Setiap kali hujan lebat turun di Kuala Lumpur, kita seperti sudah tahu skripnya. Jalan utama dinaiki air. Terowong ditutup. Kenderaan tersangkut akibat jem. Kemudian kita melihat kereta separuh tenggelam, longkang melimpah airnya dan mangsa terkandas di tengah bandar yang sepatutnya menjadi wajah kemajuan negara.
Masalahnya, banjir kilat di Kuala Lumpur bukan lagi kejadian luar biasa. Ia sudah rutin. Ia bukan salah hujan lebat, tetapi salah bagaimana Kuala Lumpur dibina, diturap dan dibiarkan kehilangan ruang semula jadinya untuk menyerap air.
Pakar banjir dan perancangan bandar menyatakan bahawa sebahagian sistem saliran Lembah Klang masih berasaskan reka bentuk lama, termasuk data hujan era 1970-an dan 1980-an, sedangkan corak hujan hari ini lebih ganas, pendek tapi padat akibat perubahan iklim. Dalam beberapa keadaan, lebih 60mm hujan boleh turun dalam tempoh dua jam, cukup untuk menenggelamkan kawasan rendah dan membebankan sistem saliran sedia ada.
Di sinilah konsep “sponge city” atau bandar span menjadi penting. Secara mudah, bandar span ialah pendekatan perancangan bandar yang membenarkan air hujan diserap, disimpan, ditapis dan dilepaskan secara terkawal. Ia tidak hanya bergantung kepada longkang besar, parit konkrit atau terowong lencongan air. Sebaliknya, ia menggunakan taman banjir, kolam takungan, tanah telap air, bumbung hijau, bioswale, tasik bandar, kawasan lembap buatan dan ruang awam yang boleh menampung air buat sementara ketika hujan lebat turun.
Maksudnya, air tidak terus disalir ke sungai menggunakan longkang atau parit konkrit. Ia sebaliknya diperlahankan dengan diserap oleh tanah, tumbuhan dan lanskap bandar. Dalam konteks Kuala Lumpur, pendekatan ini penting kerana terlalu banyak kawasan sudah diturap dengan konkrit, tar dan bangunan. Apabila tanah tidak lagi mampu menyerap air, semua air hujan mengalir di permukaan yang akhirnya ke longkang dan sungai.
Kuala Lumpur sebenarnya tidak bermula dari kosong. Projek tebatan banjir seperti Terowong SMART, kerja mendalamkan sungai, empangan dan kolam takungan telah membantu mengurangkan risiko banjir besar. Namun, perlu diakui bahawa banjir kilat bersifat lebih setempat, pantas dan sukar dicegah sepenuhnya hanya dengan kejuruteraan konvensional.
Sebab itu, kerajaan tidak boleh lagi melihat banjir sebagai masalah teknikal semata-mata. Ia adalah masalah perancangan bandar. Ia adalah masalah kelulusan pembangunan. Ia adalah masalah penyelenggaraan. Ia adalah masalah politik tanah.
Kerajaan Persekutuan, DBKL, Jabatan Pengairan dan Saliran serta kerajaan negeri sekitar Lembah Klang perlu bergerak dengan satu pelan besar: menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar span tropika. Pertama, semua pembangunan baharu wajib mempunyai sistem kawalan air di punca seperti kolam takungan, permukaan telap air dan ruang hijau aktif. Kedua, kawasan banjir sedia ada perlu dipetakan semula dan dijadikan tapak intervensi segera dan bukannya sekadar naik taraf longkang, tetapi juga pembinaan taman takungan, dataran banjir dan kolam bandar. Ketiga, kerajaan mesti menghentikan amalan mengorbankan kolam takungan, tanah lapang dan kawasan hijau untuk pembangunan komersil tanpa gantian hidrologi yang setara.
Konsep bandar span mesti dimasukkan dalam Pelan Struktur dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur. Bandar rauya jiran iaitu Petaling Jaya misalnya sudah mula mempertimbangkan projek rintis sponge city di Kwasa Damansara, yang merangkumi simpanan air, penggunaan air dan kawalan pencemaran. Kuala Lumpur sebagai ibu kota sepatutnya lebih berani dan berada di depan.
Banjir kilat bukan hanya merosakkan kenderaan atau harta benda. Ia juga merosakkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan negara mengurus bandar, dan mengikis keyakinan pelabur dalam menjadikan Kuala Lumpur destinasi pelaburan mereka. Sebuah ibu kota tidak boleh terus kelihatan moden dari jauh, tetapi rapuh setiap kali langit gelap dan hujan turun mencurah.
Dalam era perubahan iklim yang makin ketara, bandar yang bijak bukan bandar yang melawan alam secara membuta tuli, tetapi bandar yang belajar hidup semula bersama alam.

Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.









