu plot twist yang sangat melucukan. Di seberang sana, Perikatan Nasional (PN)—khususnya PAS—sedang tersenyum lebar melihat drama ini.

Mengapa PAS Johor begitu tenang?

Sebabnya mudah: Onn Hafiz dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, rupa-rupanya berkongsi satu sifat “spiritual” yang sama iaitu: Sama-sama alergi dengan perkataan “UMDAP”. Malah, Sanusi dengan selamba mendakwa bahawa Onn Hafiz secara peribadi pernah mengadu kepadanya betapa beliau membenci DAP.

Kalau betul dakwaan Sanusi itu, maka tahniah diucapkan! Ini bermakna, walaupun zahirnya UMNO Johor menolak PAS, tetapi hati mereka sebenarnya berdegup di landasan yang sama. Ini bukan lagi sekadar benci, ini adalah “cinta rahsia” yang sedang menunggu masa untuk disatukan semula.

Mari kita lihat realiti di bumi Johor, bukan di awang-awangan menara parlimen:

  • Kubu Tradisi Yang Bocor: UMNO Johor boleh terus bersorak dengan kemenangan dua per tiga pada tahun 2022. Namun mereka terlupa, dalam PRN yang sama, PAS berjaya merampas DUN Maharani, manakala Bersatu mengekalkan Endau dan Bukit Kepong.
  • Gelombang Yang Senyap: Jangan lupa ada 14 kerusi DUN di mana PN menduduki tempat kedua. Di kawasan parlimen luar bandar dan separa bandar seperti Pagoh dan Mersing, BN sudah pun terduduk ditewaskan oleh PN.
  • Tekad PAS Muar: Pesuruhjaya PAS Johor dengan penuh yakin sudah meletakkan sasaran untuk merampas Parlimen Muar pada PRU16. Isyarat apa ini? Ini isyarat bahawa pengaruh PAS sedang membiak dengan sihat di kawasan pengundi Melayu Johor.

Apabila UMNO Johor memilih untuk memutuskan hubungan dengan PH di peringkat negeri semata-mata demi ego kepartian, mereka sebenarnya sedang membentangkan karpet merah untuk PAS. Dengan Bersatu yang kini sedang berkecamuk dan “di-reset” oleh Hamzah Zainuddin, PAS Johor adalah pemenang mutlak yang bakal memungut sisa-sisa pengundi Melayu yang kecewa dengan UMNO.

Maka, senario masa depan Johor sudah boleh dijangka. Apabila keputusan PRN keluar nanti dan UMNO Johor tersedar bahawa formula “bergerak solo” mereka meleset akibat undi Melayu yang pecah, kepada siapa lagi Onn Hafiz mahu menoleh? Hendak kembali melutut kepada PH/DAP? Pastinya tidak, memandangkan ego “anti-UMDAP” mereka sudah setinggi Gunung Ledang.

Pilihan yang ada hanyalah satu: Peluklah PAS demi “Perpaduan Ummah”.

Mungkin inilah sebenarnya strategi agung (masterstroke) tersembunyi UMNO Johor. Sengaja mencetuskan PRN awal, sengaja memutuskan hubungan dengan PH, semata-mata mahu mewujudkan Kerajaan Negeri UMNO-PAS yang pertama di Johor! Mengimbas kembali memori indah kemenangah Muafakat Nasional di PRK Tanjung Piai pada tahun 2019.

Dan jika pelan ini berjaya, siapa tahu, sebagai balasan budi kerana menyerahkan Johor kepada PAS, mungkin PAS pula akan bermurah hati memberikan beberapa kerusi exco kepada UMNO di Kedah dan Kelantan. Adil, bukan?

Teruskan bermimpi di siang hari, UMNO Johor. Sambil anda sibuk mendongak ke langit mendabik dada, PAS di bumi Johor sudah bersedia dengan jaring untuk menyambut kejatuhan anda. Selamat maju jaya dalam usaha menubuhkan “Kerajaan Penyatuan Ummah” Johor!

Komen