Ketika suasana dunia menyaksikan tekanan ekologi semakin mendesak, Malaysia muncul dengan komitmen baru: kerajaan telah meluluskan peruntukan RM5 juta untuk memulakan pembangunan fasa 2 Pusat Santuari Gajah Johor (JES) pada 2026, sebagai sebahagian daripada usaha menangani konflik gajah-manusia dan memperkukuh konservasi hidupan liar.
Tahap pelaburan penuh fasa ini dianggarkan setinggi RM43 juta, dan dijangka berfungsi sepenuhnya menjelang tahun 2028.
Peluang Kedua Untuk Gajah
Bagi saya, berita ini bukan sekadar angka atau rangka projek—ia membawa mesej besar: bahawa kita sebagai sesebuah negara simpati kepada makhluk yang berkongsi alam dengan kita. Laluan sepanjang 5.7 km, halangan fizikal 9.3 km dan sistem pagar elektrik gajah (SPEG) adalah bukti bahawa kita mulai sedar: gajah bukan «masalah luar» yang perlu ditolak ke tepi masa, tetapi makhluk yang berhak hidup selamat dalam ekosistem yang kita kongsi.
Konflik antara gajah dan manusia sering kali membawa kerugian – kebun rosak, nyawa terjejas, gajah pula kehilangan habitat. Projek seperti ini menunjukkan kita memilih pendekatan bukan hanya kawalan, tetapi proteksi dan inklusif-ekologi.
Fauna Negara
Dalam konteks isu fauna Malaysia — tak kira gajah, harimau, atau panda yang akan kita terima hasil kerjasama dengan China — tanggungjawab kita jauh lebih besar. Malaysia telah bersetuju menerima sepasang panda gergasi muda di bawah perjanjian sepanjang 10 tahun antara 2025-2035 dengan China, sebagai simbol kerjasama dua hala dan komitmen terhadap pemuliharaan hidupan liar.
Kenapa ini penting? Kerana ketika kita memelihara fauna, kita bukan sekadar menjaga keindahan alam atau destinasi pelancongan — kita menjaga rangkaian hayat yang menyokong semua manusia juga. Fauna berfungsi sebagai “penanda kehidupan” dalam ekosistem: bila gajah masih berkeliaran, hutan masih boleh hidup; bila harimau masih berburu, rantaian makanan masih lengkap. Bila haiwan besar hilang, kesannya merundum hingga ke manusia: perubahan iklim, tanah runtuh, kekurangan air, punahnya tumbuhan penahan erosi.
Masa Hadapan
Bagi generasi masa depan — anak-cucu kita yang kini menjejak sekitar kawasan hutan, bersekolah, main badminton, bermain — mereka layak menikmati alam yang lebih baik daripada apa yang kita warisi. Melihat seekor gajah meredah hutan di Johor bukanlah sekadar tontonan — ia adalah warisan yang kita tinggalkan kepada mereka.
Jadi pembangunan santuari seperti ini bukan overhead belaka — ia adalah pelaburan sosial, ekologi dan moral. Apabila kita melantik 2,500 Renjer Komuniti seluruh negara, memperkukuh penguatkuasaan dan memperkemas laluan kerjaya hidupan liar, kita sedang membina kerjasama antara manusia dan alam — bukan manusia melawan alam.
Perlunya Inisiatif Bersepadu
Namun, usaha-ini tidak boleh berdiri sendirian. Perlukan kerjasama seluruh masyarakat: kerajaan, NGO, komuniti kampung, sekolah, anak muda yang menghidupkan semangat dan kesedaran. Kita perlu merasa bahawa menjaga rimba, menjaga haiwan bukanlah “kerja orang lain”, tapi kerja kita semua. Dalam Berita itu sendiri disebut bahawa kementerian juga mengambil maklum cadangan insentif untuk pengeluaran kotak kertas menggantikan plastik — menandakan bahawa pemuliharaan tidak hanya dalam hutan tetapi juga gaya hidup.
Ketika kita mengurangkan plastik, memelihara habitat, mengekalkan laluan-hidupan liar — kita membantu membina alam Malaysia yang lestari, dan yang tahan kepada perubahan zaman dan tekanan global.
Projek seperti JES Fasa 2 memberi harapan, tetapi harapan itu tidak akan menjadi kenyataan tanpa kita semua yang menyokong, menjaga dan menghormati makhluk-makhluk yang berkongsi bumi ini.
Kerana menjaga gajah, menjaga faunalah sebenarnya kita menjaga sendiri masa depan — masa depan Malaysia yang harmonis antara manusia dan alam. Mari kita jadikan warisan ini lebih daripada cerita—jadikan ia kenyataan.

Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.









