Ada lagu Minang yang sejak dahulu popular dan dikaitkan dengan kehilangan. Nadanya rancak, tetapi maksudnya pedih: ayam terlepas, tangan kosong, hati pula menyesal. Siapa sahaja yang tidak pernah dengar lagu berjudul Ayam Den Lapeh yang asalnya dari tanah Minang di Sumatera Barat tetapi pernah juga dipopularkan di negara ini oleh Anita Sarawak.
Luruihlah jalan Payakumbuah
Babelok jalan kayujati
Dimahati indak karusuah
Ayam den lapeh
Ai ai ayam den lapeh
Sebenarnya lagu Ayam Den Lapeh ini sesuai dijadikan lagu latar kepada sandiwara politik di Negeri Sembilan hari ini. Bezanya, kali ini bukan ayam yang terlepas tetapi yang terlepas ialah akal politik.
Empat belas ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan beramai-ramai dengan penuh yakin mengumumkan hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun. Yakinnya mereka ibarat rombongan meminang yang percaya kehadiran mereka bakal disambut kompang. Alih-alih sampai di laman, kompang yang menunggu, tetapi rakyat yang sudah bosan dengan rampasan kuasa dan kerajaan tebuk atap.
Mandaki jalan Pandai Sikek
Basimpang jalan ka Biaro
Dima ati indak kamaupek
Awak taki cuah
Ai ai ayam den lapeh
Cukuplah apa yang telah dilalui sepanjang zaman pandemik Covid-19 dulu dengan kerajaan silih berganti akibat pilihan raya yang tidak perlu atau kerana ‘katak politik’ yang melompat. Hari ini kita disajikan pula dengan drama basi yang sama.
Apa yang berlaku kepada empat belas ADUN UMNO-BN itu sama seperti mesej di sebalik lagu Ayam Den Lapeh: yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
UMNO Negeri Sembilan barangkali mahu mengejar kuasa yang lebih besar. Tak cukup menjadi sebahagian dari kerajaan negeri dan menjawat jawatan Exco, mereka mahu tunjuk taring. Mahu membuktikan mereka bukan sekadar penumpang dalam Kerajaan Perpaduan tetapi juga boleh menjadi ketua dan dilantik menjadi Menteri Besar.
Namun politik bukan sekadar cukop jumloh seperti yang dipercayai oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Politik juga soal membaca cuaca semasa. UMNO Negeri Sembilan memang boleh menghilangkan majoriti Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, tetapi adakah majoriti rakyat Negeri Sembilan bersama mereka?
Siku capang siku capeh
Saikua tabang saikua lapeh
Tabanglah juo nan ka rimbo
Oi lah malang juo
Tidak dinafikan langkah UMNO-BN Negeri Sembilan itu langkah yang berani. Berani memang berani. Tetapi adakah ianya strategik? Itu cerita lain. Dan inilah malangnya yang menimpa UMNO-BN Negeri Sembilan seperti dalam lagu Ayam Den Lapeh. Sudahnya ayam pun terbang ke rimba.
Yang lebih lucu, tindakan ini bukan sahaja mengundang kecaman lawan politik, malah mencetuskan soalan besar: selepas tarik sokongan, apa pelannya? Ada kerajaan baharu? Ada majoriti kukuh? Ada formula penyelesaian? Atau sekadar keluar rumah mencari ayam, kemudian baru sedar pintu reban pun tertinggal terbuka?
Inilah tragedi komedi UMNO hari ini. Dahulu parti ini mengajar orang tentang kestabilan. Hari ini, di Negeri Sembilan, mereka kelihatan seperti orang yang terlepas ayam sendiri.
Empat belas ADUN ini mahu kelihatan seperti panglima adat, tetapi akhirnya tampak seperti orang kehilangan ayam di tengah pekan. Berlari ke kiri, berlari ke kanan, akhirnya rakyat yang melihat berkata: “Sudahlah tu, baliklah jaga reban.”
Pagaruyuang Batusangka
Tampek bajalan urang Baso
Duduak tamanuang tiok sabanta
Oi takana juo
Ai ai ayam den lapeh
Jika lagu Ayam Den Lapeh mengajar kita tentang kehilangan, episod Negeri Sembilan ini mengajar satu lagi perkara bahawa dalam politik, jangan terlalu ghairah mengejar ayam orang sampai ayam sendiri terlepas.
UMNO Negeri Sembilan kini perlu memilih. Mahu terus bersandiwara atau menerima hakikat bahawa rakyat sudah muak dengan politik katak lompat, tarik sokongan dan tebuk atap.
Kerana kali ini, ayam bukan sekadar lepas.
Reban pun hampir roboh.
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.









