Antara Belut, Belot Dan Bolot: Wajah Politik Kita Hari Ini

SELEPAS siri komedi Charlie Chaplin menjadi hiburan gelak ketawa seisi keluarga, muncul pula siri komedi Inggeris berjudul Mr. Bean yang mula ditayangkan pada tahun 1990. Ia umpama satu alat penyatuan untuk semua bergelak ketawa. Tak kurang juga di negara kita sendiri apabila siri komedi Senario mula mendapat tempat. Itulah yang menjadi tumpuan ahli keluarga setiap malam untuk ketawa tak kering gusi dibuatnya.

Sayangnya ketiga-tiga siri ini sudah tamat episodnya, tidak ada lagi aksi gelak ketawa segar dari mereka. Semenjak dari itu banyak siri komedi yang bertukar ganti cuba menghiburkan kita semua. Sehinggalah ke hari ini yang menariknya tugas memaparkan lelucon, jenaka, gelak ketawa tidak lagi tertumpu pada siri komedi di televisyen oleh pelawak-pelawak terkenal tetapi digantikan dengan politikus-politikus yang mahu menjaga perut masing-masing.

Wajah politik kita hari ini amat menarik dan menghiburkan tidak pernah kurang sedikit pun jenakanya sehinggakan memulas urat perut kita semua akibat tidak henti tertawa. Ada yang memang lucu, ada yang pura-pura lucu dan ada yang lucu tapi tidak menyedari kelucuan mereka sendiri. Itulah mereka, setidaknya ada tiga perkara yang menggambarkan wajah politik yang lucu itu: (1) Belut, (2) Belot, dan (3) Bolot.

Belut sangat sinonim dengan sawah. Hidup di dalam lumpur-lumpur dan agak mudah diperangkap tetapi awas tubuhnya licin menyebabkan belut menjadi antara haiwan yang licik melepaskan diri begitulah analoginya bersama politikus kita yang tamak. Mereka begitu licik merangka strategi. Helah demi helah dilakukan untuk mengekalkan kekuasaan. Kadang-kadang kita keliru dengan kelicikan itu sehingga ada yang berselindung dibalik kebaikan rupanya jahat, ada  yang terpalit dengan kejahatan tetapi baiknya samar-samar.

Di bibir mereka tersemat kata-kata “demi rakyat”, “usah berpolitik”, “kebaikan bersama” sudahnya dibelakangnya masih bergocoh melondehkan pakaian masing-masing, memberi bulan dan bintang, ugut mengugut untuk membuktikan siapa yang lebih berkuasa. Licik amat licik kadang-kadang ada penonton yang terpaku tanpa segan silu mendirikan bendera sokongan walhal hidup-hidup dia ditipu. Akhirnya yang menyokong tersipu, yang bergocoh kenyang hempedu.

Ayuh kita teruskan dengan wajah politik yang kedua. Satu babak dalam filem P. Ramlee, Nujum Pak Belalang amat sinonim dengan situasi ini. Sambil bertukar mahkota untuk menggambarkan kekuasaan mereka berbahagi harta “satu untuk kau, satu untuk aku, dua untuk kau dua untuk aku, hentam sajalah untuk kau, hentam sajalah untuk aku” yang pada akhirnya mereka keliru sama ada pembahagian itu adil atau tidak sehinggalah menimbulkan pergaduhan. Begitulah konsep apabila berhadapan dengan kekuasaan.

Tetapi realiti itu hari ini bisa kita panjangkan lagi dengan pembelotan, lompat melompat “satu untuk kau dan satu untuk aku”. Bila satu dan dua yang dijanjikan itu tidak dipenuhi mereka akan melompat pada kelompok yang boleh memenuhi. Bayangkan sebuah negara yang ditumbangkan melalui kaedah pembelotan, boleh dibelot dan tumbang sekali lagi di peringkat negeri. Tidakah ini lucu? Sungguh tak pernah dibuat orang. Malangya pembahagian itu bukan hanya melibatkan wang atau dana awam tapi boleh juga melibatkan lepasnya kes-kes korupsi besar dengan jaminan sepenuhnya.

Bagaimana pula dengan wajah politik ketiga kita iaitu bolot? Inilah yang terpaling lucu untuk dibincangkan. Yang dulu jumlahnya calon mengisi kerusi sedikit kini dibanyakkan, yang dulu memandu kereta manual kini bertukar automatik, yang dulu konon gajinya sedikit hari ini ditambah-tambahkan, yang dulu menjadi pak turut kini melangkaui tuan mencipta pak turut bagi dirinya sendiri. Satu-satu dibolot dalam senyap dalam terang bukan lagi isunya yang penting bolot selagi boleh. Yang berkopiah yang bertanjak, berkeris atau bercapal, wang awam atau korporat bukan isunya lagi.

Ada pula pihak yang putih mata, bahagian mereka tidak diselesaikan setaranya mahu membolot juga tapi rasa kerdil maka siapa lagi bantuan diminta kalau bukan kita kononnya kitalah pendokong mereka. Dalam masa yang sama kita masih mencari kerja, mencedok beras dari tong biasa kadang-kadang ada kadang-kadang tiada, anak-anak meminta susu hampa habis semua dibolot mereka, belakang kelambu menangis mengenang dosa.

Wajah-wajah politik ini mendominasi kehidupan kita sehari-harian yang akhirnya mencipta kebohongan. Bohong bahawa kepimpinan dalam keadaan kukuh, bohong dengan data kononya bantuan diberi cukup untuk makan pakai, bohong dengan kononnya kejujuran milik mereka, bohong dengan kedamaian yang sebenarnya neraka. Meminjam kata dari Ahmad Sobary “orang tetap melakukan kebohongan kerana tak bisa melakukan  yang lain dan tak punya apa pun lagi selain kebohongan itu. Mungkin kebohongan sudah menjadi identitas dirinya dan nama panggilannya”.

Jadi pada akhirnya bagaimana kita hari ini? Perlukah kita hidup dengan wajah-wajah politik ini dan langsung tidak membela nasib? Jawapannya sudah tentu ya kalau kita masih terlonggo percaya pada mereka yang tamak merebut kekuasaan, korup menjarah harta, hilang moral dan nilai demokrasi, tidak menghormati undang-undang, pentingkan diri sendiri dan berselindung di balik ayat-ayat suci. Tetapi jika kita sudah tidak percaya barulah akan ada perubahan dan sinaran yang kita semua ternanti-nanti.

Komen